Advertisement
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • LLM jangka 3.3j kenderaan di lebuh raya utama hingga 7 Jun sempena Aidiladha, cuti sekolah dan cuti umum

    LLM jangka 3.3j kenderaan di lebuh raya utama hingga 7 Jun sempena Aidiladha, cuti sekolah dan cuti umum

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah purata trafik harian di lebuh raya utama serta lebuh raya sambungan akan mencecah sehingga 3.3 juta kenderaan pada hari-hari puncak sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 27 Mei ini dan turut bertembung dengan cuti umum (Hari Wesak dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) serta cuti persekolahan yang bermula hari ini.

    Ketua Pengarah LLM, Ir Mohd Hadzmir Yusoff, berkata pertambahan jumlah kenderaan itu dijangka akan berlaku secara berperingkat bermula hari ini sehingga 7 Jun ini. Di mana lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dijangka merekodkan jumlah unjuran trafik tertinggi dengan 2.2 juta kenderaan diikuti dengan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebanyak 283,000 kenderaan.

    Manakala Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dijangka mencapai unjuran trafik sebanyak 209,000 kenderaan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat WCE (151,000), Lebuhraya Kajang – Seremban atau LEKAS (137,000) Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor atau LATAR (125,00), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 atau LPT1 (106,00) dan LPT2 (50,000).

    LLM jangka 3.3j kenderaan di lebuh raya utama hingga 7 Jun sempena Aidiladha, cuti sekolah dan cuti umum

    Cadangan waktu perjalanan untuk KLK dan LPT1

    Mohd Hadzmir menambah, LLM sudah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan lancar sepanjang tempoh perayaan.

    “Antara langkah berkenaan adalah tiada penutupan lorong kecuali untuk kerja kecemasan bermula 23 Mei hingga 2 Jun, pengaktifan 34 lokasi Smart Lane termasuk di lebuh raya PLUS, memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik serta pelaksanaan kutipan berlapis di plaza tol kritikal.

    “Selain itu, kami akan melakukan pemeriksaan operasi lebuh raya dan kemudahan di Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah, penyediaan 65 tandas mudah alih dengan bekalan air mencukupi serta penambahan parkir dan petugas termasuk RELA di kawasan R&R,” katanya.

    Dalam masa yang sama, LLM turut menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mempunyai baki Touch ‘n Go, e-wallet dan kad debit mencukupi. Tambahnya, pengguna juga harus mematuhi arahan pengaktifan Smart Lane dan penunggang motosikal lebih berhati-hati serta digalakkan berteduh di 571 lokasi motorcycle shelter ketika cuaca buruk.

    Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik semasa serta sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

     
     
  • JPJ Pulau Pinang sita 51 kenderaan mewah bernilai RM14j menerusi Op Luxury antara Jan-21 Mei 2026

    Sebanyak 51 kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM14 juta telah disita di sekitar Pulau Pinang, menerusi pelaksanaan Op Luxury oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara Januari hingga 21 Mei 2026, laporan Berita Harian.

    Menurut Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail, tindakan sitaan dibuat kerana kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pihaknya juga telah mengeluarkan sebanyak 137 notis menerusi operasi yang sama.

    Antara model kenderaan yang disita termasuklah BMW, Mercedes Benz, Toyota, Jaguar, Porsche, Hummer, Lexus, Mini Cooper, Range Rover dan Ford Mustang.

    “Kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan menyebabkan berlaku ketirisan hasil kerajaan sebanyak RM175,236.92. Kereta Ford Mustang dikesan memiliki tunggakan cukai jalan paling tinggi iaitu mencecah RM10,909.50 manakala sebuah BMW model 323i E90 pula dikesan kenderaan mewah paling lama tidak memperbaharui cukai jalan iaitu sejak 5 Jun 2020,” katanya.

    JPJ Pulau Pinang sita 51 kenderaan mewah bernilai RM14j menerusi Op Luxury antara Jan-21 Mei 2026

    Tambah beliau, sepanjang operasi bagi tempoh antara Jun hingga Disember tahun lalu pula, pihaknya menyita 73 kenderaan mewah dengan nilai ketirisan hasil sebanyak RM88,000 kerana kegagalan pemilik memperbaharui LKM. Beliau berkata, alasan terlupa dan penggunaan kereta itu hanya ‘sekali sekala’ menjadi alasan lapuk yang kerap diterima sepanjang menjalankan operasi berkenaan.

    Beliau turut berkata, walau pun pelbagai alasan untuk melepaskan diri diberikan, namun pihaknya tidak berkompromi memandangkan ia peraturan yang perlu dipatuhi setiap pengguna jalan raya.

    “Alasan diberikan tidak boleh diterima langsung, jadi pegawai penguat kuasa kita tidak berkompromi untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

     
     
  • Toyota dilapor akan mengimport MPV Noah dan Voxy yang diproduksi di Taiwan ke Jepun untuk dijual

    Toyota dilapor akan mengimport MPV Noah dan Voxy yang diproduksi di Taiwan ke Jepun untuk dijual

    Menurut laporan Nikkei Asia, Toyota bakal mengimport MPV Noah dan Voxy yang diproduksi di Taiwan ke Jepun untuk dijual dalam pasaran negara asal jenama tersebut bermula bulan Oktober nanti. Laporan itu menyatakan bahawa Toyota mengambil langkah sedemikian untuk membantu mengurangkan kekangan pengeluaran domestiknya dan menangani kelewatan penghantaran yang tidak berkesudahan.

    Toyota Noah dan Voxy buat masa sekarang dihasilkan di Jepun dan ia menerima permintaan yang sangat tinggi, dengan jumlah jualan tahunan sebanyak 70,000 hingga 80,000 unit. Walau bagaimanapun, had kapasiti pengeluaran Toyota di Jepun telah menyebabkan pembeli menghadapi tempoh penghantaran yang lambat, serta kadangkala memaksa syarikat itu untuk menghentikan sementara pengambilan tempahan.

    Laporan itu mengatakan bahawa Toyota dijangka akan mewujudkan barisan pemasangan khusus di Taiwan khusus untuk menghasilkan kenderaan untuk pasaran Jepun, kebanyakannya varian yang lebih murah. Ia menambah bahawa pengeluaran tersebut akan dibuat di kilang di utara Taiwan, dengan kapasiti 100,000 kenderaan dihasilkan setiap tahun dari kemudahan yang turut mengeluarkan Corolla dan Yaris Cross melalui usaha sama tempatan. Ini akan menambah pengeluaran domestik di Jepun yang akan berterusan secara selari.

