Advertisement
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • CFMoto 1000 MT-X dilancarkan di Malaysia – RM51,888

    CFMoto 1000 MT-X dilancarkan di Malaysia – RM51,888

    Turut hadir di acara Malaysia Bike Show adalah CFMoto, yang melancarkan dua model baru iaitu 750 SR-S dan 1000 MT-X. Bagi 1000 MT-X, harga yang ditetapkan adalah RM51,888 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu kelabu, hijau dan biru.

    Menggerakkan model adventure touring ini ialah enjin dua silinder selari 946.2cc, penyejukan cecair, EFI, DOHC, bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa maksimum 113 hp pada 8,500 rpm dan tork 105 Nm pada 6,250 rpm.

    Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim hadapan 21 inci dan rim belakang 18 inci yang dibalut tayar Pirelli, dan ia dipegang oleh sistem suspensi boleh laras sepenuhnya daripada Kayaba. Melengkapkan pakej pengendalian ialah steering damper boleh laras sehingga 20 tahap.

    Sistem brek pula menggunakan komponen Brembo dengan cakera berkembar 320 mm di hadapan dan cakera 260 mm di belakang. Di bahagian elektronik, ia datang dengan sistem ABS, Cornering ABS dan kawalan cengkaman (tiga tahap pelarasan) daripada Bosch serta quickshifter, lima mod tunggangan, cruise control serta pemerhati tekanan angin tayar.

    Bagi aspek keselesaan, CFMoto 1000 MT-X hadir dengan pelbagai ciri premium termasuk pemanas tangan dan tempat duduk, penghadang angin hadapan boleh laras. Tangki bahan api berkapasiti 22.5 liter dan berat keseluruhannya adalah 222 kg. Untuk kegunaan lasak, motosikal ini dilengkapi pelindung bawah enjin, pelindung tangan, chain guide dan tempat letak kaki belakang boleh tanggal.

    Teknologi moden turut menjadi fokus utama menerusi penggunaan skrin sentuh TFT penuh berwarna bersaiz lapan inci yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan, sambungan peranti dan tetapan motosikal. Sistem ini turut menyokong kemas kini OTA serta fungsi anti-kecurian. Selain itu, port pengecas Type-A dan Type-C 18W disediakan bagi memudahkan pengguna mengecas peranti elektronik ketika perjalanan.

     
     
  • Warga Selangor berpeluang nikmati subsidi tambang pengangkutan awam – RM30 sebulan untuk 6 bulan

    Warga Selangor berpeluang nikmati subsidi tambang pengangkutan awam – RM30 sebulan untuk 6 bulan

    Berita baik untuk warga Selangor yang sering menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan inisiatif khas bagi membantu meringankan kos pengangkutan awam rakyat.

    Menurut perkongsian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Facebook rasminya, melalui inisiatif ini, warga Selangor yang layak boleh menikmati subsidi tambang RM30 sebulan selama enam bulan.

    Walau bagaimana pun, peluang ini adalah terhad kepada 50,000 pemohon terawal sahaja dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan yang ditetapkan.

    “Permohonan akan mula dibuka pada 1 Jun 2026, justeru, orang ramai disarankan untuk bersedia lebih awal kerana dijangka menerima sambutan yang tinggi. Rebut peluang lebih awal dengan memuat turun aplikasi NINE dan melengkapkan pengesahan kendiri (eKYC) sekarang,” kata kenyataan terbabit.

    Pemberian subsidi tambang ini adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan penggunaan bahan api, dalam masa yang sama menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan kos menaiki van DRT, bas ataupun kereta api sehingga akhir tahun ini.

    Ia adalah sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 yang memperuntukan sebanyak RM131 juta secara keseluruhan bagi mendepani kesan krisis geopolitik di Asia Barat. Ini termasuklah Kempen Jualan Ehsan Rahmah, Gudang Makanan Selangor, Baucar Kita Selangor, Bantuan Sarapan Percuma Pelajar Sekolah, Bantuan Sokongan Sektor Pertanian, Pemerkasaan Usahawan Koperasi Selangor dan beberapa lagi.

     
     
  • PANDU UJI: Leapmotor B10 – asal China, handling Itali

    PANDU UJI: Leapmotor B10 – asal China, <em>handling</em> Itali

    Leapmotor antara jenama EV dari China yang mengambil kesempatan untuk bertapak di Malaysia sejak kerajaan memperkenalkan insentif pengecualian cukai untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU) pada 2023.

    Namun ada sesuatu yang lain dengan Leapmotor – walaupun ia adalah jenama yang berasal dari China, dan pembangunannya juga dibuat di China, Leapmotor sebenarnya jenama yang dimiliki oleh Stellantis – kumpulan automotif global yang memiliki banyak jenama automotif seperti Peugeot, Citroen, Alfa Romeo, Dodge, Maserati dan banyak lagi.

    Jenama tersebut masuk ke Malaysia dengan melancarkan model pertamanya iaitu SUV segmen-C Leapmotor C10 pada Oktober 2024, dan selepas itu ia memperkenalkan pula model dengan harga yang lebih rendah dan mampu milik iaitu Leapmotor B10, dilancarkan pada pasaran tempatan pada Disember tahun lalu.

    Baru-baru ini penulis diberi peluang untuk memandu uji SUV ini. Jadi bagaimana prestasi model ini? Sesuai ke tidak dengan anda? Mari baca laporan pandu uji yang telah disediakan oleh penulis ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Morbidelli SC200SR dilancarkan di Malaysia – RM7,988

    Morbidelli SC200SR dilancarkan di Malaysia – RM7,988

    Semasa acara Malaysia Bike Show, tiga model baru Morbidelli dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan salah satu daripadanya adalah SC200SR. Ia dijual pada harga RM7,988 tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam, hijau dan ungu.

    Skuter ini dipacu oleh enjin satu silinder, suntikan bahan api, empat strok SOHC 169 cc, bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 16 hp pada 8,000 rpm dan tork 15.1 Nm pada 7,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 7.8 liter.

    Menjadikan skuter ini unik adalah rekaan agresif yang digunakan pada badannya, melibatkan banyak garis-garis tajam, tempat duduk bertingkat serta angkup brek hadapan yang mempunyai pelindung. Kedua-dua lampu hadapan dan belakang menggunakan unit LED.

    Rim bersaiz 13 inci di hadapan dan belakang, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta monoshock dengan pelarasan pra beban yang diletakkan di bahagian tepi. Brek menggunakan unit cakera, dengan saiz 260 mm berserta angkup dua piston di hadapan dan cakera 233 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS diberikan secara standard.

    Informasi penting dipaparkan pada panel meter digital LCD, dan skuter ini turut didatangkan dengan kemudahan lain seperti poket barangan, soket USB, ruang barangan di bawah tempat duduk serta pemerhati tekanan angin tayar.

