Advertisement
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Denza B8 dijumpai di Malaysia – SUV PHEV 4×4 ladder frame mewah, 578 PS/760 Nm, akan dilancar 21 Mei ini

    Denza B8 dijumpai di Malaysia – SUV PHEV 4×4 ladder frame mewah, 578 PS/760 Nm, akan dilancar 21 Mei ini

    SUV mewah off-road dengan casis ladder frame dari divisi mewah BYD iaitu Denza B8 sudahpun dijadualkan untuk dilancarkan pada hari Khamis ini 21 Mei 2026. Namun sebelum kain penutup dibuka yang menandakan ia rasmi masuk ke pasaran Malaysia, SUV berkenaan terlebih dahulu kelihatan tanpa sebarang selindung di bawa dengan trak pengangkut.

    Imej yang kami terima ini dihantar oleh seorang pembaca paultan.org, Remy Chan namun tidak dinyatakan di mana foto ini sebenarnya di ambil. Denza Malaysia sudah pun membuka pendaftaran minat bagi model ini bulan lalu, dan selepas dilancarkan nanti ia akan dipamerkan di Bangsar Shopping Centre dari 22 hingga 24 Mei.

    Di China, Denza B8 ini dijual dengan lencana Fangchengbao dan dikenali sebagai Bao 8. Seperti yang disbeut tadi ia adalah SUV lasak sebenar yang dibina berasaskan casis ladder frame dan dilengkapi sistem 4X4 serta digerakkan dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) berkuasa tinggi Dual-Mode Off-road (DMO).

    Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan dua motor elektrik, iaitu satu untuk memacu roda hadapan berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork 360 Nm, dan satu lagi memacu roda belakang berkuasa 408 PS (300 kW) dan tork 400 Nm. Ia turut dibekalkan dengan enjin khas hibrid 2.0 liter empat silinder petrol turbo berkuasa 197 PS (145 kW) dan tork maksima 350 Nm.

    Denza B8 dijumpai di Malaysia – SUV PHEV 4×4 ladder frame mewah, 578 PS/760 Nm, akan dilancar 21 Mei ini

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa PHEV DMO ini menghasilkan kuasa 578 PS (425 kW) tork maksima 760 Nm, membolehkan SUV gergasi dengan panjang 5,195 mm dan berat 3,290 kg ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat.

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP Blade 36.8 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Dan dengan tangki petrol gergasi 91 liter SUV ini didakwa boleh bergerak sejauh 905 km.

    Seperti EV sebenar, bateri SUV PHEV ini mampu menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, dan pengecas AC biasa sehingga 11 kW. Ia juga boleh bertindak seperti power bank gergasi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 6.6 kW.

    Di China, pelanggan boleh membeli Denza D8 ini dengan pengunci differential pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan cengkaman pada laluan off-road yang lebih baik. Ia juga datang dengan sistem suspensi hidraulik BYD DiSus yang membolehkan ketinggiannya dianjak 140 mm. Ini membolehkan ia meredah air pada kedalaman sehingga 890 mm berbanding 800 mm pada keadaan standard, serta menaikkan sudut approach dan berlepas masing-masing sehingga 34 dan 35 darjah.

    Denza B8 dijumpai di Malaysia – SUV PHEV 4×4 ladder frame mewah, 578 PS/760 Nm, akan dilancar 21 Mei ini

    Seperti pasaran global yang lain, model pasaran Malaysia ini nampaknya diberikan rim aloi 20-inci jejari-Y berwarna hitam yang sedikit kecil berbanding Fangchengbao B8 di China yang diberikan set rim berdiameter 21-inci.

    Pada bahagian dalaman pula Denza B8 ini menerima upholsteri sama ada Jasper Brown atau Onyx Black. Pemandu menerima skrin gergasi 12.3-inci untuk paparan instrumen digital, serta dibantu lagi dengan paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Manakala pada konsol tengah skrin lebih besar bersaiz 17.3-inci diberikan untuk sistem infotainmen.

    Manakala pada konsol terowong, ia diberikan tombol gear yang dinaikkan selepas enjin dihidupkan, dan juga pelbagai suis fizikal seakan kristal untuk kawalan pelbagai fungsi unit rangkaian kuasanya. Perincian lain yang turut diberikan termasuk pengecas tanpa wayar Qi berkembar 50 watt, ruang storan pada perehat tangan dengan fungsi penyejuk dan pemanas, tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsi pemanas, penaglir udara dan pengurut, serta sistem bunyi Devialet dengan 18-pembesar suara yang diberikan secara standard.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, B8 bakal ditawarkan dalam varian standard dan Premium. Jadi ia mungkin merujuk kepada varian dengan tujuh-tempat duduk dan juga enam-tempat duduk yang lebih mewah di mana ia diberikan tempat duduk kapten pada baris kedua yang memberikan fungsi ottoman dan pengurut, dan juga upholsteri kulit Nappa.

    Denza B8 dijumpai di Malaysia – SUV PHEV 4×4 ladder frame mewah, 578 PS/760 Nm, akan dilancar 21 Mei ini

    Manakala varian tujuh-tempat duduk menerima kerusi baris kedua dengan fungsi larasan kuasa, pemanas dan pengalir udara. Ia turut diberikan suis pelbagai fungsi pada pintu belakang bagi membolehkan penumpang membuka atau menutup cermin tingkap bertentangan dan juga pelindung matahari pada bumbung suria, serta terdapat butang satu sentuhan untuk membaringkan atau menolak tempat duduk baris kedua ke hadapan bagi memberikan ruang kaki lebih luas.

    But belakang SUV ini cuma menawarkan ruang kargo sebesar 147 liter. Namun tempat duduk baris kedua dan ketiganya boleh dilipat dengan mudah dengan bantuan kuasa, memberikan ruang sehingga 920 liter (902 liter untuk model enam-tempat duduk).

    Tiada fungsi pintu tailgate bantuan kuasa kerana ia dibuka dari sisi seperti pintu biasa, tetapi datang dengan fungsi larasan ketinggian dari but belakang yang membolehkan anda merendahkan bahagian belakang, bagi membantu untuk memasukkan barang yang berat atau besar pada bahagian tersebut.

    Dengan kelengkapan yang diberikan ini, kami jangkakan Denza B8 ini akan dijual pada harga melebihi RM300k. Ini kerana spesifikasi yang ditawarkan melebihi satu lagi model senegaranya iaitu GWM Tank 500 yang kini dijual pada harga RM328,800.

     
     
  • Brabus Bodo diperkenal – asas daripada Aston Martin Vanquish, enjin 1,000 PS, hanya 77 unit dikeluarkan

    Brabus Bodo diperkenal – asas daripada Aston Martin Vanquish, enjin 1,000 PS, hanya 77 unit dikeluarkan

    Brabus sememangnya terkenal sebagai syarikat talaan dan modifikasi kenderaan berprestasi tinggi, namun pengenalan model terbarunya yang dikenali sebagai Brabus Bodo menandakan satu langkah lebih besar buat syarikat dari Jerman itu. Bodo merupakan model coachbuilt pertama Brabus yang dibangunkan sebagai sebuah coupe grand tourer (GT) 2+2 eksklusif dengan harga permulaan mencecah satu juta euro, bersamaan kira-kira RM4.6 juta.

    Nama “Bodo” mungkin kedengaran unik, namun ia sebenarnya mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Brabus. Model ini dinamakan sempena Bodo Buschmann, pengasas Brabus yang meninggal dunia pada April 2018. Nama syarikat Brabus sendiri diambil daripada gabungan tiga huruf pertama nama keluarga Buschmann dan Klaus Brackmann, iaitu rakan pengasas syarikat tersebut.