    Toyota dilapor akan mengimport MPV Noah dan Voxy yang diproduksi di Taiwan ke Jepun untuk dijual

    Toyota telah mengekalkan sasarannya untuk menghasilkan pengeluaran sebanyak tiga juta kenderaan untuk pasaran domestik setahun, tetapi untuk mengekalkannya akan menyebabkan kos semakin mahal kerana kekurangan buruh, peningkatan kos bahan dan buruh serta kapasiti pengeluaran yang lebih ketat. Kenta Kon, yang memegang jawatan presiden dan CEO Toyota pada April tahun ini, dilaporkan berkata kekurangan bekalan yang membawa kepada kelewatan penghantaran yang lama boleh mendorong pelanggan beralih kepada jenama pesaing.

    Laporan itu juga menyatakan bahawa data daripada Persatuan Pengimport Automobil Jepun menunjukkan import meningkat 19% tahun ke tahun kepada 111,513 kenderaan tahun lepas — tahap tertinggi dalam tempoh tiga dekad — menunjukkan bahawa langkah untuk mengimport kenderaan kembali ke Jepun semakin menjadi amalan biasa di kalangan pengeluar kereta tempatan.

     
     
  • Chery Tiggo 9 dipertonton di Malaysia — SUV segmen D flagship, 2.0T 256 PS/390 Nm; anggaran RM189k

    Chery Tiggo 9 dipertonton di Malaysia — SUV segmen D <em>flagship</em>, 2.0T 256 PS/390 Nm; anggaran RM189k

    Setelah menunjukkan iklan teaser pada 15 Mei lalu, Chery Malaysia hari ini mempertontonkan secara rasmi model SUV flagship terbaru jenama China itu untuk pasaran tempatan, Chery Tiggo 9. Harga anggaran bagi SUV ini ialah RM189,000, dengan tempahan juga sudah mula dibuka hari ini.

    Chery Tiggo 9 akan menjadi penambahan terbaru dan paling tinggi bagi barisan produk Chery di Malaysia, yang ketika ini antara lain terdiri daripada Tiggo 8 Pro, Tiggo 8 PHEV, Tiggo 8, Tiggo 7 Pro, Tiggo 7 PHEV dan juga yang paling kecil, Tiggo Cross.

    Chery Tiggo 9 yang dipertontonkan ini dilengkapi enjin 2.0 liter turbo TGDi dengan sistem pacuan empat roda sebagai penawaran sulung model berkenaan di sini. Versi dengan rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH) berkemungkinan akan diperkenalkan selepas versi pembakaran ini kelak.

    Chery Tiggo 9 dipertonton di Malaysia — SUV segmen D <em>flagship</em>, 2.0T 256 PS/390 Nm; anggaran RM189k

    Unit janaan kuasa yang ada ini menghasilkan sebanyak 256 PS dan 390 Nm tork, sama seperti yang ditawarkan untuk model Tiggo 8 Pro sebelum ini. Ini digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Tidak seperti Tiggo 8 Pro yang hanya memacu roda hadapan, Tiggo 9 ini diberikan sistem AWD yang datang dengan tujuh mod iaitu Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan Off-Road. Kadar penggunaan minyaknya pula ialah 8.3L per 100 km. Untuk pecutan 0-100 km/j, SUV ini memerlukan masa 9.3 saat.

    Tiggo 9 mempunyai ukuran dimensi 4,810 mm panjang dan 1,925 mm lebar, menjadikannya 88 mm lebih panjang dan 65 mm lebih lebar berbanding Tiggo 8 Pro. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,800 mm, atau 90 mm lebih panjang berbanding Tiggo 8 Pro.

    Bagaimanapun, berbanding “sepupunya” Jaecoo J8, Tiggo 9 ini 10 mm lebih pendek, 5 mm kurang lebar dan jarak rodanya juga adalah 20 mm lebih dekat. Untuk ruangan but untuk barangan, kapasiti yang tersedia ialah 449 liter dengan semua kerusi dinaikkan, dan boleh dilaras untuk mencapai kapasiti maksimum 2,065 liter dengan kerusi penumpang belakang direbahkan.

    Chery Tiggo 9 dipertonton di Malaysia — SUV segmen D <em>flagship</em>, 2.0T 256 PS/390 Nm; anggaran RM189k

    Dari segi rekaan, Tiggo 9 lengkap dengan lampu LED penuh untuk bahagian depan dan belakang, termasuk lampu DRL dan juga lampu kabusnya. Lampu isyarat pula jenis LED sequential light untuk menyuntik lebih elemen mewah untuk SUV segmen D ini. Selain itu ada juga landasan bumbung untuk membawa barangan tambahan untuk keperluan gaya hidup aktif.

    Antara kelengkapan yang ditawarkan bagi Chery Tiggo 9 termasuklah rim aloi 20-inci “rekaan mewah”, skrin sentuh untuk infotainmen bersaiz 15.6-inci yang dikuasakan oleh chip Snapdragon 8155 keluaran Qualcomm, paparan head-up serta paparan kluster meter pemandu bersaiz 10.25-inci.

    Sementara itu untuk tempat duduk pemandu pula, ciri larasan kuasa 10-hala disediakan, begitu juga dengan fungsi pengalir udara dan pengurut pada tempat duduk hadapan, pengalir udara pada tempat duduk baris kedua, serta sistem bunyi Sony dengan 14-pembesar suara termasuk di dalam perehat kepala tempat duduk hadapan. Tidak ketinggalan, ciri lampu ambient dengan 64-warna.

    Chery Tiggo 9 dipertonton di Malaysia — SUV segmen D <em>flagship</em>, 2.0T 256 PS/390 Nm; anggaran RM189k

    Dari sudut keselamatan pula, Chery Tiggo 9 ini lengkap dengan 10-beg udara, sensor parkir depan belakang, paparan keliling 540-darjah HD, Isofix, ABS, EBD dan lain-lain. Ia juga dilengkapi dengan sistem ADAS 2.5 yang antara lain terdiri antaranya daripada ciri kawalan lampu tinggi pintar, amaran perlanggaran depan (FCW), kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan menukar lorong (LCA), pengesan titik buta (BSD), amaran perlanggaran belakang (RCTA) dan lain-lain.

    Pilihan warna badan yang diberikan ada dua, iaitu Matte Grey dan Carbon Black. Seperti dinyatakan awal tadi, harga anggaran bagi Chery Tiggo 9 ialah RM189,000. Kepada pelanggan yang membuat tempahan awal yang mula dibuka hari ini, mereka akan menikmati kelebihan tempoh jaminan kenderaan selama tujuh-tahun/150,000 km dan juga jaminan enjin selama tujuh-tahun/150,000 km. Sempena pelancaran rasminya nanti, pakej istimewa pembeli terawal turut akan diumumkan.