     
     
  • Mitsubishi Pajero generasi baharu bakal didedahkan musim luruh 2026 – guna platform ladder frame Triton

    Mitsubishi Pajero generasi baharu bakal didedahkan musim luruh 2026 – guna platform ladder frame Triton

    Mitsubishi Motors telah pun mendedahkan teaser rasmi untuk model generasi baharu SUV off-road Mitsubishi Pajero hari ini. Tak banyak yang didedahkan pada teaser kali ini, di mana SUV berkenaan nampaknya menampilkan lampu nyalaan siang LED berbentuk-T dengan bar merentangi sepenuhnya muka hadapan, hanya dipisahkan menerusi logo bintang tiga bucu di tengah.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan juga mengesahkan bahawa Pajero generasi baharu ini diasaskan dari platform ladder frame trak pikap Mitsubishi Triton, namun ia menerima suspensi hadapan dan belakang yang lebih tersendiri. Jadi model generasi terkini ini lebih mirip kepada Pajero Sport, berbeza dari Pajero sebenar yang dibina menggunakan platform casis unibody tersendiri serta hadir dengan perincian lebih mewah.

    Ini bukan teaser pertama Pajero yang dikeluarkan oleh Mitsubshi. Sebelum ini satu bayangan SUV off-road muncul pada bahagian akhir satu video yang dibuat untuk meraikan kejayaan trak pikap Triton dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu. Walaupun hanya muncul sekitar dua saat dengan keadaan cahaya yang rendah dalam video berkenaan, dapat dilihat bahawa SUV baharu ini menampilkan badan yang lebih tegap serta berkotak berbanding Pajero Sport generasi sedia ada.

    Mitsubishi Pajero generasi baharu bakal didedahkan musim luruh 2026 – guna platform ladder frame Triton

    Juga dalam video tersebut, Mitsubishi meletakkan kemenangan Triton dalam AXCR berkenaan sebagai penerus kejayaannya dalam pelbagai kejohanan rali sebelum ini termasuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga Rali Paris-Dakar (dikenali sebagai Rali Dakar sekarang). Dan menerusi teaser terbaharu ini, Mitsubishi sekali lagi mengimbau kejayaan Pajero dalam Rali Dakar, di mana ia mula berlumba dalam rali rentas negara menerusi padang pasir berkenaan sejak 1983, dan telah meraih 12 kejayaan termasuk tujuh gelaran yang dipertahankan selama tujuh-tahun berturut-turut.

    Pajero generasi pertama diperkenalkan pada 1982, dan selepas empat generasi produksi SUV itu akhirnya ditamatkan pada 2021 tanpa sebarang pengganti. Manakala model generasi sedia ada Pajero Sport pula sudahpun berada sedekad dalam pasaran, dan menerima facelift terakhir pada 2024 di mana ketika itu Triton sudahpun hadir dalam model generasi baharu seterusnya – jadi model ini juga perlu diperkenalkan dalam versi generasi baharu tahun ini.

    Dengan pengenalan semula Pajero generasi baharu ini nampaknya Mitsubishi telah menyatukan model utama tersebut dengan Pajero Sport kerana ia dibina berdasarkan platform ladder frame Triton. Sebelum ini Pajero Sport yang lazimnya dikilangkan di Thailand bersama dengan Triton tidak pernah dijual di pasaran Jepun.

    Jadi dengan munculnya Pajero yang diasaskan dari platform Triton ini, ia mungkin menjadi Pajero pertama yang akan diproduksi di Thailand dan kemudian dieksport dan dijual ke pasaran Jepun. Buat masa sekarang trak pikap Triton yang dijual dalam pasaran domestik Jepun juga diimport dari Thailand.

    Kami jangkakan dengan menggunakan platform Triton, Pajero generasi baharu ini juga akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama. Triton generasi terkini digerakkan dengan enjin 4N16 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang ditawarkan dalam versi turbo tunggal dan berkembar, dengan versi talaan paling berkuasa menampilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Ia turut menawarkan kotak gear enam kelajuan automatik serta sistem 4WD Super Select II untuk meredah laluan off-road yang lasak.

     
     
  • Budi95: MoF arah pengusaha stesen minyak perketat SOP pengesahan MyKad bagi bendung salah guna

    Budi95: MoF arah pengusaha stesen minyak perketat SOP pengesahan MyKad bagi bendung salah guna

    Sejak kebelakangan ini ada beberapa aduan yang mendakwa maklumat MyKad disalahgunakan tanpa kebenaran bagi transaksi di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95). Perkara ini turut mendapat perhatian serius Kementerian Kewangan (MoF) yang menegaskan bahawa penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

    “Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Sehubungan dengan itu, MoF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi Budi95.

    “Dalam masa yang sama, MoF telah mengarahkan pengusaha stesen minyak supaya memperketat pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi Budi95. Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana la membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, MoF juga telah mengarahkan pengusaha stesen minyak untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP, dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen yang terlibat, serta memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.

    Budi95: MoF arah pengusaha stesen minyak perketat SOP pengesahan MyKad bagi bendung salah guna

    Tambahnya, langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.

    “Pengusaha stesen minyak juga telah diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. MoF akan terus memantau corak transaksi Budi95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” katanya lagi.

    MoF turut berkata, penerima Budi95 digalakkan untuk menyemak rekod transaksi mereka di portal https://www.budi95.gov.my dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.

    Mana-mana penerima Budi95 yang terkesan akibat transaksi tanpa kebenaran boleh membuat aduan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat Budi Madani yang beroperasi 24 jam sehari (talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595, atau e-mel ke [email protected]) dengan melampirkan dokumen seperti laporan polis yang menyatakan tarikh, masa dan butiran stesen minyak, salinan kad pengenalan dan senarai transaksi yang dikemukakan dalam laporan polis.

    Baru-baru ini, seorang pekerja stesen minyak warga asing didenda RM10,000 oleh mahkamah majistret selepas mengaku bersalah atas kesalahan menyalahgunakan dua MyKad untuk pembelian petrol Budi95.

     
     
  • Modenas Z650S dilancarkan di Malaysia – RM35,600

    Modenas Z650S dilancarkan di Malaysia – RM35,600

    Modenas turut berada di Malaysia Bike Show dengan melancarkan tiga model baru dan salah satu daripadanya adalah Z650S. Ini adalah sebuah model baru yang diperkenal kepada dunia pada tahun lepas dan melibatkan pelbagai peningkatan terutamanya di bahagian ergonomik.

    Jika dibandingkan dengan Z650 sebelum ini, bahagian pemegangnya ditukar menjadi lebih lebar dan ke hadapan, tempat letak kaki lebih condong ke hadapan serta tempat duduk yang lebih tinggi, lebar dan selesa. Tangki bahan api juga dibentuk semula, tetapi kapasitinya masih 15 liter.