    Bodo dibangunkan menggunakan asas Aston Martin Vanquish sebelum keseluruhan badan asal digantikan dengan rekaan baru yang diperbuat daripada gentian karbon, kecuali bahagian bumbung yang dikekalkan. Hasilnya, model ini tampil dengan imej jauh lebih agresif dan eksklusif berbanding Vanquish standard.

    Bahagian luaran Bodo menonjolkan rekaan bahu belakang yang lebar sebelum bersambung ke rekaan boat tail di belakang, sekaligus memberikan karakter GT klasik moden. Ia turut dipadankan dengan lampu belakang unik, diffuser bersepadu, spoiler boleh laras serta sistem ekzos berkembar bertindih yang menjadi identiti utama model ini.

    Di bahagian hadapan pula, Bodo menampilkan gril bersaiz besar dengan rekaan bilah menegak, digabungkan bersama liang udara besar dan lampu hadapan tajam yang memberikan imej garang seakan kereta penjahat dalam filem aksi. Penampilan tersebut diperkemaskan lagi dengan rim Brabus Monoblock Z-GT Shadow Edition bersaiz 21 inci yang membantu menghasilkan kedudukan lebih lebar dan rendah.

    Sistem brek turut diberikan perhatian serius dengan penggunaan cakera brek karbon seramik bersama angkup enam piston. Tayar khas Continental SportContact 7 yang dibangunkan khusus untuk model ini digunakan, dengan saiz 275/35 di hadapan dan 325/30 di belakang bagi memastikan tahap cengkaman optimum pada kelajuan tinggi.

    Brabus Bodo diperkenal – asas daripada Aston Martin Vanquish, enjin 1,000 PS, hanya 77 unit dikeluarkan

    Ruang kabin masih mengekalkan beberapa elemen asal Aston Martin Vanquish, namun Brabus melakukan pelbagai sentuhan eksklusif termasuk penggunaan corong pendingin hawa seperti Mercedes-Benz. Tempat duduk bercorak quilted, kemasan gentian karbon dan tema dalaman serba gelap menjadikan suasana kabin tampil lebih mewah dan sporty.

    Sebagai sebuah model Brabus, aspek prestasi turut dipertingkat secara drastik. Enjin asal 5.2 liter V12 turbo berkembar milik Vanquish yang menghasilkan 835 PS dan 1,000 Nm kini dinaik taraf kepada 1,000 PS dan 1,200 Nm. Tork maksimum tersedia seawal 2,900 rpm sehingga 5,000 rpm.

    Bagi mencapai peningkatan kuasa itu, Brabus memasang turbo baru, melakukan talaan semula pada kepala silinder, menaik taraf sistem pengurusan bahan api serta menggunakan sistem ekzos prestasi tinggi yang dibangunkan khas. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan bersama differential kawalan elektronik.

    Prestasi yang dihasilkan sememangnya mengagumkan apabila Bodo mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya tiga saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 360 km/j. Sebagai model ultra eksklusif, hanya 77 unit Bodo akan dihasilkan di seluruh dunia, angka tersebut dipilih sebagai penghormatan kepada tahun penubuhan Brabus pada 1977.

    Sebagai tambahan, Brabus terkenal dengan penghasilan model-model berprestasi ekstrem berasaskan Mercedes-AMG, Porsche dan Rolls-Royce. Namun Bodo memperlihatkan hala tuju baru syarikat itu dalam menghasilkan model coachbuilt tersendiri yang bukan sekadar menawarkan prestasi luar biasa, malah rekaan eksklusif dan identiti unik tersendiri.

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa – bas perantara percuma ditamatkan

    LRT Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa – bas perantara percuma ditamatkan

    Hampir lapan jam mengalami kelewatan operasi susulan masalah teknikal yang melibatkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya pagi tadi, Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah kembali beroperasi seperti biasa mula jam 1.31 tengahari tadi.

    Rapid KL berkata, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan siasatan terperinci untuk mengenalpasti punca gangguan akan dilaksanakan pada waktu kejuruteraan pada malam ini, selepas tamat operasi.

    “Sehubungan itu, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma juga ditamatkan. Namun, kakitangan tambahan akan terus ditempatkan stesen-stesen utama untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada penumpang. Penumpang disarankan merujuk pada laman media sosial Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE untuk sebarang maklumat terkini perkhidmatan.

    “Rapid KL memohon maaf diatas kesultan yang dialami oleh para penumpang yang terjejas akibat gangguan ini, dan memberi jaminan bahawa keselamatan para penumpang adalah menjadi keutamaan pihak operasi,”kata Rapid KL menerusi kenyataan yang disiarkan.

     
     
  • Naib Presiden BYD lawat kilang Inokom di Kulim — bakal jalin kontrak pemasangan dengan Sime?

    Naib Presiden BYD lawat kilang Inokom di Kulim — bakal jalin kontrak pemasangan dengan Sime?

    Seperti sedia maklum, Naib Presiden dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang berada di Pulau Pinang hujung minggu lalu untuk menghadiri pelancaran BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang. Dalam kunjungan tersebut, beliau turut mengulangi komitmen BYD untuk terus berada di pasaran Malaysia walaupun terdapat perubahan dasar kerajaan mengenai EV seperti yang diumumkan awal bulan ini.

    Dalam tempoh kunjungan tersebut juga, beliau turut melawat kilang pemasangan kenderaan Inokom Sime Motors di Kulim, Kedah. Ini menimbulkan tanda tanya sama ada BYD sedang membuat perancangan untuk melantik Sime Motors sebagai rakan kongsi untuk kontrak pemasangan tempatan bagi kenderaan BYD, yang juga selaras dengan peraturan baru MITI.

    Sebagai ringkasan, dengan peraturan terbaru berkaitan bagi kenderaan EV import sepenuhnya (CBU) yang terbaru oleh MITI bermakna barisan kenderaan CBU BYD ketika ini tidak lagi boleh dijual kerana janaan kuasanya tidak mencapai angka 180 kW (245 PS), atau akan menjadi mahal (misalnya Seal dan Sealion 7) kerana nilai kos, insurans dan tambang (CIF) akan menjadikannya berharga RM200k atau lebih.

    Naib Presiden BYD lawat kilang Inokom di Kulim — bakal jalin kontrak pemasangan dengan Sime?

    Makan, jalan penyelesaiannya adalah dengan melakukan pemasangan tempatan (CKD). Tetapi kerana BYD sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan kilang barunya sendiri, peraturan baru yang mewajibkan harga lantai RM100k, 80% daripada pengeluaran perlu dieksport serta bengkel cat, yang merupakan sesuatu yang meletakkan BYD dalam keadaan yang sukar.

    Jalan keluar yang ada tentunya CKD. Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin baru-baru ini mendedahkan “penyelesaian” kepada The Edge: “Jika (pengeluar kereta) ingin menetapkan harga EV antara RM100,000 dan RM200,000, mereka boleh bekerjasama dengan pengeluar kontrak tempatan untuk memasangnya di sini.” Inilah apa yang dilakukan oleh MG, Xpeng dan GWM dengan EPMB di Melaka, dan GAC Aion dan TQ Wuling dengan Tan Chong.

    Adakah perkembang ini merupakan satu petanda bahawa BYD akan bekerjasama dengan Inokom dan Sime Motors untuk memasang keretanya di Malaysia, dan kita akan dapat membeli EV CKD serta mungkin juga model PHEV daripada BYD tidak lama lagi?

     
     
  • Volkswagen ID Polo GTI didedahkan – 226 PS/290 Nm, 0-100 km/j 6.8s, 424 km WLTP, suspensi adaptif DCC

    Volkswagen ID Polo GTI didedahkan – 226 PS/290 Nm, 0-100 km/j 6.8s, 424 km WLTP, suspensi adaptif DCC

    Selepas 50 tahun model pertama yang menerima lencana GTI pada sebuah Volkswagen dilancarkan, kini secara rasmi pembuat automotif dari Jerman berkenaan melancarkan pula model GTI yang digerakkan oleh 100% kuasa elektrik. Tetapi EV GTI ini bukanlah diasaskan dari badan Golf – ini dia Volkswagen ID Polo GTI membuat kemunculan sulung globalnya di perlumbaan Nürburgring 24 Jam Jumaat minggu lalu!