     
     
  • Nismo Performance Center pertama akan dibuka di Australia; kembangkan perniagaan prestasi, restorasi

    Nismo Performance Center pertama akan dibuka di Australia; kembangkan perniagaan prestasi, restorasi

    Selaras dengan langkah penstrukturan semula RE:Nissan diumumkan tahun lalu yang mahu Nismo diperkasa bagi memperkukuhkan kembali jenama automotif Jepun yang sedang bergelut dengan krisis kewangan itu, Nissan hari ini mengumumkan bahawa ia akan membuka Nismo Performance Centre pertamanya di Australia. Pusat berkenaan akan menawarkan pelanggan di Australia dengan akses yang lebih mudah terhadap perlatan-peralatan prestasi asli Nismo, sokongan terhadap pemilik-pemilik model warisan sejarah dan juga menawarkan kepakaran teknikal.

    Ini bermakna Australia akan menjadi pasaran pertama di luar Jepun yang akan menerima kepakaran terus dari Nismo Omori Factory, yang menawarkan perkhidmatan dari penyelengaraan asas ke pemasangan komponen berprestasi Nismo, sehinggalah kepada perkhidmatan restorasi dan fabrikasi kenderaan lengkap.

    “Pusat-pusat ini akan menyediakan pautan terus ke Nismo Omori Factory di Jepun, menyokong program restorasi kenderaan canggih dan menampilkan pakar-pakar Nismo yang diperakui kilang disokong oleh kepakaran global Nismo,” kata Nissan dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

    Nismo Performance Center pertama akan dibuka di Australia; kembangkan perniagaan prestasi, restorasi

    Nismo Performance Centre pertama ini disasarkan untuk dibuka di Nissan Ferntree Gully di Victoria pada separuh kedua tahun 2026. Ia bukanlah satu-satunya pusat seumpama itu kerana bakal ada lokasi-lokasi tambahan lain akan diumumkan. Pengumuman ini dibuat menjelang Festival GT-R hujung minggu ini di Sydney Dragway.

    “Nismo mewakili salah satu ekspresi paling tulen bagi semangat Nissan terhadap prestasi, inovasi dan keterujaan pelanggan. Ketika kami memajukan visi jangka panjang kami tentang kecerdasan mobiliti untuk kehidupan seharian, kami akan terus memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan kami. Pengembangan jenama Nismo di pasaran seperti Australia merupakan langkah penting dalam membawa pengalaman menarik kepada pelanggan yang menghargai prestasi dan keaslian,” kata Ivan Espinosa, presiden dan CEO Nissan.

    “Pengembangan Nismo diperingkat golbal adalah untuk mendekatkan jenama ini kepada pelanggan di pasaran yang betul, dengan produk, perkhidmatan dan pengalaman yang betul. Australia merupakan keutamaan semula jadi kerana budaya prestasinya yang matang, komuniti GT‑R yang kukuh dan minat yang jelas terhadap warisan Nismo yang tulen, alat ganti prestasi, kepakaran teknikal dan pengalaman yang didorong oleh sukan permotoran,” tambah Yutaka Sanada, Presiden dan CEO Nissan Motorsports & Customising (NMC) serta ketua global jenama Nismo.

    Nismo Performance Center pertama akan dibuka di Australia; kembangkan perniagaan prestasi, restorasi

    Pada Disember lalu Nissan mengumumkan akan menggandakan barisan model Nismo dari lima kepada sepuluh, dan ia bukan hanya ditumpukan pada pasaran Jepun, sebaliknya disasarkan untuk pasaran global dengan jumlah pengeluaran yang lebih banyak. Malah bermula tahun fiskal 2026, Nissan turut merancang untuk memperkenalkan kenderaan-kenderaan prototaip untuk aktiviti perlumbaan bagi memacu kemajuan teknologi dalam pembangunan komponen dan perisian untuk kegunaan kereta lumba serta perluasan barisan model kereta baharu.

    Bukan itu sahaja, perniagaan sedia ada Nismo dalam bidang restorasi serta ubahsuai kereta-kereta lagenda turut akan diteruskan.

    “Pasaran restorasi automotif global kini dinilaikan sekitar 500 bilion yen (USD 3.3 bilion) dan ia dijangka meningkat kepada 1.2 trilion yen (USD 7.7 bilion) menjelang 2032. NMC akan meningkatkan perniagaan restorasi, restomod, dan penjualan komponen alat ganti dengan fokus awalan untuk diperkembangkan sekitar model Skyline GT-R R32, R33 dan R34, serta akan diikuti dengan lebih banyak penawaran kenderaan dan kawasan,” kata Nissan ketika itu

     
     
  • Honda Super One Bulldog Style – pakej aksesori Honda Access inspirasi Honda City ‘Bulldog’ Turbo II

    Honda Super One Bulldog Style – pakej aksesori Honda Access inspirasi Honda City ‘Bulldog’ Turbo II

    Ketika Honda Super One didedahkan sepenuhnya April lalu, Honda sememangnya sudah membayangkan bahawa EV kompak berkenaan merupakan model kelahiran semula hatchback comel era 80’an, Honda City Turbo II yang juga diberi gelaran sebagai ‘City Bulldog’. Dan bagi memberikan imej yang lebih dekat kepada City Turbo II berkenaan, Honda kini memperkenalkan pakej aksesori asli dari Honda Access digelar sebagai Bulldog Style yang direka khas untuk EV Super One.

    Pakej aksesori ini menampilkan beberapa komponen utama termasuk lampu kabus hadapan berwarna kuning, inspirasi lampu kabus petak City Turbo II yang juga berwarna kuning. Ia juga hadir dengan pelekat badan ‘Bulldog Electric Power’ dilekat pada pintu hadapan yang direka dengan font sama seperti pelekat ‘Turbo II with intercooler’ yang ikonik, dilekat pada pintu City Turbo II asli. Pelekat yang sama tetapi lebih kecil turut dilekatkan pada bampar hadapan dan pintu tailgate belakang Super One Bulldog Style ini.

    Selain itu pakej Bulldog Style ini juga hadir dengan set rim aloi asli Honda Access ME-027 berdiameter 15-inci dalam kemasan Berlina Black, spoiler bumbung yang jauh lebih besar dalam kemasan Crystal Black Pearl serta set emblem dan logo Honda dalam kemasan hitam krom. Honda Access turut ada menawarkan aksesori lain untuk Super One ini yang tidak termasuk dalam pakej Bulldog Style seperti perapi-perapi dalaman kemasan gentian karbon serta set pedal aluminium.

    Honda Super One ini diasaskan dari platform N Series, iaitu barisan model K-Car Honda di Jepun seperti N-One, N-Box, N-WGN, dan juga EV N-One e:. Tidak seperti siri K-Car berkenaan yang hanya dijual di Jepun, Super One adalah model global yang akan dijual di seluruh dunia termasuk Eropah dan Asia.