    Sudah tentu, penampilan motosikal ini sekarang adalah berbeza, hasil pembaharuan pada hampir semua panel badannya, termasuk juga lampu LED hadapan dan belakang. Pada bahagian kokpit, model baru ini menerima skrin TFT 4.3 inci yang mempunyai dua tema paparan dan boleh disambungkan kepada telefon pintar.

    Bahagian enjin bagaimanapun tidak diubah dan masih lagi merupakan unit dua silinder selari 649 cc bersama transmisi enam kelajuan dengan klac slip & assist, mampu menghasilkan kuasa 68 PS pada 8,000 rpm dan tork 64 Nm pada 6,700 rpm.

    Turut disediakan adalah sistem ABS dan kawalan cengkaman KTRC dua tahap, manakala sistem brek terdiri daripada set berkembar cakera 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 200 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Rim menggunakan unit 17 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik tanpa pelarasan dan monoshock dengan pelarasan pra beban. Quickshifter disediakan sebagai pilihan tambahan manakala berat keseluruhan motosikal ini adalah 190 kg.

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi sepenuhnya seawal 3 Jun susulan tren tergelincir

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi sepenuhnya seawal 3 Jun susulan tren tergelincir

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling yang mengalami insiden tren tergelincir semalam dijangka kembali beroperasi sepenuhnya seawal Rabu depan (3 Jun), sempena permulaan minggu kerja yang singkat bagi penduduk Lembah Klang. Dua hari pertama minggu hadapan merupakan cuti umum, dan ramai yang mengambil cuti panjang sempena Hari Raya Aidiladha.

    Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika beliau melawat lokasi kejadian tren tergelincir pagi tadi. Tren tersebut tergelincir di kawasan pertukaran landasan tidak jauh dari stesen LRT Chan Sow Lin. Mujur tiada kecederaan dilaporkan dan kesemua 25 penumpang dalam gerabak yang terlibat berjaya dipindahkan dengan selamat.

    Pastinya Prasarana Malaysia harus bekerja keras sepanjang hujung minggu yang panjang ini kerana tren yang terkandas perlu dialihkan terlebih dahulu menggunakan kren khas sebelum kerja-kerja pembaikan landasan dapat dimulakan. Loke turut menjelaskan bahawa sebagai langkah keselamatan, tren di laluan ini akan bergerak pada kelajuan lebih perlahan selama beberapa hari sebelum kembali beroperasi seperti biasa.

    Buat masa ini, tren dari Ampang menuju ke Sentul Timur akan berhenti di Stesen Chan Sow Lin sebelum berpatah balik ke Ampang bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di lokasi kejadian.

    Tren dari Sentul Timur (pusat bandar KL) akan berpatah balik di Pudu, namun penumpang boleh turun dan menaiki tren alternatif dari Pudu ke Cheras, dengan Chan Sow Lin sebagai stesen di antaranya. Begitu juga, tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Bandar Tasik Selatan, tetapi terdapat perkhidmatan tren perantara untuk menghubungkan laluan yang terjejas.

    Sudah tentu perjalanan anda akan mengambil masa lebih lama dan memerlukan pertukaran tren, namun anda masih boleh melalui kawasan yang bermasalah itu menggunakan laluan ini. Sebagai alternatif, terdapat bas perantara percuma turut disediakan antara Stesen Hang Tuah, Cheras dan Pandan Jaya. Kekerapan bas adalah setiap 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.

    Rujuk info grafik di bawah untuk mengetahui operasi bagi tren alternatif berkenaan.

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi sepenuhnya seawal 3 Jun susulan tren tergelincir

     
     
  • Honda ADV160 2026 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dua varian termasuk RoadSync, dari RM13k

    Honda ADV160 2026 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dua varian termasuk RoadSync, dari RM13k

    Bersempena dengan Malaysia Bike Show yang bermula hari ini, Boon Siew Honda Sdn Bhd melancarkan ADV160 2026, yang diberikan beberapa peningkatan berbanding model sebelumnya. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu ADV160 ABS pada harga RM13,249 dalam pilihan warna kelabu atau putih, dan ADV160 RoadSync pada harga RM13,649 dalam pilihan warna kelabu matte atau perang. Semua harga ini tidak termasuk insurans.

    Peningkatan utama pada ADV160 2026 ini hanya boleh dilihat pada varian RoadSync, di mana ia melibatkan skrin TFT lima inci serta sistem sambungan kepada aplikasi RoadSync, yang membolehkan pengguna menikmati fungsi tambahan seperti kawalan panggilan dan muzik, serta paparan mesej dan navigasi.

    Kemudiannya sudah tentu, butang kawalan untuk skrin ini yang berada di bahagian kiri pemegang ditukar kepada bentuk baru yang bersesuaian. Varian ABS biasa tidak diberikan dengan ciri ini dan peningkatan yang dapat dilihat cuma pada panel tepi badan (juga berada pada varian RoadSync).

    Ciri-ciri mekanikal skuter ini tidak berubah, di mana ia masih lagi menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 16 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, ABS, dua penyerap hentak Showa dengan tabung, tangki bahan api 8.1 liter, penghadang angin boleh laras, soket pengecas USB serta ruang barangan 30 liter di bawah tempat duduk.

    GALERI: Honda ADV 160 ABS

    GALERI: Honda ADV 160 RoadSync

     
     
  • Geely Okavango, Coolray facelift 2026 akan dilancar di Vietnam; X50 rebadge LHD masih dari Tanjong Malim?

    Geely Okavango, Coolray <em>facelift</em> 2026 akan dilancar di Vietnam; X50 <em>rebadge</em> LHD masih dari Tanjong Malim?

    Geely Vietnam sudahpun mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan dua model facelift baharu di pasaran berkenaan oada 5 Jun ini iaitu Okavango 2026 dan juga Coolray 2026.

    Bagi Okavango, seperti kita ketahui ia adalah kembar SUV segmen-D Proton X90 di Malaysia. Dan untuk versi facelift ini ia akan diberikan muka yang sama seperti Geely Houyue L facelift yang didedahkan di China pada November tahun lalu.

    Manakala bagi Coolray yang kita kenali sebagai Proton X50 di Malaysia, versi facelift untuk pasaran Vietnam ini adalah menyamai Geely Binyue L pasaran China, di mana rupa luarannya adalah seiras dengan X50 facelift yang dilancarkan di sini pada Julai tahun lalu.

    Geely Coolray LHD yang dipasang oleh Proton di Tanjung Malim dilihat di hantar ke Pelabuhan Klang untuk dieksport ke Vietnam pada awal tahun lalu

    Kedua-dua versi facelift ini dijangka akan menerima enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder turbo yang sama untuk versi pasaran China, di mana enjin yang sama turut telah digunakan pada kembar-kembar dengan logo Proton di Malaysia. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Buat masa sekarang, Geely Vietnam menjual Coolray pre-facelift pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dipasang oleh Proton di Tanjung Malim. Ia adalah langkah sementara dibuat sebelum fasiliti pengeluaran Geely di Vietnam siap dijangka pada penghujung tahun ini. Fasiliti berkenaan bukan sahaja disasarkan untuk menghasilkan kenderaan untuk permintaan di Vietnam, malah turut akan dieksport ke beberapa pasaran LHD yang lain.