    ID Polo GTI ini diasaskan dari platform MEB+ pacuan roda hadapan, iaitu platform yang sama digunakan pada ID Polo biasa yang telah pun didedahkan pada Mei lalu. Ia menampilkan dimensi panjang 4,096 mm, lebar 1,816 mm, tinggi 1,513 mm, serta jarak roda sejauh 2,600 mm. Jadi berbanding model generasi terakhir Polo GTI dengan enjin pembakaran dalaman, ID Polo GTI ini adalah 22 mm lebih panjang, 65 mm lebih lebar, 62 mm lebih tinggi serta jarak roda 48 mm lebih jauh.

    Menurut VW dengan saiz lebih besar ini ia memberikan penumpang 19 mm ruang dalaman lebih luas serta ruang kargo belakang membesar dari 351 liter sebelum ini kepada 441 liter. Dengan tempat duduk belakang dilipat, ruang berkenaan juga menjadi lebih besar kepada 1,240 liter, berbanding 1,125 liter sebelumnya.

    Versi dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh ini juga lebih berat iaitu ditimbang pada 1,540 kg berbanding 1,250 kg untuk Polo GTI ICE sebelum ini – perbezaan hampir 300 kg tersebut bukan sahaja kerana badannya yang lebih besar, malah sudah tentu kerana bateri EV yang memenuhi sepenuhnya bahagian lantai.

    Volkswagen ID Polo GTI didedahkan – 226 PS/290 Nm, 0-100 km/j 6.8s, 424 km WLTP, suspensi adaptif DCC

    Ia dibekalkan dengan motor elektrik pada gandar hadapan berkuasa 226 PS dan tork maksima 290 Nm bermula 0 rpm, cukup untuk membolehkan ia memecut dari 0-100 km dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j – sedikit lebih perlahan berbanding Polo GTI dengan enjin 2.0 liter TSI turbo 207 PS/320 Nm yang lebih ringan sebelum ini dengan catatan pecutan sama hanya 6.5 saat.

    Unit rangkaian kuasa ini turut menampilkan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan juga Individual. Launch Control juga disediakan bagi membolehkan hot-hatch elektrik ini berlepas seperti roket. Kuasa yang dibekalkan juga didakawa membolehkan VW ID Polo GTI ini menarik treler seberat 1.2 tan dengan kecerunan jalan sehingga 12%.

    Motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri NMC 52 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 424 km dalam kitaran ujian WLTP. Ia boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 105 kW membolehkan cas dari 10% hingga 80% dalam masa 24 minit. Kuasa dari bateri berkenaan turut boleh digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain menerusi sistem vehicle-to-load (V2L).

    Volkswagen ID Polo GTI didedahkan – 226 PS/290 Nm, 0-100 km/j 6.8s, 424 km WLTP, suspensi adaptif DCC

    Walaupun dengan badan yang lebih besar dan berat, Volkswagen menjanjikan pengalaman pemanduan GTI sebenar pada Polo ID GTI ini. Casis hot-hatch EV ini masih menampilkan konfigurasi suspensi Topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang, dengan talaan semula dibuat untuk memberikan pengendaliannya lebih baik termasuk memadankan bar anti oleng hadapan, gandar torsion beam belakang serta set spring ke semuanya lebih keras berbanding Polo ID biasa.

    Dan yang paling penting bagi mendapatkan pengendalian yang kekal lincah pada model lebih berat ini adalah pemadanan sistem suspensi DCC ikonik GTI yang menampilkan penyerap hentak jenis adaptif dengan mod Eco, Comfort, Sport, Individual dan GTI yang boleh dipilih. Gandar hadapan juga masih dibekalkan dengan LSD elektronik XDS Volkswagen bagi mengagihkan tork roda kiri dan kanan secara tepat untuk memberikan cengkaman paling optimum bergantung kepada situasi.

    Rupa luaran versi GTI ini tidak jauh lari ID Polo biasa, yang menampilkan badan hatchback lima-pintu tetapi dengan pembuka pintu belakang yang tersorok, menjadikan ia seolah-olah hatchback tiga-pintu jika dipandang sekilas lalu. Rupa yang lebih garang disumbangkan dari bampar hadapan yang lebih labuh serta gril bawah lebih besar dengan ‘taring’ berwarna merah, skirt sisi lebih tebal, kemasan seakan diffuser pada bampar belakang yang jauh lebih agresif, serta set rim aloi yang besar dengan diameter 19-inci diberikan – corak jejari Capetown diberikan secara standard manakala Wörthersee pula adalah pilihan opsyen.

    Volkswagen ID Polo GTI didedahkan – 226 PS/290 Nm, 0-100 km/j 6.8s, 424 km WLTP, suspensi adaptif DCC

    Satu jalur merah tambahan turut diberikan pada bawah lampu hadapan dengan logo GTI. Logo-logo GTI turut boleh dijumpai pada semua rim, bahagian belakang skirt sisi dan juga pada bahagian tengah pintu hatch belakang. Antara perincian standard luaran yang diberikan termasuk lampu hadapan matriks IQ.Lights, lampu belakang LED IQ.lights dan juga logo Volkswagen bernyala.

    Enam warna badan disediakan untuk Polo ID GTI ini iaitu Tornado Red solid, Candy White solid, Oyster Silver metallic, Celestial Blue metallic, Magnetic Grey metallic dan juga Grenadilla Black metallic.

    Manakala pada sebelah dalam, rupa papan pemuka Polo ID biasa termasuk kokpit digital yang terdiri daripada paparan instrumen bersaiz 10.25 inci bersama mod “retro display” yang diinspirasikan daripada meter analog model Volkswagen Golf Mk1., skrin infotainmen 12.9-inci serta suis-suis kawalan fizikal yang disusun seperti kekunci piano di bawah corong penghawa dingin tengah masih dikekalkan.

    Ia nampak lebih garang menerusi tema hitam bersama serlahan-serlahan merah yang ditonjolkan jalur-jalur kemasan pada kabin GTI ini. Roda stereng juga masih diasaskan dengan bentuk yang sama, tetapi ia kelihatan jauh lebih sporty dengan balutan kulit hitam, modul beg udara juga berwarna hitam serta serlahan jahitan merah, logo GTI di bawah berwarna merah dan juga penanda pukul 12 juga berwarna merah.

    Tempat duduk hadapan bucket yang lebih sporty juga diberikan pada GTI elektrik ini, dibalut dengan upholsteri ArtVelours Eco Soul microfleece yang menyerlah grafik tartan yang ikonik, di mana bahan yang sama turut boleh dijumpai pada kemasan panel pintu.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk lampu suasana kabin dengan pilihan 30 warna, butang penghidup dan juga tempat duduk hadapan yang boleh dilaras dengan bantuan elektrik 12-hala. Menurut Volkswagen, pra-jualan ID Polo GTI ini akan bermula di Jerman pada musim luruh ini dengan harga bermula 39,000 Euro atau sekitar RM178k.

     
     
  • BMW Vision K18 Concept didedah – gaya inspirasi daripada dunia penerbangan, enjin enam silinder

    BMW Vision K18 Concept didedah – gaya inspirasi daripada dunia penerbangan, enjin enam silinder

    BMW Motorrad memperkenalkan sebuah motosikal konsep unik dikenali sebagai BMW Motorrad Vision K18 di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este yang berlangsung di Tasik Como, Itali. Model ini dibangunkan berasaskan platform BMW K1600B, iaitu motosikal touring mewah BMW yang turut dipasarkan di Malaysia pada harga sekitar RM173,500.