    Honda Super One Bulldog Style – pakej aksesori Honda Access inspirasi Honda City ‘Bulldog’ Turbo II

    Berbanding N-One e: biasa, Super One menampilkan keempat-empat fender yang lebih lebar bagi memberikan rupa yang lebih ‘berotot’. Ia menghasilkan rupa yang lebih stabil dan garang dan bagi membolehkan ia diberikan jarak trek roda yang lebih lebar, yang tentunya memberikan cengkaman dan kestabilan badan lebih baik. Dengan saiz lebih lebar ini juga, Super One bukan lagi Kei-Car, tetapi Honda meletakkan ia dalam saingan model segmen-A.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Super One ini masih dibekalkan dengan motor elektrik tunggal yang sama seperti N-One e: biasa, menghasilkan kuasa maksima yang dihadkan dalam undang-undang Kei-Car Jepun iaitu 64 PS serta tork 162 Nm. Namun apa yang berbeza, Super One diberikan butang mod Boost berwarna ungu pada roda stereng yang akan melepaskan kuasa maksima 95 PS.

    Motor elektrik berkenaan memacu roda hadapan, dan apa lagi yang istimewa pada unit rangkaian kuasa Super One ini ia turut dibekalkan dengan sistem Active Sound Control seperti pada Prelude generasi baharu yang menghasilkan bunyi enjin palsu, serta rasa tukaran gear palsu yang tajam (lengkap dengan pedal penukar gear) seolah-olah ia dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan, di mana pada hakikatnya ia juga tidak mempunyai kotak gear seperti kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

    Buat masa ini tiada perincian berkenaan prestasi seperti pecutan 0-100 km/j mahupun kelajuan maksima yang boleh dicatatkan. Honda juga tidak mendedahkan kapasiti bateri yang dibekalkan pada Super One ini, namun ia disahkan boleh bergerak sejauh 205 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Pada bahagian dalaman, Super One ini masih menampilkan papan pemuka dengan rupa asas yang sama seperti N-One e:, menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan paparan instrumen digital tujuh-inci.

    Namun versi lebih berkuasa ini tampil dengan rekaan grafik tiga tolok utama pada instrumen digital tersebut untuk bacaan suhu bateri, kuasa dan juga meter RPM palsu sekiranya butang Boost ditekan, dan dilengkapi tempat duduk lebih sporty kemasan hitam-biru-putih dengan sokongan bucket pada bahagian pinggang, seakan rekaan tempat duduk Honda City Turbo II. Dengan menekan butang mod Boost itu juga turut akan menukar nyalaan lampu suasana kabin dari biru kepada ungu.

    Model ini juga datang standard dengan sistem bunyi Bose lapan-pembesar suara, bersama subwoofer 13.1 liter yang diletakkan pada bawah lantai but belakang.

    Honda Super One ini telah dilihat diuji di jalan raya awam Malaysia pada November tahun lalu, petanda awal bahawa ia mungkin akan tiba ke pasaran tempatan, termasuk dalam enam model yang dirancang untuk dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini.

    Namun dengan polisi EV CBU diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini yang menetapkan mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp) bermula 1 Julai ini, rancangan Honda Malaysia untuk membawa Super One secara rasmi mungkin terpaksa dibatalkan. Tapi kalau anda berminat juga, mungkin perlu tunggu unit recond yang dibawa oleh pengimport persendirian.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VRE dan TDH bakal dibuka bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari WP Kuala Lumpur dan Terengganu yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VRE bakal dibuka bidaan mulai 25 Mei. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 29 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Mei 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Terengganu, TDH pula akan dibuka bidaan bermula 26 Mei 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 30 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 31 Mei 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Piala Malaysia 2026: Waktu operasi Stesen Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam pada 24 Mei

    Piala Malaysia 2026: Waktu operasi Stesen Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam pada 24 Mei

    Rapid KL mengumumkan waktu operasi Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam pada Ahad ini, 24 Mei 2026, bersempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan JDT menentang Kuching City FC yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 malam, 23 Mei.

    “Seiring dengan itu, waktu operasi tren bagi dua laluan iaitu Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya akan turut dilanjutkan bagi menampung pergerakan penumpang selepas tamat perlawanan.

    “Untuk menukar dari Laluan Ampang/Sri Petaling ke Laluan Putrajaya, hanya Stesen Sungai Besi akan dibuka. Stesen-stesen lain di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya akan ditutup seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen di laluan-laluan tersebut untuk meneruskan perjalanan pulang,” kata syrikat terbabit menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Piala Malaysia 2026: Waktu operasi Stesen Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam pada 24 Mei

    Justeru, jika hadir ke perlawanan terbabit, anda dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan kemudahan parkir di Park N’ Ride yang disediakan di stesen-stesen sepanjang Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya.

    Bagi melancarkan perjalanan, anda juga disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau kaedah pembayaran tanpa tunai. Pengguna token pula digalakkan membuat pembelian awal bagi perjalanan pergi dan balik.

    Rapid KL akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu penumpang sepanjang tempoh lanjutan operasi tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perkhidmatan Rapid KL serta kemudahan Park N’ Ride di stesen, penumpang boleh melayari www.myrapid.com.my.

     
     
  • GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia – RM260k, 2.0T hibrid, 347 PS/648 Nm, parkir auto dan aplikasi

    GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia – RM260k, 2.0T hibrid, 347 PS/648 Nm, parkir auto dan aplikasi

    Selepas dipamerkan dan tempahannya dibuka Penang Autoshow 2026 akhir bulan lalu, GWM Malaysia hari ini mengumumkan bahawa versi hibrid untuk Tank 300 iaitu Tank 300 HEV secara rasmi dilancarkan pada pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM259,800, atau hampir RM10k lebih mahal berbanding versi petrol penuh Tank 300 yang telah dilancarkan di sini pada Julai 2024.

    Bagi versi hibrid ini, ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik hibrid sembilan-kelajuan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm yang menerima kuasa dari bateri terner litium 1.67 kWj, menghasilkan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 648 Nm. Sebagai perbandingan versi petrol penuh diberikan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 220 PS/380 Nm digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Walaupun dibantu oleh kuasa elektrik, Tank 300 HEV ini masih menerima sistem pacuan empat roda dengan mod Crawl bagi membolehkan ia mendaki dengan sudut maksimum 66%, kemampuan meredah air dengan kedalaman 700 mm, serta tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, dan 4L – kurang dua mod berbanding versi ICE penuh iaitu 2H dan 4H.

    Versi hibrid ini juga masih menampilkan sudut pelepasan 34-darjah, sudut mendekat 33-darjah dan sudut ramp 23-darjah, sama seperti versi petrol penuh.