    Jadi sudah tentu kilang berkenaan masih lagi belum beroperasi ketika kedua-dua model facelift tersebut dilancarkan pada Jun nanti. Adakah ini bermaksud unit-unit awalan kedua-dua model facelift pasaran Vietnam berkenaan akan di pasang di Tanjong Malim oleh Proton terlebih dahulu?

     
     
  • BYD Dolphin G DM-i – hatchback PHEV segmen-B untuk Eropah, jarak gerak 1,000 km, lancar Jun depan

    BYD Dolphin G DM-i – hatchback PHEV segmen-B untuk Eropah, jarak gerak 1,000 km, lancar Jun depan

    BYD memperkenalkan varian baharu hatchback Dolphin di Eropah, dikenali sebagai Dolphin G DM-i. Seperti namanya, versi ini bukan lagi digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya (EV), sebaliknya ia menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Super Hybrid dengan teknologi DM BYD.

    Hatchback ini menampilkan profil sisi yang masih sama seperti Dolphin EV, menunjukkan ia masih menggunakan platform asas yang sama. Namun ia hadir dengan muka yang berbeza, menampilkan lampu hadapan yang lebih tirus dan nipis.

    BYD masih belum menyatakan dengan jelas spesifikasi teknikal bagi Dolphin G MD-i ini. Namun secara asasnya unit rangkaian kuasa (PHEV) Super Hybrid dengan teknologi DM ini masih menggunakan motor elektrik sebagai pemacu utama pada roda, manakala enjin petrol yang dibekalkan berfungsi untuk mengecas semula bateri voltan tinggi.

    BYD Dolphin G DM-i – hatchback PHEV segmen-B untuk Eropah, jarak gerak 1,000 km, lancar Jun depan

    Namun ia tidaklah seperti sistem hibrid range extender kerana pada masa-masa tertentu enjin turut akan membantu menggerakkan roda yang dipacu bagi memberikan kecekapan lebih baik, seperti sistem hibrid e:HEV Honda. Dan sebagai model PHEV, sudah tentu ia turut menerima port pengecas yang membolehkan bateri berkenaan dicas semula seperti EV sebenar.

    Apa yang telah disahkan oleh BYD, unit rangkaian kuasa pada Dolphin G ini masih diletak pada bahagian hadapan, memacu roda hadapan. Dan dengan satu cas bateri penuh dan satu tangki petrol membolehkan ia bergerak sejauh 1,000 km.

    “Segmen-B Eropah merupakan salah satu bahagian terpenting dalam pasaran, dan dengan Dolphin G DM-i, kami ingin mentakrifkan semula apa yang boleh dijangkakan oleh pelanggan daripada sebuah kereta kompak dalam era elektrik. Dengan membawakan jarak elektrik yang jauh, teknologi hibrid pintar dan ciri-ciri digital termaju ke dalam kenderaan kompak yang boleh diakses, kami menjadikan mobiliti lestari lebih pintar, lebih praktikal dan tersedia untuk lebih ramai orang di seluruh Eropah,” kata Naib Presiden Eksekutif BYD, Stella Li.

    BYD Dolphin G DM-i ini akan dilancarkan di Eropah pada Jun ini, manakala penghantaran pertamanya akan bermula musim luruh nanti.

     
     
  • MOT arah APAD siasat insiden tren LRT tergelincir landasan, hukuman maksima terhadap Prasarana

    MOT arah APAD siasat insiden tren LRT tergelincir landasan, hukuman maksima terhadap Prasarana

    Insiden tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir di landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi tadi menimbulkan rasa kurang senang di kalangan para penggunanya. Ada saja gangguan perkhidmatan disebabkan masalag teknikal yang dihadapi oleh perkhidmatan tren kendalian Prasarana, yang pastinya turut menjejaskan urusan para penggunanya.

    Bukan itu sahaja, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga pastinya ‘bertambah pening kepala’ dengan satu per satu isu atau masalah yang dihadapi oleh syarikat konsesi perkhidmatan rel ini. Ekoran insiden pagi tadi, MOT turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menubuhkan pasukan khas serta-merta bagi menyiasat insiden ini.

    Malah menerusi laporan Malaysia Gazette, Menteri MOT, Anthony Loke turut mengarahkan APAD mengenakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Bhd.

    Tegas beliau, tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah kepada mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab. Langkah itu katanya, adalah demi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.

    MOT arah APAD siasat insiden tren LRT tergelincir landasan, hukuman maksima terhadap Prasarana

    “Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap “business-as-usual”. Kejadian sebegini perlu dipandang serius, dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini. Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan,” kata Loke.

    Berkenaan dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh APAD, Loke berkata, ia adalah bagi menyiasat punca kejadian tersebut secara menyeluruh. Di mana laporan siasatan perlu dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan kepada umum dengan segera.

    Anthony berkata, insiden tersebut membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan petugas meskipun kesemua mereka berjaya dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan. Tambahnya, “Pihak MOT tetap mengambil pendirian yang tegas dalam insiden ini dan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai.”

     
     
  • Omoda C7 bakal dipamer di KL Fashion Week 2026 – akan dilancarkan di Malaysia dalam varian petrol?

    Omoda C7 bakal dipamer di KL Fashion Week 2026 – akan dilancarkan di Malaysia dalam varian petrol?

    Omoda C7 bakal dipamerkan di acara Kuala Lumpur Fashion Week 2026 yang akan berlangsung tidak lama lagi, selepas kali terakhir SUV segmen-C ini dikesan diuji di jalan raya pada Ogos dan November tahun lalu.

    SUV ini telah diperkenalkan secara rasmi pada Mei tahun lalu di Malaysia Autoshow 2025, dan kemunculan terbaharu C7 ini mungkin menandakan bahawa model tersebut akhirnya bakal dilancarkan di Malaysia. Seperti yang ditunjukkan oleh nama modelnya, C7 diposisikan di antara Chery O5 dan Omoda C9.

    Pra-tonton C7 di Malaysia menampilkan enjin petrol turbo 1.6 liter, yang turut digunakan pada model saudaranya Jaecoo J7, menghasilkan kuasa 197 PS dan tork 290 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Dipamerkan dengan lencana AWD semasa pra-tonton tersebut, C7 berkemungkinan ditawarkan di pasaran tempatan dengan sistem pacuan semua-roda serta mungkin juga versi pacuan roda-hadapan.