    Vision K18 menampilkan interpretasi baru BMW terhadap motosikal touring berprestasi tinggi dengan gabungan elemen seni dan kejuruteraan moden. Jentera konsep ini digerakkan oleh enjin enam silinder sebaris berkapasiti 1,800 cc yang menjadi identiti utama model berkenaan.

    BMW Motorrad menyifatkan konfigurasi enjin enam silinder itu bukan sekadar nadi penggerak, tetapi simbol prestasi, kemewahan dan emosi yang menjadi teras pembangunan motosikal ini.

    BMW Vision K18 Concept didedah – gaya inspirasi daripada dunia penerbangan, enjin enam silinder

    Rekaan Vision K18 banyak dipengaruhi oleh dunia penerbangan, terutama melalui penggunaan panel badan yang panjang dan aerodinamik sehingga menyerupai pesawat berkelajuan tinggi. BMW menggunakan konsep “Full Force Forward” bagi menyerlahkan karakter enjin enam silinder tersebut. Elemen itu diterjemahkan menerusi penggunaan enam saluran kemasukan udara di bahagian hadapan, enam paip ekzos di belakang serta enam lampu LED pada bahagian lampu.

    Penampilan motosikal ini turut diperkemaskan dengan sistem suspensi hidraulik yang direndahkan bagi menghasilkan kedudukan lebih rendah dan memanjang. Hampir keseluruhan badan Vision K18 dihasilkan secara manual menggunakan aluminium yang dibentuk dengan teknik planishing. Antara komponen paling menonjol ialah panel sisi sepanjang lebih dua meter yang kelihatan seolah-olah dihasilkan daripada satu kepingan logam tanpa sambungan.

    BMW turut menggunakan bahan forged carbon pada beberapa bahagian bagi mengurangkan berat selain memberikan sentuhan moden dan premium. Teknik flame spraying pula digunakan untuk menghasilkan kemasan logam berkilat pada beberapa komponen utama. Kedudukan kotak udara dan tangki bahan api juga diubah bagi menghasilkan profil motosikal yang lebih panjang, rendah dan rata.

    Bahagian belakang motosikal ini menempatkan enam paip ekzos yang disusun tiga di setiap sisi, manakala bahagian hadapan pula menyalurkan udara terus ke kotak udara melalui enam saluran intake yang direka khas. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BMW Motorrad, Markus Flasch, Vision K18 memperlihatkan bagaimana BMW mentafsir prestasi, kemewahan dan emosi dengan pendekatan yang lebih berani dan yakin.

    Sebagai tambahan, enjin enam silinder sebaris BMW Motorrad yang digunakan pada keluarga K1600 sememangnya terkenal sebagai antara enjin touring paling lancar dalam segmennya. Enjin tersebut menghasilkan kuasa sekitar 160 hp dan tork melebihi 180 Nm pada model produksi K1600.

    BMW turut melengkapkan motosikal touring mereka dengan teknologi moden seperti sistem suspensi elektronik Dynamic ESA, mod tunggangan, kawalan cengkaman, lampu adaptif serta sistem infotainmen TFT bersaiz besar yang direka khusus untuk perjalanan jarak jauh.

     
     
  • Kerajaan akan bincang mengenai kenaikan kuota Budi95 kepada 250L untuk p-hailing – Anwar Ibrahim

    Kerajaan akan bincang mengenai kenaikan kuota Budi95 kepada 250L untuk p-hailing – Anwar Ibrahim

    Berita baik untuk penghantar makanan p-hailing. Kerajaan akan membincangkan kenaikan kuota Budi95 untuk para penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Selasa ini.

    Perkara itu didedahkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika menghadiri satu acara di Johor semalam. Perdana Menteri berkata beliau sendiri akan membawa perkara tersebut untuk dibincangkan dalam mesyuarat MTEN. Cadangan itu tercetus daripada inisiatif beliau sendiri selepas turun padang dan mendengar keluhan penghantar makanan mengenai kuota semasa yang tidak mencukupi.

    “Mesyuarat (MTEN) pada hari Selasa, saya akan bawa (perkara ini) dan bincangkan. Sebab mereka (p-hailing) dapat 200 liter, sama seperti kita, RON95 hanya 200 liter. Jadi saya kata, kita ingatkan saudara Fahmi Fadzil, kita cari jalan sekurang-kurangnya tambah lagi 50 liter supaya menjadi 250 liter,” kata PMX seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Kuota subsidi bahan api Budi95 – yang asalnya 300 liter sebulan – telah diselaraskan sementara kepada 200 liter pada 26 Mac susulan peningkatan mendadak harga pasaran global akibat krisis Timur Tengah.

     
     
  • Subsidi minyak – Kerajaan belum bincang klasifikasi pendapatan T20; fokus Budi Diesel – Amir Hamzah

    Subsidi minyak – Kerajaan belum bincang klasifikasi pendapatan T20; fokus Budi Diesel – Amir Hamzah

    Kerajaan Nakaysia masih belum membincangkan klasifikasi baharu bagi golongan berpendapatan T20, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, menurut laporan New Straits Times.

    Katanya, buat masa ini, kerajaan memfokuskan pelaksanaan mekanisme subsidi Budi Diesel di seluruh negara, berbanding memperkenalkan klasifikasi kategori pendapatan baharu.

    “Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil minggu lalu, kerajaan tidak membincangkan sebarang klasifikasi kategori-T. Pendekatan kami adalah memberi tumpuan kepada pelaksanaan Budi Diesel di seluruh negara. Kami menggunakan pendekatan yang sama seperti Budi95 kerana kami percaya sistem itu menyeluruh dan adil kepada semua,” kata Amir Hamzah Azizan, sambil menambah bahawa kerajaan sedang berusaha memperluaskan mekanisme tersebut ke Sabah dan Sarawak

    Subsidi minyak – Kerajaan belum bincang klasifikasi pendapatan T20; fokus Budi Diesel – Amir Hamzah

    Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan subsidi diesel menggunakan mekanisme yang serupa dengan skim Budi Madani RON95 (Budi95) bagi petrol.

    Sebagai respons terhadap gesaan beberapa pihak termasuk peniaga, pengusaha pengangkutan dan National Union of the Teaching Profession (NUTP) supaya kuota subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter dikembalikan, Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaan subsidi dengan ketidaktentuan bekalan global susulan konflik di Timur Tengah.

    Pengurangan kuota subsidi petrol RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan dibuat berdasarkan corak penggunaan sebenar yang direkodkan, di mana purata penggunaan adalah sekitar 98 liter sebulan, kata Amir Hamzah Azizan.

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya sedang alami gangguan teknikal – bas perantara disediakan secara percuma

    LRT Laluan Kelana Jaya sedang alami gangguan teknikal – bas perantara disediakan secara percuma

    Rapid KL mengumumkan bahawa jadual perkhidmatan Laluan Kelana Jaya sedang mengalami kelewatan sejak sejam yang lepas akibat gangguan teknikal melibatkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya. Gangguan ini berpunca daripada kerosakan komponen tren yang menyebabkan tren tersebut tidak dapat bergerak di Stesen Kelana Jaya.

    Disebabkan gangguan operasi ini, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya di Stesen Ara Damansara dan Stesen Kelana Jaya. Justeru, Rapid KL telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan.

    Tren alternatif disediakan melibatkan tren dari Stesen Putra Heights yang akan berpatah balik di Stesen Ara Damansara dengan jangkaan kekerapan enam minit, manakala tren dari Stesen Gombak akan berpatah balik di Stesen Kelana Jaya dengan kekerapan enam minit. Manakala tren perantara dari Stesen Ara Damansara ke Stesen Kelana Jaya (Platform 2) dengan kekerapan lapan minit.