    Senarai kelengkapan juga masih sama untuk versi HEV ini di mana ia diberikan sistem pendingin hawa automatik dengan corong udara di belakang, tempat duduk depan larasan kuasa dengan ciri urut untuk pemandu, balutan kerusi kulit Nappa, sistem bunyi Infinity dengan sembilan-pembesar suara, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bumbung suria dan lampu suasana kabin 64-warna. Apa yang lain, versi HEV ini menerima perincian tambahan iaitu fungsi bantuan parkir automatik bersama aplikasi sokongan.

    Menerusi aplikasi yang dibekalkan tersebut ia menampilkan fungsi kunci/buka kunci untuk pintu, tutup tingkap dan bumbung suria, paparan maklumat sistem hibrid, suhu dan tekanan tayar, penunjuk lokasi kenderaan serta menghidup/mematikan pendingin atau aliran udara tempat duduk.

    Kelengakapan keselamatan juga serupa di mana Tank 300 HEV ini diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk AEB dan ACC, serta dilengkapi dengan enam-beg udara. GWM Malaysia menawarkan warna badan eksklusif khas untuk model HEV ini sahaja iaitu Sand Beige, selain warna Crystal Black dan Pearl White yang turut ditawarkan pada model petrol penuh. Manakala warna Oren masih ditawarkan khas untuk versi petrol penuh sahaja.

    GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia – RM260k, 2.0T hibrid, 347 PS/648 Nm, parkir auto dan aplikasi

    Klik untuk besarkan

    Tank 300 HEV ini juga dipadankan dengan rim aloi 17-inci dengan tayar AT, tiada pilihan rim aloi 18-inci seperti yang diberikan pada model petrol penuh.

    Untuk setiap pembelian GWM Tank 300 HEV ini akan datang sekali dengan waranti seumur hidup bagi enjin dan transmisi (eksklusif untuk pemilik persendirian pertama), waranti kenderaan dan sistem HEV selama 6 tahun tanpa had perbatuan, waranti bateri kuasa selama 8 tahun / 180,000 km.

    Pembeli juga akan diberikan penyelenggaraan percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) dan juga perkhidmatan telematik kenderaan Tahap 2 (L2) percuma selama lima-tahun. Sekiranya anda kini merupakan pemilik model GWM yang lain, pembelian Tank 300 HEV ini akan diberikan rebat eksklusif sebanyak RM3,000.

     
     
  • Kerja naik taraf lorong motor Lebuhraya Persekutuan kini 43% selesai, peruntukan RM20 juta — KKR

    Kerja naik taraf lorong motor Lebuhraya Persekutuan kini 43% selesai, peruntukan RM20 juta — KKR

    Kerja-kerja naik taraf lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan kini telah mencapai tahap 43% selesai, sedikit lebih awal berbanding jadual yang dirancang pada awalnya. Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu sesi turun padang yang dilakukan hari ini di daerah Petaling.

    Yang beliau adalah kerja-kerja di bawah Projek Naik Taraf Lorong Motosikal di Lebuhraya Persekutuan (FT002) yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Projek berkenaan dilaksanakan di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5, RMK12), seperti yang diumumkan oleh kerajaan tahun lalu. Dalam RMK12, Kementerian Kerja Raya diberikan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan projek tersebut, dan dijalankan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR). Peruntukan tersebut juga merupakan jumlah terbesar yang pernah diterima oleh KKR setakat ini.

    Kerja naik taraf lorong motor Lebuhraya Persekutuan kini 43% selesai, peruntukan RM20 juta — KKR

    Keseluruhan projek berkenaan melibatkan jajaran sepanjang 48 kilometer untuk kedua-dua hala — 7 kilometer melibatkan kawasan di Daerah Klang, manakala liputan kawasan yang terbesar melibatkan Daerah Petaling dengan jarak sepanjang 41 kilometer.

    Naik taraf yang terlibat antaranya adalah kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan di beberapa lokasi (fasa terakhir nanti), pembaikan di kawasan yang mempunyai torowong, mencatas dan menebang pokok yang menghalang lalu lintas, penggantian penghadang jalan dan railing jambatan serta menambah papan tanda amaran dan destinasi.

    Antara usaha utama adalah melibatkan naik taraf sistem saliran serta longkang bagi mengelakkan kejadian banjir di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti. Selain itu, daripada jumlah peruntukan keseluruhan, sekitar RM6 juta dibelanjakan untuk menambah lampu jalan dan sistem pencahayaan — dari jenis LED solar bersepadu di tempat gelap di sepanjang laluan — bagi membantu penglihatan pada waktu malam. Tidak ketinggalan ialah pembinaan tempat berteduh tambahan untuk kemudahan penunggang motosikal.

    Projek ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Ogos nanti. Menurut beliau lagi, kapasiti terkini penggunaan harian bagi lorong motosikal terbabit ialah sekitar 34,000 buah motosikal sehari, jauh melebihi kapasiti awal ketika laluan itu di bina pada awalnya dengan hanya untuk menampung 20,000 motosikal sehari.

     
     
  • 2,122 LOD dikeluarkan antara 2023-2025 untuk pengguna Lebuhraya LPT1, KLK yang culas bayar tol

    2,122 LOD dikeluarkan antara 2023-2025 untuk pengguna Lebuhraya LPT1, KLK yang culas bayar tol

    Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), AFA Prime Berhad telah mengeluarkan sebanyak 2,122 surat tuntutan (LOD) antara tempoh 2023 hingga 2025 untuk pengguna lebuhraya berkenaan yang melakukan kesalahan tailgating (mengekori rapat kenderaan hadapan) dan melanggar peraturan tol atau lebih tepat lagi ‘culas bayar tol’.

    Menurut Pengurus Besar AFA Prime Berhad Ismaliza Ibrahim, jumlah tuntutan keseluruhan RM21,181 membabitkan pelbagai kesalahan dan majoriti kes membabitkan pengguna kenderaan kelas satu yang menyumbang kira-kira 95%s daripada keseluruhan kes yang dikesan, laporan Bernama.

    “Pecahan tahunan menunjukkan 571 LOD (RM6,177.80) pada 2023, diikuti 853 LOD (RM8,190.00) pada 2024 dan 698 LOD (RM6,813.20) pada 2025. Data itu menunjukkan kesalahan masih berulang secara konsisten setiap tahun dengan jumlah melebihi 500 kes setahun.

    “Kesalahan yang direkodkan membabitkan tiga kategori utama iaitu ‘tailgating’, melanggar palang tol serta tidak berhenti di laluan manual di plaza tol,” katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau operasi bersepadu di Plaza Tol Gombak pagi tadi.

    Sinaran Harian pula melaporkan, kesalahan tidak membayar tol masih berlaku secara berulang walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan oleh pihak konsesi bersama agensi berkaitan, kata Ismaliza.