    Selain itu, varian hibrid plug-in turut ditawarkan, iaitu C7 PHEV yang membuat kemunculan sulung ASEAN di Bangkok International Motor Show 2025 dengan enjin petrol turbo 1.5 liter khusus untuk hibrid yang menghasilkan 156 PS dan 220 Nm. Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm serta transmisi DHT satu-kelajuan, menjadikan jumlah gabungan output sebanyak 360 PS dan 530 Nm. Namun begitu, berkemungkinan besar versi yang menggunakan rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman (ICE) akan diperkenalkan terlebih dahulu untuk pasaran Malaysia.

    Dari segi kelengkapan, ruang kabin C7 menampilkan papan pemuka minimalis dengan sepasang skrin terapung, termasuk skrin sentuh infotainmen bersaiz 15.6-inci yang boleh dialihkan dari bahagian tengah ke sisi penumpang. Turut ditampilkan ialah tempat duduk hadapan dengan perehat kepala terbina dalam, stereng berbentuk bujur, serta sistem audio dengan pembesar suara Sony “12+2”.

    GALERI: Omoda C7 dipertonton di Malaysia Autoshow 2025

     
     
  • Toyota Hilux 2026 dilancar di Jepun – CBU Thailand, 2 varian, hanya 2.8L Turbodiesel 4×4, bermula RM124k

    Toyota Hilux 2026 dilancar di Jepun – CBU Thailand, 2 varian, hanya 2.8L Turbodiesel 4×4, bermula RM124k

    Selepas didedahkan pada November tahun lalu dan membuat kemunculan di Thailand Mac lalu, Toyota Hilux generasi ke-sembilan kini dilancarkan secara rasmi di Jepun. Seperti model generasi sebelumnya, versi kali ini juga masih dibuat di Thailand (di mana generasi kali ini dikenali sebagai Hilux Travo di sana) dan kemudian dihantar ke Jepun untuk dijual sebagai unit diimport sepenuhnya (CBU).

    Untuk pasaran Jepun ini Hilux ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Hilux Z dan varian paling tinggi Hilux Z Adventure. Namun kedua-dua varian ini ditawarkan dengan badan Double Cab dan digerakkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel berkuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan 6 Super ECT dan juga sistem pacuan empat roda di mana ia turut datang standard dengan Multi-Terrain Select dan juga Multi-Terrain Monitor.

    Toyota Hilux 2026 dilancar di Jepun – CBU Thailand, 2 varian, hanya 2.8L Turbodiesel 4×4, bermula RM124k

    Hilux generasi baharu ini masih diasaskan dari platform ladder frame IMV yang sama digunakan sejak Hilux generasi ke-tujuh dan ke-lapan. Malah bagi model generasi terbaharu ini ia masih menggunakan kabin dan pintu yang sama dengan model generasi sebelumnya. Namun untuk bahagian muka, bed belakang dan dalaman, ia menerima rekaan baharu sepenuhnya.

    Muka Hilux baharu ini direka dengan konsep “Cyber Sumo” menampilkan lampu hadapan tirus dan nipis, memerlukan pencahayaan dari LED projektor diberikan standard pada semua varian. Kedua-dua varian Hilux JDM ini turut menampilkan grafik LED berbentuk-L bina dalam untuk lampu nyalaan siang.

    Kedua-dua lampu hadapan bersambung antara satu sama lain menerusi bar berwarna hitam yang turut menempatkan skrip ‘TOYOTA’ pada bahagian tengah. Gril dengan elemen sarang lebah pula terletak di bawahnya, di apit dengan kemasan pengalir udara palsu. Hilux baharu ini juga diberikan lampu belakang baharu dengan rekaan terbalik berbanding generasi sebelumnya, dan turut diberikan grafik LED berbentuk-C.

    Toyota Hilux 2026 dilancar di Jepun – CBU Thailand, 2 varian, hanya 2.8L Turbodiesel 4×4, bermula RM124k

    Pintu tailgate juga direka semula menampilkan bentuk seakan mempunyai spoiler ducktail. Manakala bampar pula bukan sahaja menampilkan bahagian pemijak pada ruang nombor pendaftaran, malah pemijak pada bahagian sisi juga diberikan seakan rekaan pada Ford Ranger generasi terkini untuk memperbanyakkan akses ke ruang bed belakang.

    Secara standard Hilux JDM 2026 ini menerima panel skid plate hadapan, perapi bawah dan sisi bampar hadapan dan rim aloi 18-inci kemasan dua-tona dan tayar 165/60R18. Manakala untuk varian Z Adventure, ia ditambah dengan skid plate berwarna perak, perapi bawah bampar hadapan dengan rekaan lebih lasak, perapi bawah sisi badan, sports bar pada bed belakang, pintu bed belakang dengan penyerap hentak bukaan dan tulisan ‘TOYOTA’ diwarnakan hitam, serta rim aloi 18-inci dengan kemasan hitam sepenuhnya.

    Manakala untuk bahagian dalam kabin, papan pemuka trak pikap ini direka lebih berkotak dan nampak lebih lasak seperti rekaan yang diberikan pada barisan model Land Cruiser Prado 250 dan Land Cruiser FJ. Skrin sesentuh untuk sistem infotainmen kini diletakkan secara berdiri sendiri berbanding tenggelam dalam papan pemuka sebelum ini, dan model pasaran Jepun ini menerima skrin berkenaan dalam saiz 12.3-inci. Ia juga menerima paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci.

    Liang penghembus udara tengah kini terletak di bawah skrin dan kelihatan seperti bersepadu dengan panel suis kawalan yang berada pada posisi seperti kekunci piano. Manakala rekaan pemegang cawan yang terletak pada kedua-dua liang udara sisi dan dua glove box masih dikekalkan.

    Varian asas Toyota Hilux Z pasaran Jepun

    Suis-suis kawalan untuk MTS pula diletakkan pada konsol tengah lebih bawah menampilkan mod pemanduan off-road termasuk Dirt, Sand, Mud, Rock dan Snow yang boleh dipilih menerusi suis putar, di mana setiap mod akan membuat talaan semula terhadap kawalan pendikit dan juga respon kotak gear.

    Manakala tombol gear yang kini direka lebih pendek terletak pada satu lagi konsol yang turut menempatkan suis brek parkir elektrik dan juga suis kawalan mod sistem pacuan empat roda.Pemandu pula menerima roda stereng yang sememangnya diambil terus dari Prado, manakala tempat duduk direka semula bagi memberikan keselesaan dan ergonomik lebih baik,

    Bagi varian Z, ia diberikan tempat duduk berliang dan dibalut dengan kulit sintetik hitam, menyerlahkan jahitan benang berwarna kelabu. Manakala bagi Z Adventure, upholsteri yang diberi merupakan kulit sintetik berwarna Mineral serta serlahan jahitan berwarna kuning.

    Di Jepun Hilux generasi baharu ini dijual pada harga bermula 4,980,800 yen (sekitar RM124k) untuk varian asas Z, sehingga 5,500,000 yen (RM137k) untuk varian tertinggi Z Adventure. Toyota mensasarkan untuk menjual sebanyak 690 unit Hilux ini sebulan.