    Untuk bas perantara ulang alik pula, ia disediakan secara percuma di antara Stesen Ara Damansara, Lembah Subang dan Kelana Jaya dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa.

    Manakala tren Laluan Ampang/Sri Petaling pula dijangka tiba dengan kekerapan tiga minit (enam minit bagi bukan daerah pusat perniagaan), Monorel (tujuh minit), MRT Laluan Kajang (empat hingga lima minit) dan Laluan Putrakaya (empat minit).

    “Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, seperti Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya. Pasukan teknikal kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih bagi memulihkan operasi normal secepat mungkin. Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang.

    “Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen. Penumpang disarankan merujuk pada laman media sosial Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE untuk status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya,” kata syarikat tersebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • BYD Mansion Macalister dilancarkan secara rasmi

    BYD Mansion Macalister dilancarkan secara rasmi

    BYD Malaysia dan Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi bilik pameran flagship yang pertama, BYD Mansion Macalister yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang. Ini merupakan bilik pameran ketiga BYD di Pulau Mutiara, dan yang ke-41 di seluruh negara.

    BYD Mansion Macalister memanfaatkan serta memberikan nyawa baru kepada sebuah premis rumah kediaman lama yang mempunyai sejarah dan warisan panjang Peranakan lebih 100-tahun, yang diubahsuai untuk memaparkan kesungguhan dan imej premium yang ingin di bawah oleh jenama itu di sini.

    Melibatkan kawasan seluas 26,994 kaki persegi dengan ruang bangunan dua tingkat berkeluasan 9,000 kaki persegi, bilik pameran berkenaan antara lain terdiri daripada ruang servis yang mampu menampung lapan kenderaan dalam satu masa, ruang serahan kenderaan untuk pelanggan, ruang menyambut tetamu serta ruang pameran kenderaan di lantai bawah. Di atas pula terletak sebuah ruang menunggu dengan hidangan ringan yang nyaman. Di luar, satu pengecas pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC oleh operator DC Handal.

    Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, dan turut disaksikan oleh ahli Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang, YB H’ng Mooi Lye.

    “Komitmen kami kepada Malaysia mencerminkan wawasan global BYD untuk menjadikan pengangkutan lestari mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat. Kami terus menyalurkan inovasi teknologi dan keupayaan penyelidikan ke dalam pasaran kerana kami yakin dengan masa depan mobiliti tenaga baru di Malaysia.

    “Pelaburan berterusan kami untuk meningkatkan kemahiran dan bakat tempatan dalam teknologi EV untuk masa depan turut dicerminkan dengan kesungguhan untuk menunaikan janji jangka panjang kami kepada negara ini. BYD Mansion Macalister adalah satu daripada komitmen tersebut, yang menggabungkan inovasi bertaraf dunia dengan memberi penghormatan kepada warisan tempatan,” jelas Naib Presiden BYD Co., Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang.

    Dalam kesempatan yang sama, Liu juga menegaskan komitmen BYD untuk terus berada dan memperkukuh kedudukannya di Malaysia susulan daripada perubahan dasar terbaru melibatkan EV import sepenuhnya seperti yang diumumkan oleh kerajaan pada awal Mei.

     
     
  • Stesen Keretapi Segambut Utara dilancarkan – parkir percuma 3 bulan; sasar 580,000 penumpang setahun

    Stesen Keretapi Segambut Utara dilancarkan – parkir percuma 3 bulan; sasar 580,000 penumpang setahun

    Stesen Keretapi Segambut Utara telah pun dilancarkan secara rasminya hari ini oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang diiiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.

    Telah pun memulakan operasinya sejak 11 Mei lalu, stesen keretapi yang dibina dengan kos lebih RM39 juta ini dibangunkan bagi memperkukuh ketersambungan rangkaian pengangkutan awam serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

    Stesen yang terletak di antara Stesen Kepong dan Stesen Segambut ini dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik dan pengurus aset rel negara, anak syarikat milik penuh kepada UOA Development Berhad iaitu IDP Industrial Development Sdn. Bhd selaku pemaju projek United Point Residence (yang terletak bersebelahan Stesen Keretapi Segambut Utara) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai pengendali operasi perkhidmatan rel.

    Menurut KTMB, projek ini mencerminkan keberkesanan model kerjasama awam-swasta dalam pembangunan infrastruktur rel negara dengan RAC memainkan peranan utama dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian teknikal dan keselamatan, di samping menjamin integrasi menyeluruh dengan sistem rel sedia ada bagi menyokong kelancaran operasi jangka panjang.

    Stesen baharu ini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Stesen Sentral Kuala Lumpur, dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk sekitar Segambut dengan menyediakan pilihan perjalanan harian yang lebih mudah, selesa dan efisien.

    Pembukaan stesen ini turut menjadi nilai tambah strategik kepada rangkaian KTM Komuter bagi laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan antara kawasan kediaman, pusat komersil dan hab pengangkutan utama di Lembah Klang termasuk Stesen Putra dan Stesen Bank Negara. Stesen ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden yang menitikberatkan aspek keselesaan, kebolehcapaian dan keselamatan pengguna.

    Stesen Keretapi Segambut Utara dilancarkan – parkir percuma 3 bulan; sasar 580,000 penumpang setahun

    Dari aspek ketersambungan, stesen ini turut menyediakan akses terus ke rangkaian jalan utama serta integrasi dengan perkhidmatan bas dan teksi, sekali gus memudahkan akses kepada penduduk sekitar Segambut, Kepong, Mont Kiara dan Jinjang. Bagi mengukuhkan lagi ketersambungan perjalanan First-and-last-mile, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanjangkan perkhidmatan Bas GoKL 13 (MRT Jinjang-MATRADE) sedia ada ke Stesen Segambut Utara, berkuatkuasa 1 Jun 2026.

    Malah dalam acara pelancaran ini juga, Loke turut mengumumkan pemberian kemudahan parkir percuma selama tiga bulan di stesen ini. Inisiatif ini dijangka dapat mengoptimumkan penggunaan fasiliti parkir sedia ada serta meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan rel di kawasan sekitar.

    Menurut KTMB, pemanjangan jajaran sepanjang 500 meter di Jalan Udang Gantung ini akan beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 11 malam, menyediakan ketersambungan yang lancar bagi penumpang yang menggunakan stesen baru ini. Dengan kapasiti sehingga 8,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak, stesen ini diunjurkan mampu mengendalikan sekitar 580,000 penumpang setahun.

    Stesen Keretapi Segambut Utara dilancarkan – parkir percuma 3 bulan; sasar 580,000 penumpang setahun

    Sepanjang tahun 2025, laluan KTM Komuter Tanjung Malim – Pelabuhan Klang telah merekodkan seramai 4.3 juta penumpang. Pembukaan Stesen Keretapi Segambut Utara dijangka menyumbang kepada peningkatan jumlah pengguna sehingga 2% dalam tempoh enam bulan pertama pengoperasiannya.

     
     
  • Chery Tiggo 9 – teaser disiar, dilancar tak lama lagi; SUV segmen-D, fungsi pengurut, sistem audio Sony

    Chery Tiggo 9 – <em>teaser</em> disiar, dilancar tak lama lagi; SUV segmen-D, fungsi pengurut, sistem audio Sony

    Chery Malaysia telahpun menyiarkan teaser bagi model Tiggo 9 yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi, dan pendaftaran minat (RoI) bagi pelanggan juga sudahpun dibuka. SUV ini akan menjadi model flagship dalam barisan model Chery Tiggo di Malaysia, yang kini terdiri dari Tiggo 8 Pro, Tiggo 8 PHEV, Tiggo 8, Tiggo 7 Pro, Tiggo 7 PHEV dan juga yang paling kecil Tiggo Cross.