    “Berdasarkan pemerhatian, majoriti kes melibatkan pengguna kenderaan persendirian dan bukan kenderaan komersial. Selain itu, kesalahan dikesan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau setiap pergerakan di lorong tol. Daripada statistik, ada kenderaan yang melakukan kesalahan sehingga 30 kali. Kebanyakannya kenderaan biasa,” katanya.

    Tambahnya, walaupun jumlah LOD dikeluarkan adalah tinggi, kadar bayaran semula masih rendah iaitu kurang daripada satu peratus, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan masih belum memuaskan.

    2,122 LOD dikeluarkan antara 2023-2025 untuk pengguna Lebuhraya LPT1, KLK yang culas bayar tol

    Ismaliza berkata, antara lokasi yang kerap mencatatkan kesalahan adalah di Lebuhraya KLK dan LPT1 membabitkan kawasan Gombak, Bentong dan Kuantan, namun kesalahan itu berlaku sepanjang masa dan bukan hanya pada musim perayaan.

    Menurutnya, operasi khas yang dilaksanakan hari ini memberi tumpuan kepada pengesanan pesalah tegar dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) termasuk penggunaan senarai kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan berulang.

    “Kesalahan itu turut dikesan menerusi pelbagai kaedah pemantauan termasuk sistem pengesanan automatik di plaza tol yang merekodkan insiden seperti tailgating dan pelanggaran palang tol,” katanya.

    “Setiap kesalahan yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pindaan) 1994,” katanya.

     
     
  • Jualan kenderaan M’sia April 2026 naik 13.6% – MAA

    Jualan kenderaan M’sia April 2026 naik 13.6% – MAA

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan April 2026, menunjukkan bahawa sejumlah 72,113 unit kenderaan baharu telah dihantar kepada pembeli bulan lepas. Angka berkenaan jelas naik sebanyak 13.6%, atau 8,624 unit lebih banyak berbanding 63,489 unit yang telah dicatatkan pada bulan Mac.

    Menurut persatuan berkenaan, dengan angka jualan yang dicapai pada April menunjukkan bahawa Malaysia telah mencatatkan kenaikan jualan kenderaan dua bulan secara berturut-turut. MAA juga menjelaskan bahawa kenaikan jualan pada April adalah kerana banyak model-model baharu telah dilancarkan pada bulan tersebut, disamping pengeluaran yang turut meningkat dengan mencapai 70,611 unit selepas penutupan sementara kilang pada bulan Mac kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Angka jualan April juga mewakili peningkatan sebanyak 16.7% (atau 10,306 unit) berbanding yang dicapai pada bulan yang sama pada tahun 2025, di mana pada waktu itu sebanyak 61,807 unit kenderaan penumpang dan komersial telah dihantar kepada pelanggan.

    Bagi angka jualan terkumpul tahun ini (YTD), jumlah jualan bagi empat bulan pertama 2026 adalah sebanyak 254,318 unit, iaitu 1.63% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025, di mana 250,239 unit telah dihantar kepada pelanggan ketika itu. MAA juga menjangkakan momentum jualan akan pada bulan Mei ini

     
     
  • Toyota Yaris Cross 2026 – 2,298 unit telah ditempah hanya selepas dua minggu dilancarkan di Malaysia!

    Toyota Yaris Cross 2026 – 2,298 unit telah ditempah hanya selepas dua minggu dilancarkan di Malaysia!

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa Toyota Yaris Cross yang baru sahaja dilancarkan di pasaran tempatan dua minggu lalu kini sudahpun ditempah sebanyak 2,298 unit!

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Yaris Cross merupakan kembar kepada Perodua Traz. Namun tidak seperti kembar Toyota-Perodua sebelum ini yang dibina bersama dalam satu kilang, Yaris Cross diproduksi menerusi kilang UMWT di Bukit Raja Shah Alam, sementara Traz dibuat oleh Perodua di kilangnya terletak di Rawang.

    Juga Yaris Cross ditawarkan dalam dua jenis unit rangkaian kuasa berbeza iaitu versi asas 1.5S dengan enjin petrol penuh dijual pada harga atas jalan RM99,900, dan juga 1.5S HEV dengan sistem hibrid dijual pada harga RM109,900. Berbeza dengan Traz di mana semua varian hadir hanya dengan enjin 1.5 liter NA.

    Toyota Yaris Cross 2026 – 2,298 unit telah ditempah hanya selepas dua minggu dilancarkan di Malaysia!

    Bagi Yaris Cross 1.5S, ia masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Traz iaitu enjin 1.5 liter 2NR-VE empat silinder tanpa pengecas turbo yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu roda hadapan.

    Manakala Yaris Cross 1.5S Hybrid pula ia diberikan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Vios HEV yang menggandingkan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA kitaran Atkinson empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, dan juga motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah. Jadi dengan saiz dan juga unit rangkaian kuasa yang dibekalkan.

    Toyota Yaris Cross 2026 – 2,298 unit telah ditempah hanya selepas dua minggu dilancarkan di Malaysia!

    Kedua-dua varian Yaris Cross hadir dengan paparan instrumen digital dengan skrin TFT LCD tujuh inci, skrin infotainmen bersaiz 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta rim aloi dua tona bersaiz 18 inci yang dibalut dengan tayar 215/55R18.

    Yaris Cross Hybrid pula datang dengan tambahan pengecas telefon tanpa wayar ditawarkan sebagai ciri standard, manakala varian petrol boleh mendapatkannya sebagai pilihan tambahan pada harga RM380. Kedua-dua varian juga boleh dilengkapi perakam video digital menghadap belakang pada harga yang sama.

    Selain itu kedua-dua varian Yaris Cross pasaran Malaysia ini juga diberikan rel bumbung, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, lampu suasana kabin berwarna biru pada konsol tengah dan kemasan pintu, upholsteri kulit sinetik dan roda stereng balutan kulit.

    Bagi sistem keselamatan, Toyota Yaris Cross pasaran Malaysia diberikan enam-beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense (TSS). Fungsi-fungsi berkenaan termasuk brek kecemasan automatik hadapan, amaran keluar lorong, pengelak keluar lorong, kawalan pengekal lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan salah tekan pedal, bantuan lampu tinggi automatik.

    Untuk lebih perincian apa yang berbeza antara Toyota Yaris Cross dan Perodua Traz, anda boleh baca artikel khas kami pada PAUTAN INI.

     
     
  • Rakyat M’sia yang ada saman trafik, parkir tertunggak di S’pura tidak boleh mohon, baharui VEP mulai 2 Nov

    Rakyat M’sia yang ada saman trafik, parkir tertunggak di S’pura tidak boleh mohon, baharui VEP mulai 2 Nov

    Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengumumkan bahawa bermula 2 November 2026, mana-mana rakyat Malaysia yang yang mempunyai saman trafik atau parkir tertunggak di republik berkenaan berdepan risiko tidak dibenar membuat permohonan atau pembaharuan Permit Masuk Kenderaan (VEP), laporan Berita Harian.