     
     
  • Continental besarkan kilang di Rayong, Thailand – Fasa 2 termasuk pengeluaran tayar radial motosikal

    Continental besarkan kilang di Rayong, Thailand – Fasa 2 termasuk pengeluaran tayar radial motosikal

    Pengeluar tayar dari Jerman, Continental Tyres secara rasmi melancarkan operasi Fasa 2 kilang mereka di Rayong, Thailand, sebagai sokongan kepada fasiliti sedia ada Korbach, Jerman. Ini berlaku susulan daripada penutupan kilang tayar di Alor Setar, Kedah hujung tahun lalu.

    Dalam masa sama, pembukaan Fasa 2 ini juga menandakan permulaan pengeluaran tayar radial motosikal di kilang yang sudah beroperasi sejak tahun 2019 itu, yang mana sebelum ini cuma memfokuskan pengeluaran tayar kenderaan penumpang, trak ringan serta bias-ply motosikal.

    Menurut Ketua Bidang Perniagaan Tayar Motosikal Continental, Christoph Ettenhuber, langkah ini menjadi sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperkukuhkan operasi pengeluaran global dan kini fasiliti tersebut memainkan peranan lebih penting dalam rangkaian pengeluaran antarabangsa syarikat.

    Continental besarkan kilang di Rayong, Thailand – Fasa 2 termasuk pengeluaran tayar radial motosikal

    Pengeluaran awal tayar radial motosikal di Thailand dijangka dimulakan dengan model sports Conti SportAttack5, selain tayar adventure-touring TKC 80² yang baru sahaja dilancar. Kilang tersebut juga akan menghasilkan tayar untuk motosikal berkapasiti kecil serta tayar skuter bagi memenuhi permintaan pasaran serantau dan antarabangsa.

    Continental turut menegaskan bahawa keseluruhan proses pengeluaran di Rayong dilakukan sepenuhnya secara dalaman, bermula daripada penghasilan campuran getah sehingga produk siap. Proses kawalan dan jaminan kualiti pula mengikut standard global Continental dengan penggunaan teknologi automasi secara menyeluruh.

    Setiap tayar yang dihasilkan boleh dijejaki pada setiap peringkat pengeluaran menerusi sistem pemantauan digital. Continental menggunakan pelbagai teknologi seperti penimbang automatik, profilometer dan sistem kamera pemantauan bagi mengurangkan risiko kesilapan manual serta memastikan tahap konsistensi produk sentiasa berada pada tahap optimum.

    Continental besarkan kilang di Rayong, Thailand – Fasa 2 termasuk pengeluaran tayar radial motosikal

    Kilang tersebut turut menerima pensijilan IATF 16949 daripada International Automotive Task Force pada Mac 2026, sekaligus mengukuhkan lagi standard kualiti pengeluaran fasiliti berkenaan.

    Dalam perkembangan sama, Continental turut melaksanakan peluasan Fasa 2 untuk kilang tayar kereta mereka di Rayong. Projek tersebut membolehkan kapasiti pengeluaran tayar kereta penumpang dan kenderaan ringan meningkat sebanyak tiga juta unit tambahan setahun.

    Pelaburan bagi peluasan itu dianggarkan bernilai 300 juta euro dan turut mewujudkan sekitar 600 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di wilayah Rayong.

    Secara keseluruhan, fasiliti Continental di Rayong meliputi kawasan seluas 135,000 meter persegi dengan elemen kelestarian menjadi fokus utama dalam pembangunan kilang tersebut. Antaranya termasuk penggunaan panel solar berkapasiti 6.7 MW yang mampu membekalkan kira-kira 13% keperluan elektrik kilang.

    Selain itu, Continental turut melaksanakan sistem pengurusan air yang lebih efisien sehingga berjaya mengurangkan penggunaan air bagi setiap unit pengeluaran sebanyak 70%. Program kitar semula bahan buangan juga menjadi sebahagian daripada usaha syarikat dalam mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

     
     
  • Harga petrol dan diesel di Malaysia antara paling rendah serantau ketika ini — Jabatan Penerangan

    Harga petrol dan diesel di Malaysia antara paling rendah serantau ketika ini — Jabatan Penerangan

    Jabatan Penerangan Malaysia telah menyiarkan sebuah infografik di laman Facebook-nya yang menunjukkan meskipun konflik Asia Barat masih berterusan, harga petrol dan diesel di Malaysia masih antara yang terendah di ASEAN, bahkan jika dibandingkan dengan Arab Saudi yang kaya dengan minyak.

    Harga pam RON 95 untuk tujuh hari akan datang telah diumumkan semalam, iaitu RM3.92 seliter (tanpa subsidi). Namun bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang layak, mereka masih lagi menikmati harga RON 95 seliter bersubsidi RM1.99 seliter bagi 200 liter pertama. Di ASEAN, harga ini hanya berada di belakang Brunei dengan RM1.65 seliter.

    Bagi diesel, pengguna di Singapura ketika ini membayar RM12.07 seliter — jumlah terbesar di rantau ini. Di Malaysia, pengguna di Semenanjung membayar RM4.87 seliter (minggu ini) manakala pengguna Sabah dan Sarawak membayar RM2.15. Bagaimanapun, kerajaan Malaysia turut menawarkan bantuan dalam bentuk Budi Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

    Budi Diesel ialah kaedah bayaran balik tunai secara bulanan (kini RM400 — bermula dengan RM200, kemudian RM300) yang boleh dimohon oleh mereka yang layak — warganegara Malaysia yang memandu kenderaan diesel bukan mewah berusia kurang daripada 10 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM100 ribu setahun.

    Petani dan pekebun kecil yang berdaftar dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) juga boleh memohon Budi Diesel — sekiranya mempunyai perolehan tahunan antara RM50k-RM300k daripada pengeluaran pertanian atau komoditi.

    Sebagai alternatif, SKDS menawarkan diesel pada harga RM2.15 seliter untuk kenderaan barangan, RM1.88 untuk pengangkutan awam darat (termasuk bas, teksi, ambulans dan bomba) dan RM1.65 untuk nelayan. Oleh itu, Malaysia ketika ini mempunyai lima harga diesel — tanpa subsidi (RM4.87 minggu ini), ‘RM400-subsidi’, RM2.15, RM1.88 dan RM1.65. Di Brunei, seliter diesel hanya dijual dengan harga 96 sen – angka terendah di seluruh pasaran.

     
     
  • Toyota Alphard dengan lebih 20 saman AES, cukai jalan luput disita dalam cubaan loloskan diri dari JPJ

    Toyota Alphard dengan lebih 20 saman AES, cukai jalan luput disita dalam cubaan loloskan diri dari JPJ

    Seorang pemandu Toyota Alphard yang cuba melarikan diri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah akhirnya ‘kantoi’ apabila ditahan pada 25 Mei 2026.