    Beberapa senarai kelengkapan telah diumumkan dalam laman pendaftaran minat model tersebut. Antara yang sudah sah adalah unit rangkaian kuasa dengan enjin 2.0 liter Turbo dengan sistem pacuan semua roda. Sebelum ini Chery Malaysia ada menyatakan bahawa ia akan membawa Tiggo 9 dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH), namun ia mungkin akan ditawarkan selepas pelancaran model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya ini terlebih dahulu.

    Enjin yang disebutkan berkenaan dijangka merupakan enjin yang sama terdapat pada Tiggo 8 Pro, iaitu unit 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 256 PS dan tork maksima 390 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Tidak seperti Tiggo 8 Pro yang hanya memacu roda hadapan, Tiggo 9 ini diberikan sistem AWD yang datang dengan tujuh mod iaitu Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan Off-Road.

    Chery Tiggo 9 – <em>teaser</em> disiar, dilancar tak lama lagi; SUV segmen-D, fungsi pengurut, sistem audio Sony

    Perincian lain yang turut telah disahkan termasuk rim aloi 20-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci yang dikuasakan oleh chip Snapdragon 8155 keluaran Qualcomm, paparan head-up, tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-hala, fungsi pengalir udara dan pengurut pada tempat duduk hadapan, pengalir udara pada tempat duduk baris kedua, serta sistem bunyi Sony dengan 14 pembesar suara termasuk di dalam perehat kepala tempat duduk hadapan.

    Dari segi saiz, Tiggo 9 dihasilkan dengan panjang 4,810 mm dan lebar 1,925 mm, menjadikannya ia 88 mm lebih panjang dan 65 mm lebih lebar daripada Tiggo 8 Pro. Jarak rodanya diukur sejauh 2,800 mm atau 90 mm lebih panjang daripada Tiggo 8 Pro. Walau bagaimanapun berbanding ‘sepupunya’ Jaecoo J8, Tiggo 9 ini adalah 10 mm lebih pendek, 5 mm kurang lebar dan jarak rodanya juga adalah 20 mm lebih dekat.

    Tiada sebarang petunjuk berkenaan harga Tiggo 9 ini. Namun ia pastinya lebih mahal dari Tiggo 8 Pro yang kini dijual pada harga RM159,800. Kita juga mungkin boleh mengambil Jaecoo J8 untuk membuat anggaran – model dengan enjin 2.0T yang sama serta saiz yang tidak jauh beza tersebut dijual pada harga RM168,800 untuk varian 2WD dan RM188,800 untuk varian AWD.

     
     
  • BYD kekal komited dengan pasaran Malaysia walau ada perubahan dasar, lebar sayap ke Malaysia Timur

    BYD kekal komited dengan pasaran Malaysia walau ada perubahan dasar, lebar sayap ke Malaysia Timur

    Naib Presiden dan Pengurus Besar BYD bagi Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik, Liu Xueliang dalam ucapannya ketika majlis pelancaran rasmi bilik pameran BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang menjelaskan bahawa syarikat itu akan tetap komited terhadap pasaran Malaysia walaupun terdapat perubahan dasar kerajaan berkaitan EV seperti yang diumumkan penghujung April lalu.

    “Kami ambil maklum bahawa kerajaan Malaysia telah mengeluarkan dasar baru berkaitan kenderaan tenaga baru (NEV). Sebagai sebuah syarikat teknologi yang bertanggungjawab, kami akan terus membawa teknologi dan produk terbaik kami ke Malaysia untuk ditawarkan kepada pelanggan di sini.

    “Bersama dengan pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia, serta sokongan daripada rakan pengedar, kami akan mencari kesepakatan bagi penyelesaian pembangunan NEV yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia,” katanya.

    “Kami menghormati semua dasar yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Kami berharap akan dapat memanfaatkan usaha, kebijaksanaan dan semangat kami, serta dengan sokongan dan kerjasama semua pelanggan dan rakan-rakan untuk terus membawa dan memperkenalkan teknologi dan produk terbaik kami di sini,” tambahnya.

    BYD kekal komited dengan pasaran Malaysia walau ada perubahan dasar, lebar sayap ke Malaysia Timur

    Sebagai ringkasan, berdasarkan peraturan EV import sepenuhnya (CBU) terbaru yang dikeluarkan oleh MITI pada 30 April lalu bermakna barisan kereta CBU BYD yang ada ketika ini tidak lagi boleh dijual kerana tidak mempunyai hasil janaan minimum 180 kW (245 PS) seperti yang terkandung dalam syarat baru itu. Atau, jika terus ingin dijual di sini, harganya akan menjadi sangat mahal (misalnya model Seal dan Sealion 7) kerana CIF dengan harga lantai RM200k.

    Jalan penyelesaiannya adalah dengan melakukan pemasangan tempatan (CKD). Tetapi, oleh kerana BYD sedang menubuhkan kilang baru, peraturan terkini itu turut menetapkan harga lantai RM100k serta sasaran 80% daripada jumlah pengeluaran dari kilang itu adalah untuk tujuan eksport.

    Dalam perkembangan lain, Liu juga mendedahkan bahawa BYD sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan rangkaian jualannya ke Malaysia Timur. “Tahun lalu, saya berkunjung ke Malaysia Timur, dan saya dapat merasakan bahawa terdapat banyak permintaan daripada pengguna di sana terhadap teknologi dan produk-produk BYD. Saya telah berjanji yang kami akan membawa teknologi dan produk BYD ke Malaysia Timur,” ujarnya. Bagaimanapun, belum ada sebarang garis masa yang ditetapkan untuk menjadikan perkara itu satu kenyataan.

     
     
  • UMW Toyota jual 6,464 unit kenderaan pada April 2026

    UMW Toyota jual 6,464 unit kenderaan pada April 2026

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 6,464 unit kenderaan sepanjang April 2026, membolehkan angka keseluruhan jualan tahunan bagi empat bulan pertama tahun ini sudahpun mencapai 21,924 unit.

    Seperti biasa UMWT tidak memperincikan jumlah jualannya mengikut pecahan model. Namun jika melihat kepada senarai pendaftaran kereta baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), model Toyota yang paling laris sepanjang bulan lalu adalah Toyota Hilux yang terjual sebanyak 1,804 unit.

    Ia diikuti Toyota Vios yang terjual sebanyak 1,706 unit, yang juga merupakan model ke-12 paling laris di Malaysia untuk bulan lalu. Carta berkenaan turut mendedahkan sebanyak 1,487 unit Toyota Alphard didaftarkan bulan lalu, namun rekod tersebut termasuk sekali unit model recond yang dijual oleh pengimport persendirian.

    UMWT agak sibuk memperkenalkan model-model baharu tahun ini, dengan pelancaran dibuat hampir setiap bulan untuk tempoh tidak sampai separa tahun ini. Ia bermula dengan GR Corolla 2026, Vellfire Hybrid dan Vios Hybrid pada Januari, Harrier Hybrid pada Mac, Trio EV Toyota Urban Cruiser, Toyota bZ4x dan Hilux BEV pada April, dan terbaharu Yaris Cross pada minggu lalu.

     
     
  • Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

    Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

    Satu-satunya model Lotus yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman iaitu Lotus Emira bakal menerima kemaskini semula selepas ini yang melibatkan unit rangkaian kuasa di mana pilihan enjin empat-silinder turbo dari Mercedes-AMG dan juga V6 3.5 liter Supercharged dari Toyota sedia ada akan digantikan dengan enjin dari Horse Powertrain.

    Seperti yang diketahui, Horse Powertrain merupakan pembekal unit rangkaian kuasa milik pemilik Lotus iaitu Geely bersama Renault, dan enjin yang bakal disumbat pada Emira adalah enjin Horse W30. Perkara ini diberitahu sendiri oleh CEO Lotus Feng Qingfeng kepada Autocar.