    Menurut LTA, kenderaan berdaftar asing yang mempunyai saman tertunggak bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan emisi kenderaan di Singapura tidak lagi dibenarkan memohon atau memperbaharui VEP mereka. Di mana langkah itu menandakan perubahan daripada amalan semasa yang mana kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak masih boleh memohon VEP tetapi berisiko tidak dibenarkan masuk ke negara itu hanya apabila tiba di pusat pemeriksaan darat Singapura.

    “Semua kenderaan berdaftar asing mesti mempunyai VEP yang sah untuk memasuki Singapura, tetapi mulai 2 November ini, kenderaan berdaftar asing yang mempunyai saman tertunggak bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan emisi kenderaan di Singapura tidak akan dibenarkan memohon atau memperbaharui VEP dengan LTA,” katanya.

    Rakyat M’sia yang ada saman trafik, parkir tertunggak di S’pura tidak boleh mohon, baharui VEP mulai 2 Nov

    Dasar baharu itu dijangka menjejaskan ribuan pemandu Malaysia, khususnya mereka yang berulang-alik setiap hari antara Johor dan Singapura. Justeru, LTA menasihatkan pemandu asing menjelaskan semua saman tertunggak sebelum mengemukakan permohonan atau pembaharuan VEP dan sebelum memasuki Singapura.

    “Pemandu boleh menyemak saman tertunggak menerusi AXS Singapura dan membuat pembayaran melalui kiosk AXS, aplikasi mudah alih AXS, laman web agensi atau kaunter khidmat pelanggan.

    “Pemandu juga perlu mengemukakan permohonan VEP sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh perjalanan kerana proses pembayaran dan kemas kini sistem boleh mengambil masa sehingga dua hari. Permohonan dan pembaharuan boleh dibuat menerusi OneMotoring Singapura,” jelas LTA lagi dan dalam masa yang sama turut menggesa pemandu Singapura yang mempunyai saman trafik tertunggak di Malaysia supaya menjelaskan saman mereka sebelum memasuki negara ini.

    Langkah penguatkuasaan lebih ketat itu dibuat susulan usaha berterusan pihak berkuasa Singapura untuk meningkatkan pematuhan dalam kalangan pemandu asing dan memperkukuh penguatkuasaan trafik rentas sempadan.

     
     
  • Toyota Land Cruiser FJ mula dijual di Jepun – RM112k, CBU Thailand, enjin petrol 2.7 liter 163 PS/246 Nm, 6AT

    Toyota Land Cruiser FJ mula dijual di Jepun – RM112k, CBU Thailand, enjin petrol 2.7 liter 163 PS/246 Nm, 6AT

    Selepas membuat kemunculan sulung global pada Oktober 2025, kemudian dilancarkan secara rasmi di Thailand pada Mac lalu, kini model paling kecil dalam keluarga Land Cruiser iaitu Toyota Land Cruiser FJ secara rasmi mula dijual di Jepun.

    Land Cruiser FJ pasaran domestik Jepun (JDM) ini diimport sepenuhnya dari Thailand di mana ia diproduksi di kilang Ban Pho milik Toyota Motor Thailand Co., Ltd. Hanya satu varian ditawarkan iaitu Land Cruiser FJ VX, dijual di pasaran berkenaan pada harga 4,500,100 yen atau sekitar RM112k.

    Land Cruiser FJ ini diasaskan dari casis ladder frame dari platform IMV, iaitu platform sama digunakan pada trak pikap Hilux, atau lebih spesifik versi lebih kecil ini digelar sebagai IMV0 yang telah digunakan oleh Hilux lebih mampu milik dikenali sebagai Hilux Champ.

    Toyota Land Cruiser FJ mula dijual di Jepun – RM112k, CBU Thailand, enjin petrol 2.7 liter 163 PS/246 Nm, 6AT

    Menurut Toyota, nama ‘FJ’ yang diberikan pada model entry level terbaharu ini bermaksud ‘Freedom & Joy’ (kebebasan dan keseronokkan). Ia tampil dengan bentuk retro dengan mengambil banyak inspirasi dari Land Cruiser klasik seperti generasi J40 terutamanya pada bahagian muka, bersama pintu tailgate dengan engsel pada bahagian sisi dan turut diberikan tayar gantian yang digantung, serta hadir dengan rel bumbung secara standard.

    Selain itu ia menampilkan bampar hadapan yang agak ‘gemuk’ yang selari dengan pelindung-pelindung badan plastik juga direka tebal, dipasang pada semua ruang roda dan pada bahagian bawah pintu. Pemijak kaki sisi dipasang standard bagi memudahkan penumpang masuk ke kabin yang tinggi. Bampar belakang juga direka gemuk, bukan sahaja untuk melindungi badan, malah turut ada bahagian yang direka sebagai pemijak kaki. Skid plate sebenar juga merupakan perincian standard LC FJ JDM ini yang dipasang bagi melindungi enjin dan transmisi ketika ia meredah laluan off-road.

    Toyota menyatakan bahawa panel sisi pada bampar hadapan dan belakang Land Cruiser FJ ini direka agar boleh dicabut berasingan dari bampar utama. Ini bagi membolehkan ia boleh diperbaiki dengan lebih mudah di mana pengguna hanya perlu menukar pada bahagian yang rosak dan bukan keseluruhan bampar sekiranya melanggar sesuatu yang selalunya akan berlaku ketika meredah laluan off-road.

    Toyota Land Cruiser FJ mula dijual di Jepun – RM112k, CBU Thailand, enjin petrol 2.7 liter 163 PS/246 Nm, 6AT

    Lima warna badan ditawarkan untuk Toyota Land Cruiser FJ pasaran Jepun ini yang termasuk warna Smoky Blue dan juga Oxide Bronze Metallic.

    Land Cruiser FJ ini menampilkan dimensi panjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dan jarak roda sejauh 2,580 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Land Cruiser FJ ini adalah 220 mm lebih pendek dari satu lagi SUV yang diasaskan dari platform IMV iaitu Toyota Fortuner.

    Jarak rodanya juga adalah 165 mm lebih pendek dari Fortuner, tetapi ia menampilkan lebar yang sama serta 125 mm lebih tinggi. Toyota menyatakan bahawa dengan saiz yang kecil ini membolehkan Land Cruiser FJ dihasilkan sebagai sebuah jentera off-road yang lebih tangkas.