    Menurut hantaran di laman Facebook rasmi JPJ Kedah, pemandu tersebut melarikan diri selepas ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Sultanah Bahiyah.

    Walau bagaimana pun, pihak JPJ kemudian berjaya mengesan kenderaan itu yang diparkir berhampiran sebuah bank di Mergong, dan hasil siasatan mendapati ia mempunyai lebih 20 saman AES tertunggak bernilai lebih RM6,000. Selain itu, MPV tersebut juga tidak mempunyai cukai jalan dan insurans yang sah sejak Februari.

    “Alasan pemilik ialah saman itu ‘baru muncul’ tahun ini dan dia mengalami masalah kewangan serta meminta diberikan masa untuk membayar saman,” menurut perkongsian Facebook terbabit.

    JPJ Kedah menegaskan bahawa tindakan melarikan diri atau cuba menyembunyikan kenderaan tidak akan menghalang pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap pemilik yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.

     
     
  • Bekalan bahan api Malaysia stabil hingga Julai — PM

    Bekalan bahan api Malaysia stabil hingga Julai — PM

    Bekalan bahan api di Malaysia dijangka kekal stabil hingga Julai meskipun terdapat ketegangan di Selat Hormuz yang telah menjejaskan rantaian bekalan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut beliau, sehingga kini kerajaan telah berjaya memastikan bekalan minyak mentah dan diesel yang mencukupi hasil daripada hubungan baik antara Malaysia dan Iran, termasuk kerjasama diplomatik yang telah membantu kapal-kapal negara melalui Selat Hormuz.

    “Pada jam 6 petang ini, Insya-Allah Presiden Iran Masoud Pezeshkian akan menghubungi saya melalui telefon. Hubungan baik ini telah membantu memastikan bekalan minyak yang mencukupi sehingga kini. Kami katakan sehingga Julai, Insya-Allah diesel sudah mencukupi,” kata Anwar pada majlis penyerahan lembu korban untuk Hari Raya Haji di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dua hari lalu, lapor TV3.

    Beliau menambah bahawa walaupun terdapat sedikit peningkatan harga barangan disebabkan oleh peningkatan kos insurans dan pengangkutan susulan konflik di Asia Barat, kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON 95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.

    “Setakat yang kami mampu, petrol RON 95 dikekalkan pada harga RM1.99 seliter. Malaysia merupakan antara negara yang berjaya menawarkan bahan api pada harga antara terendah di rantau ini,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan juga terus menawarkan subsidi diesel untuk petani, nelayan, pengendali traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 N dilihat di Malaysia — EV anggaran RM450k, 650 PS bakal dipamer di KLIMS bulan depan?

    Hyundai Ioniq 6 N dilihat di Malaysia — EV anggaran RM450k, 650 PS bakal dipamer di KLIMS bulan depan?

    Selepas berbulan-bulan Hyundai Ioniq 5 N menjadi satu-satunya model N akan datang yang dipertontonkan di Malaysia, seorang pembaca paultan.org, Eric Goh telah kongsikan model versi sedannya, Hyundai Ioniq 6 N, yang sudah mula dilihat tiba di sini.

    Ini sememangnya boleh dijangkakan kerana Hyundai Ioniq 6 N dijadualkan muncul dan dipamerkan ketika Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang akan berlangsung dari 12-21 Jun nanti. Sebelum ini juga diumumkan bahawa model terbabit akan dilancarkan secara rasmi pada suku kedua 2026; ini bermaksud kita sudah semakin hampir dengan tarikh tersebut, jika tiada sebarang perubahan rancangan.

    Hyundai Ioniq 6 N hadir dengan warnah khusus cabang prestasi jenama Kore Selatan itu — Performance Blue — yang eksklusif. Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan kamera pandangan sisi sebagai pilihan, menjadikannya penampilan sulung bagi teknologi tersebut untuk pasaran Malaysia.

    Hyundai Ioniq 6 N dilihat di Malaysia — EV anggaran RM450k, 650 PS bakal dipamer di KLIMS bulan depan?

    Dari aspek spesifikasi, Hyundai Ioniq 6 N dikuasakan oleh motor berkembar yang menghasilkan sebanyak 609 PS (448 kW) dan 740 Nm tork – atau 650 PS (478 kW) dan 750 Nm dengan mod N Grin Boost (NGB) yang dinamakan sempena namanya. Dengan fungsi N Launch Control, kereta ini mampu memecut sehingga 100 km/j dalam masa 3.2 saat dan mencapai laju maksimum 257 km/j — 0.2 saat lebih pantas dan 3 km/j lebih perlahan berbanding Hyundai Ioniq 5 N.

    Siri kelengkapan lain yang ada membolehkan 6 N memberikan keseronokan melangkaui kelajuan semata-mata. Ini termasuk cir N Active Sound+ dan N e-Shift yang menghadirkan bunyi enjin buatan dan transmisi klac berkembar lapan-kelajuan yang meyakinkan. Model ini juga mendapat talaan suspensi khusus serta limited-slip differential (LSD) elektronik agar lebih tangkas, serta saiz brek yang lebih besar dengan cakera 400 mm di depan.

    Yang mendapat manfaat langsung daripada tetapan berkenaan adalah ciri seperti N Torque Distribution dan N Drift Optimiser yang membolehkan kereta ini di drift. Selain itu terdapat juga ciri yang memaksimumkan prestasi litar — Mod N Race untuk penghantaran kuasa, ciri pre-conditioned untuk Bateri N serta brek regeneratif N Pedal yang lebih agresif. Unik untuk Hyundai Ioniq 6 N ialah fungsi pemasa dan penganalisis pusingan N Track Manager.

    Hyundai Ioniq 6 N dilihat di Malaysia — EV anggaran RM450k, 650 PS bakal dipamer di KLIMS bulan depan?

    Dilengkapi dengan bateri NMC 84 kWh, Hyundai Ioniq 6 N memberikan jarak WLTP sejauh 487 km. Pek dari generasi kedua ini — yang dikongsi bersama Ioniq 6 facelift — memberikan peningkatan kuasa pengecasan pantas DC dengan membolehkannya diisi semula dari 10% hingga 80% hanya dalam 18 minit walaupun terdapat sedikit peningkatan kapasiti bateri berbanding pek 77.4 kWh pada model pra-facelift.

    Membezakan model N daripada Ioniq 6 biasa ialah fender berongga yang menempatkan rim 20-inci yang lebih besar dan tayar Pirelli P Zero Elect, serta bampar hadapan dan belakang yang agresif dengan kemasan merah. Sebagai sebuah sedan, Hyundai Ioniq 6 N — yang memanfaatkan model Ioniq 6 facelift — juga diberikan spolier “ekor itik” di belakang.