    Enjin Horse W30 ini dihasilkan dalam konfigurasi V6, di mana enam silinder secara keseluruhan berkapasiti 3.0 liter, disusun dalam bentuk-V dengan sudut tebing 90 darjah antara satu sama lain. Enjin ini beroperasi menggunakan bahan api petrol biasa, dan menerima sistem suntikan bahan api terus (GDi), dan suapan induksi turut dibantu oleh dua unit pengecas turbo.

    Bergantung pada talaan, Horse Powertrain menyatakan bahawa enjin W30 ini mampu menghasilkan kuasa antara 476 PS hingga 544 PS, dan tork maksima antara 600 Nm hingga 700 Nm.

    Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

    Enjin ini juga direka kompak, yang membolehkan ia diletakkan secara menegak ke belakang untuk platform kenderaan pacuan belakang, atau melintang untuk platform pacuan hadapan. Dan ia hanya seberat 160 kg, atau sekitar 10 kg lebih ringan dari enjin V6 paling ringan yang ada dalam pasaran buat masa sekarang, dakwa Horse Powertrain.

    Feng memberitahu Emira akan menggunakan enjin Horse W30 ini yang akan digandingkan dengan kotak gear automatik yang diintegrasikan dengan motor elektrik (mungkin kotak gear DHT), menjadikan ia sebagai unit rangkaian hibrid yang bukan sahaja memberikan kuasa tambahan, malah ia juga perlu untuk mengurangkan emisi.

    Feng menyatakan bahawa Lotus mengambil keputusan untuk hanya menumpukan kepada enjin V6 ini kerana buat masa sekarang pelanggan Emira di pasaran Amerika Syarikat lebih sukakan enjin V6 berbanding empat-silinder turbo. “Mereka memberitahu kami bahawa mereka sukakan enjin V6, dan sebenarnya versi V6 adalah yang paling laris di pasaran AS,” jelas Feng.

    Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

    Namun enjin V6 sedia ada yang dibekalkan oleh Toyota berkenaan akan mempunyai masalah untuk melepasi undang-undang emisi yang lebih ketat di Eropah tidak lama lagi, seterusnya menggesa Horse Powertrain untuk membangunkan enjin V6 baharu.

    Menerusi strategi Focus 2030 yang diumumkan oleh Lotus tempoh hari, jenama kereta sport British berkenaan mengesahkan bahawa ia tidak lagi mensasarkan untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya. Lotus bakal menawarkan semula kereta-kereta yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, dan pada 2028 ia bakal muncul dengan versi produksi supercar V8 Hybrid dengan kod Type 135 yang dikhabarkan akan menggunakan semula nama ‘Esprit’.

    Lotus mensasarkan untuk menghasilkan 10,000 kereta di kilangnya di Hethel, United Kingdom dengan gandingan produksi Emira baharu ini dan juga Esprit generasi baharu tersebut.

    GALERI: Enjin Horse W30 yang dipamerkan di Auto China Beijing 2026

     
     
  • MyKad baharu tiada fungsi Touch ‘n Go – JPN

    MyKad baharu tiada fungsi Touch ‘n Go – JPN

    Ketua Pengarah Jabatan pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias mendedahkan bahawa MyKad baharu, yang dijangka akan diperkenalkan pada bulan hadapan, tidak akan memiliki fungsi seperti kad Touch ‘n Go (TnG), laporan Bernama.

    Mengapa perkara ini tidak pernah didedahkan secara rasmi – mungkin atas faktor keselamatan dan risiko kecurian. Namun begitu, kad Touch ‘n Go anda juga boleh dicuri dengan mudah, dan anda sentiasa boleh menamatkan kad tersebut sekiranya berlaku kecurian serta mendapatkan semula wang anda dengan mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk membuat laporan polis.

    Secara peribadi, kami mendapati ciri MyKad dengan fungsi Touch ‘n Go amat berguna, apatah lagi MyKad sentiasa bersama kita dan membuatkan kita tidak perlu membawa kad TnG secara berasingan. Ia juga sangat berguna dalam situasi kecemasan, seperti apabila kita secara tidak sengaja tertinggal kad TnG dalam kereta lain – tapi masih boleh membayar tol, parkir atau menaiki pengangkutan awam termasuk LRT dengan menggunakan Mykad yang ada fungsi seperti TnG.

    MyKad baharu tiada fungsi Touch ‘n Go – JPN

    Tetapi Mykad tidak menyokong fungsi NFC jadi kita tidak boleh menambah nilai menggunakan telefon pintar, setakat itulah kelemahan yang cukup ketara.

    Namun demikian, anda tidak digesa untuk menukar Mykad kepada versi yang baharu ini. Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, “Undang-undang hanya mewajibkan setiap warganegara memiliki MyKad apabila mencapai usia 12 tahun, namun tidak menetapkan semua pemegang MyKad sedia ada perlu menukar kad mereka secara serentak.”

    Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, pengenalan MyKad generasi baharu itu bertujuan memperkukuh aspek keselamatan dokumen pengenalan diri negara melalui penambahan ciri keselamatan terkini.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia dan rakan pengedar, Asbenz Stern lancar pusat 4S Kuantan Autohaus di Pahang

    Mercedes-Benz Malaysia dan rakan pengedar, Asbenz Stern lancar pusat 4S Kuantan Autohaus di Pahang

    Mercedes-Benz Malaysia bersama Asbenz Stern hari ini merasmikan pembukaan Autohaus baru di Kuantan, yang kini menjadi pusat Mercedes-Benz terbesar di Pantai Timur. Pembukaan fasiliti baru ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh lagi rangkaian jualan dan perkhidmatan jenama Jerman itu di dalam negara.

    Terletak di kawasan Indera Mahkota, Autohaus Asbenz Stern Kuantan dibangunkan dengan keluasan keseluruhan mencecah 65,340 kaki persegi. Daripada jumlah itu, seluas 26,565 kaki persegi diperuntukkan khusus untuk ruang pameran yang mampu memuatkan sehingga enam kenderaan pada satu masa. Fasiliti tersebut turut dilengkapi ruang pelanggan seperti Star Lounge serta sudut pameran Mercedes-Benz Lifestyle Collection.

    Selain menawarkan jualan dan servis selepas jualan, pusat baru ini dinaik taraf menjadi fasiliti 4S dengan penambahan perkhidmatan cat dan baik pulih badan (B&P). Sebelum ini, Asbenz Stern hanya mengendalikan pusat 3S yang mula beroperasi di Kuantan sejak tahun 2018.

    Mercedes-Benz Malaysia dan rakan pengedar, Asbenz Stern lancar pusat 4S Kuantan Autohaus di Pahang

    Bagi memperkukuhkan lagi operasi selepas jualan, Autohaus ini dilengkapi sebanyak 16 ruang kerja yang mampu mengendalikan pelbagai jenis servis termasuk penyelenggaraan berkala dan kerja pembaikan lebih kompleks. Semua kerja dilakukan oleh juruteknik yang menerima latihan dan pensijilan rasmi daripada Mercedes-Benz.

    Seiring perkembangan mobiliti elektrik, fasiliti baru ini turut menyediakan pengecas pantas DC berkuasa sehingga 120 kW yang dilengkapi dua muncung pengecas bagi membolehkan dua kenderaan dicas secara serentak. Kemudahan tersebut menyokong model elektrik penuh serta plug-in hybrid keluaran Mercedes-Benz.

    Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia serta Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata pembukaan Autohaus baru itu mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan pengalaman pelanggan Mercedes-Benz di Pantai Timur.