    Di dalam, Hyundai Ioniq 6 N diberikan stereng N yang khas dengan butang tambahan untuk pelbagai fungsi prestasi. Juga ada bucket seat dengan logo N yang bercahaya, pedal “bendera berkotak” dengan kabin serba hitam. Ia juga menerima Sistem Navigasi Kereta Terhubung (ccNS) yang dinaik taraf untuk paparan instrumen dan infotainmen 12.3-inci yang akhirnya menerima ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Hyundai Ioniq 6 N dilihat di Malaysia — EV anggaran RM450k, 650 PS bakal dipamer di KLIMS bulan depan?

    Turut disertakan ialah ciri yang dinaik taraf daripada Ioniq 6 biasa, terutamanya konsol tengah baru dengan port USB-C berkembar dan panel kawalan fizikal yang lebih padat dan lengkap yang mengosongkan ruang untuk lebih banyak ruang storan. Tapak binaan dalam yang tersedia di bumbung membolehkan anda memasang kamera aksi.

    Hyundai Ioniq 6 N — seperti juga Hyundai Ioniq 5 N — telah dibuka untuk tempahan, dengan anggaran harga RM460,000. Harga itu jauh lebih tinggi berbanding Tesla Model 3 Performance yang sama pantas, iaitu dengan RM229,000, tetapi perlu ambil maklum bahawa kereta ini juga tidak murah di peringkat global. Tambahan pula ia akan dikenakan duti import dan eksais sebanyak 50% sebagai unit import CBU dari Korea Selatan.

     
     
  • Lotus Emira 420 Sport – versi 2.0L Turbo Mercedes-AMG lebih hardcore; 420 PS/500 Nm, lebih ringan

    Lotus Emira 420 Sport – versi 2.0L Turbo Mercedes-AMG lebih hardcore; 420 PS/500 Nm, lebih ringan

    Lotus sebelum ini telah dilaporkan bakal memperkenalkan versi kemaskini untuk satunya-satunya model dengan enjin pembakaran dalaman buat masa sekarang iaitu Lotus Emira, di mana pilihan kedua-dua enjin yang ditawarkan iaitu 2.0 liter empat-silider dari Mercedes-AMG dan juga V6 3.5 liter Supercharged dari Toyota akan digugurkan, untuk digantikan dengan enjin 3.0 liter V6 dari Horse Powertrain.

    Jadi sebelum model itu didedahkan, Lotus memperkenalkan terlebih dahulu model ‘selamat tinggal’ yang dikenali sebagai Lotus Emira 420 Sport, iaitu model lebih hardcore yang lebih ringan, namun hanya dihasilkan dalam versi dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo.

    Emira 420 Sport ini datang standard dengan Lightweight Handling Pack yang menampilkan pelbagai komponen yang dipebuat dari bahan gentian karbon, sistem ekzos titanium dan juga bateri 12-volt litium-ion lebih ringan berbanding bateri biasa. Hasilnya, model istimewa ini ditimbang 25 kg lebih ringan.

    Ia juga diberikan kit badan istimewa yang diinspirasikan dari model ikonik Lotus era 80’an iaitu Esprit Turbo. Kit berkenaan merangkumi splitter udara hadapan, liang udara hadapan yang dirombak, skirt sisi lebih labuh, liang ambilan udara lebih besar, lip spoiler pada penutup but belakang dan juga penutup louver pada cermin belakang. Menurut Lotus kit ini menampilkan downforce 25 kg lebih tinggi dari versi standard tanpa menambah sebarang seretan udara. Malah aliran udara ke arah radiator dan brek juga bertambah 15%, memberikan sistem penyejukkan yang lebih baik dan memberikan prestasi konsisten.

    Lotus Emira 420 Sport – versi 2.0L Turbo Mercedes-AMG lebih hardcore; 420 PS/500 Nm, lebih ringan

    Enjin Mercedes-AMG M139 2.0 liter turbo yang diletak di belakang pemandu juga menerima peningkatan kuasa, di tala bagi menghasilkan kuasa 420 PS dan tork maksima 500 Nm. Angka kuasa dan tork ini adalah sama seperti yang terdapat pada Mercedes-AMG 445S, di mana sumber asal enjin M139 tersebut diperolehi.

    Bagi model Emira biasa, enjin tersebut ditala hanya menghasilkan 365 PS/430 PS, manakala model Turbo SE yang diperkenalkan pada tahun lalu hanya menghasilkan 400 PS/470 Nm. Kuasa berkenaan masih lagi dihantar ke roda belakang untuk memacu jentera ini menerusi kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan.

    Selain itu casis Emira 420 Sport ini turut ditala semula serta ia direndahkan lagi sebanyak 5 mm berbanding model standard. Ia turut digandingkan dengan Lightweight Handling Pack secara standard, dengan komponen merangkumi penyerap hentak boleh laras dua-hala Multimatic dan juga tayar berprestasi tinggi. Aplikasi pemasa lap litar Lotus Track Performance turut diberikan pada model istimewa ini.

    Model ini datang dengan set rim aloi forged 15-jejari rekaan baharu berdiamter 20-inci, dalam kemasan Satin Dark Grey, namun pembeli masih boleh memilih mana-mana rim 20-inci lain dengan sembilan rekaan berbeza yang telah pun ditawarkan untuk Emira sebelum ini.

    Lotus Emira 420 Sport – versi 2.0L Turbo Mercedes-AMG lebih hardcore; 420 PS/500 Nm, lebih ringan

    Walaupun Emira di bina sebagai model lebih hardcore dan lebih ringan, kabin kereta sport ini masih menampilkan tempat duduk larasan kuasa 12-hala. Manakala pedal penukar gear DCT aloi pada versi biasa digantikan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon untuk Emira 420 Sport ini.

    16 warna badan ditawarkan termasuk warna eksklusif Tangelo Orange untuk Emira 420 Sport ini. Selain itu Lotus turut menawarkan pelbagai peralatan opsyen, antaranya Carbon Pack untuk luaran menampilkan komponen gentian karbon untuk splitter udara hadapan, skirt sisi, liang udara ruang roda, pod sisi, spoiler belakang dan kemasan sekeliling diffuser. Juga terdapat Carbon Pack untuk bahagian dalaman serta Hand Painted Pack yang menampilkan serlahan kemasan oren di dalam kabin.

    Lotus juga telah memperkenalkan pilihan panel bumbung yang boleh dibuka, ditawarkan untuk semua model Emira. Namun ia bukanlah direka seperti Targa Top sebenar, sebaliknya hanya satu panel seakan bumbung suria yang boleh dibuka sepenuhnya dan disimpan di dalam beg penyimpan. Penghantaran pertama kepada pelanggan terawal yang menempah Emira Sport 420 akan dibuat bermula Ogos ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.92 (-0.15)
RON 97 RM4.65 (-0.20)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.87 (-0.10)
EURO 5 B7 RM5.07 (-0.10)
Last Updated May 28, 2026
 
 
Related PaulTan.org Content: Tech | News: News | Motorsports | Electric: Electric | Reviews: Reviews | 2025