    Mercedes-Benz Malaysia dan rakan pengedar, Asbenz Stern lancar pusat 4S Kuantan Autohaus di Pahang

    Sementara itu, Pengarah Urusan Asbenz Stern, Goh Chuan Kiong menyatakan bahawa Kuantan sentiasa menjadi lokasi penting bagi syarikat itu. Menurut beliau, pelaburan dalam fasiliti baru yang dibina khusus dengan kemampuan lebih menyeluruh termasuk perkhidmatan B&P akan membolehkan pelanggan menerima servis yang lebih cekap dan komprehensif.

    Kerjasama antara Asbenz Motors dan Mercedes-Benz bermula sejak Mei 2004, dan sehingga kini syarikat itu telah melaburkan sekitar RM35 juta bagi pembangunan rangkaiannya. Daripada jumlah tersebut, RM23 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan Autohaus baru di Kuantan. Selain Pahang, Asbenz Stern turut mempunyai operasi di Kedah dan Terengganu.

    Autohaus Asbenz Stern Kuantan terletak di No C1, Mahkota Valley, Jalan IM 9/1, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

     
     
  • Perodua Ativa Hybrid sah akan dibuat, dijual di M’sia

    Perodua Ativa Hybrid sah akan dibuat, dijual di M’sia

    Perodua Ativa Hybrid akhirnya disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia secara rasmi selepas empat tahun ia diperkenalkan menerusi program percubaan berasaskan langganan. Sebelum ini hanya ditawarkan kepada kumpulan pengguna terpilih, model hibrid tersebut kini akan dikeluarkan dalam negara dan dijual terus kepada pengguna.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat itu kini sedang memuktamadkan beberapa perkara termasuk jadual pengeluaran serta penetapan harga sebelum pengumuman rasmi dibuat. Beliau turut mengesahkan bahawa Ativa Hybrid akan dipasang secara tempatan di Malaysia – lapor Bernama.

    Menurut beliau lagi, Perodua menerima dana sekitar 1.5 bilion yen, bersamaan lebih RM37 juta, daripada Global South Fund bagi menyokong pembangunan teknologi hibrid Jepun di Malaysia. Dana tersebut dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, atau METI, dan bertujuan membantu negara membangun dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital serta pembangunan infrastruktur. Bantuan itu dijangka dapat mengurangkan kos pembangunan model hibrid pertama Perodua.

    Perodua Ativa Hybrid sah akan dibuat, dijual di M’sia

    Sebelum ini, sekitar tahun 2023, Perodua pernah menyatakan bahawa teknologi hibrid akan menjadi langkah seterusnya bagi syarikat, sebelum projek kenderaan elektrik diperkenalkan. Pada ketika itu, model hibrid pertama Perodua dirancang sebagai satu varian dalam generasi baru sesebuah model, bukannya model khas seperti Toyota Prius. Namun perkembangan terkini menunjukkan pelan tersebut mungkin berubah apabila Ativa dipilih sebagai asas kepada model hibrid pertama syarikat.

    Untuk rekod, Ativa Hybrid yang diperkenalkan kepada 300 pelanggan menerusi program langganan pada tahun 2022 sebenarnya merupakan model import sepenuhnya berasaskan Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid. Model itu menggunakan motor elektrik berkuasa 106 PS dan 170 Nm, dipadankan dengan enjin tiga silinder 1.2 liter Atkinson-cycle yang berfungsi sebagai penjana tenaga untuk bateri hibrid.

    Sistem tersebut hampir menyerupai teknologi e-Power milik Nissan, di mana roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Enjin pembakaran dalaman pula tidak memacu roda secara terus, sebaliknya hanya menjana kuasa elektrik untuk sistem hibrid. Pendekatan ini berbeza dengan sistem e:HEV milik Honda atau Toyota Hybrid System yang digunakan pada beberapa model Toyota.

    Dari segi kecekapan bahan api, Daihatsu Rocky Hybrid dikatakan mampu mencatat penggunaan serendah 3.6 liter bagi setiap 100 kilometer mengikut kitaran WLTP, bersamaan sekitar 27.8 km bagi setiap liter petrol. Ketika program langganan diperkenalkan dahulu, Perodua mendakwa Ativa Hybrid mampu mencapai sehingga 31.3 km/l menerusi simulasi “Malaysian Driving Cycle” yang dibangunkan berdasarkan keadaan pemanduan tempatan.

    Dengan pengeluaran tempatan, terdapat kemungkinan Perodua akan melakukan beberapa perubahan pada reka bentuk dan talaan suspensi agar lebih sesuai dengan citarasa serta keadaan jalan raya di Malaysia. Ini bermakna Ativa Hybrid versi pemasangan tempatan mungkin tampil hampir sama seperti Ativa petrol biasa, dengan beberapa elemen khas bagi membezakan varian hibrid tersebut.

    Dari sudut harga, Ativa 1.0 Turbo ketika ini dijual pada harga antara RM62,500 hingga RM73,400. Sebagai perbandingan, Daihatsu Rocky Hybrid dilancarkan di Indonesia pada tahun 2025 dengan harga sekitar RM76,000 ketika masih diimport sepenuhnya dari Jepun. Berdasarkan perkembangan semasa, ramai menjangkakan Ativa Hybrid versi Malaysia bakal ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif apabila pengeluaran tempatan bermula kelak.

    GALERI: Perodua Ativa Hybrid 2022

     
     
  • JPJ eBid: PSG dan CFH bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Pahang yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PSG bakal dibuka bidaan mulai 21 Mei. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 25 Mei. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Mei 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang, CFH, bakal dibuka bidaan mulai 22 Mei. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 26 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Mei 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • JPJ bakal guna ANPR laksana penguatkuasaan – kesan kesalahan melibatkan cukai jalan, insurans dll

    JPJ bakal guna ANPR laksana penguatkuasaan – kesan kesalahan melibatkan cukai jalan, insurans dll

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memaklumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan Projek Penguatkuasaan Bersepadu Automated Number Plate Recognition (P-B ANPR) bagi mempertingkatkan kecekapan, ketepatan dan integriti sistem penguatkuasaan jalan raya negara.

    Pelaksanaan projek rintis itu direncanakan dalam tempoh 36 bulan, walau bagaimana pun, buat masa ini, belum disahkan bila ia akan bermula. Namun projek rintis ini akan melibatkan penggunaan 375 unit kamera ANPR, 1,000 unit peranti SmED serta pembangunan pusat kawalan di Cyberjaya.

    “Sistem ini membolehkan pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan secara automatik termasuk melibatkan Lesen Kenderaan Motokar (LKM/cukai jalan), insurans, VEP, Road Charge serta kesalahan penggunaan telefon bimbit, lampu isyarat merah dan lorong kecemasan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata JPJ perlu mengguna pakai teknologi ANPR bagi menggantikan sekatan jalan raya untuk tujuan penguatkuasaan. “Saya tidak mahu melihat JPJ membuat sekatan jalan raya selepas plaza tol sehingga enam lorong menjadi satu. Orang ramai akan marah. Itu pendekatan lama. JPJ juga perlu berubah dan menggunakan kaedah yang lebih pintar,” katanya ketika itu.

    Pada tahun 2016, Johor menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan ANPR untuk penguatkuasaan kenderaan, manakala tahun lalu, Pulau Pinang mula menggunakannya bagi penguatkuasaan bayaran parkir.

    Di luar penguatkuasaan, ANPR sememangnya digunakan di banyak lokasi di Lembah Klang (terutamanya pusat beli-belah) untuk pembayaran parkir, dan PLUS turut menggunakannya untuk kutipan tol dalam projek rintis yang dilaksanakan di satu jajaran Lebuhraya Utara-Selatan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.92 (-0.15)
RON 97 RM4.65 (-0.20)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.87 (-0.10)
EURO 5 B7 RM5.07 (-0.10)
Last Updated May 28, 2026
 
Related PaulTan.org Content: Electric: Electric | Motorsports | Featured: Featured | Malaysia: Malaysia | 2025 | News: News