    Toyota Land Cruiser FJ mula dijual di Jepun – RM112k, CBU Thailand, enjin petrol 2.7 liter 163 PS/246 Nm, 6AT

    Sama seperti pasaran Thailand, Land Cruiser FJ JDM ini juga hanya hadir dengan satu jenis unit rangkaian kuasa iaitu enjin petrol 2TR-FE 2.7 liter empat silinder berkuasa 163 PS dan tork maksima 246 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan 6 Super ECT, bersama sistem pacuan empat roda separa-masa.

    Juga seperti model-model IMV yang lain, casis LC FJ ini turut menampilkan suspensi jenis double wishbone di hadapan, manakala gandar belakang pula diberikan suspensi empat-hubungan bersama rod lateral.

    Kabin Land Cruiser FJ ini turut menerima rekaan bersegi dengan menampilkan papan pemuka dan konsol tengah seperti Land Cruiser 250 tetapi dalam skala lebih kecil, manakala rekaan tombol dengan dan roda stereng pula kelihatan seiras.

    Toyota Land Cruiser FJ mula dijual di Jepun – RM112k, CBU Thailand, enjin petrol 2.7 liter 163 PS/246 Nm, 6AT

    Menurut Toyota papan pemuka tersebut direka dengan panel instrumen yang diletak pada posisi lebih rendah bagi memberikan pandangan lebih jelas untuk pemandu terhadap cermin hadapan, memberikan pemanduan lebih selamat tak kira pada laluan off-road atau jalan biasa.

    Antara perincian yang diberikan pada model JDM ini termasuk sistem infotainmen Display Audio dengan skrin 12.3-inci bersama sistem navigasi bina-dalam, pemantau pandangan panaromik, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense yang merangkumi fungsi seperti sistem keselamatan pra-pelanggaran, amaran keluar lorong dan lain-lain.

    Toyota turut mengesahkan bahawa skuter elektrik yang digelar sebagai Land Hopper yang boleh dipakejkan sekali dengan Land Cruiser FJ ini, namun ia hanya akan dilancarkan pada musim bunga 2027. Land Hopper merupakan skuter elektrik dengan tayar hadapan berkembar yang direka boleh meredah laluan off-road pada kelajuan sederhana hingga laju, boleh dilipat dan diletakkan pada Land Cruiser FJ ini seperti skuter Motocompo yang ditawarkan Honda pada hatchback kompak City satu ketika dahulu, dan ia boleh ditunggang oleh remaja berumur 16-tahun ke aats tanpa memerlukan lesen.

    Toyota juga menawarkan pelbagai aksesori asli untuk Land Cruiser FJ ini antaranya pelekat badan pada penutup hud, sisi badan dan juga pada tayar gantian di belakang, serta panel MOLLE (Modular Lightweight Load-carrying Equipment) seperti gaya kenderaan tentera AS pada tiang-C dan juga pada pintu tailgate belakang, yang membolehkan pelbagai kelengkapan-kelengkapan aktiviti outdoor dan perkhemahan disimpan dengan rapi.

    Selain itu Toyota turut menawarkan aksesori-aksesori yang dihasilkan oleh jenama peralatan off-road iaitu ARB sebagai sebahagian aksesori asli Toyota, antaranya termasuk rak bumbung, skid plate dan juga pemijak sisi jenis rock rail.

    Untuk pasaran Jepun Toyota mensasarkan Land Cruiser FJ ini terjual sebanyak 1,300 unit sebulan.

     
     
  • Denza B8 dilancar di Malaysia – PHEV 4×4, 612 PS/760 Nm, DiSus-P; 6/7 tempat-duduk; dari RM459k-RM519k

    Denza B8 dilancar di Malaysia – PHEV 4×4, 612 PS/760 Nm, DiSus-P; 6/7 tempat-duduk; dari RM459k-RM519k

    Hari ini Denza Malaysia telah melancarkan SUV mewah Denza B8 untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dengan varian Premium enam-tempat duduk yang ditetapkan pada harga atas jalan bermula RM458,800 tanpa insurans dan model spesifikasi penuh, Dynamic tujuh-tempat duduk yang berharga dari RM518,800.

    Dikenali sebagai Fangchengbao Bao 8 untuk pasaran negara kelahirannya, China, B8 dibina berasaskan casis ladder frame dan dilengkapi sistem 4X4 serta digerakkan dengan unit penjana kuasa plug-in hybrid (PHEV) berkuasa tinggi Dual-Mode Off-road (DMO) untuk gabungan prestasi jalan raya serta keupayaan off-road.

    Unit penjana kuasa tersebut menampilkan dua motor elektrik, iaitu satu untuk memacu roda hadapan berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork 360 Nm, dan satu lagi memacu roda belakang berkuasa 408 PS (300 kW) dan tork 400 Nm. Ia dipadankan dengan enjin khas hibrid 2.0 liter empat-silinder petrol turbo berkuasa 197 PS (145 kW) dan tork maksima 350 Nm.

    Dengan gabungan penjana kuasa tersebut, ia mampu menghasilkan keseluruhan kuasa sehingga 612 PS (450 kW) dan tork maksima cecah 760 Nm, membolehkan SUV gergasi ini boleh memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat. Ia turut menyokong mod pemanduan Pure EV, HEV Series dan Parallel yang secara automatik menyesuaikan penghantaran kuasa mengikut keadaan pemanduan semasa.

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri BYD Blade berkapasiti 36.8kWh yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km berdasarkan kitaran ujian WLTP (115km ikut NDEC). Dan dengan tangki petrol berkapasiti 91 liter, SUV ini didakwa boleh bergerak sejauh 1,040 km NEDC (hampir 900 km WLTP) dan penggunaan bahan apinya sekitar 9.89 liter bagi setiap 100 km.

    Seperti EV sebenar, bateri SUV PHEV ini mampu menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW yang membolehkan pengecasan 30% hingga 80% dalam 16 minit, dan pengecas AC biasa sehingga 11 kW. Ia juga boleh bertindak seperti power bank gergasi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 6.6 kW bagi membolehkan penggunaan kuasa luaran.

    Denza B8 dilancar di Malaysia – PHEV 4×4, 612 PS/760 Nm, DiSus-P; 6/7 tempat-duduk; dari RM459k-RM519k

    SUV ini berukuran 5,195 mm panjang, 1,994 mm lebar, 1,905 mm tinggi dan jarak roda cecah 2,920 mm. Jarak kelegaan tanah (ground clearance) sehingga 310 mm dan SUV ini seberat 3,290 kg. Untuk sistem suspensinya, ia diberikan suspensi DiSUS-P Intelligent Hydraulic Body Control System yang membolehkan ketinggiannya dianjak 140 mm. Ini membolehkan ia meredah air pada kedalaman sehingga 890 mm, serta dengan sudut pendekatan 34 darjah dan sudut pelepasan 35 darjah. Varian tertinggi juga diberikan sistem Electronic Differential hadapan dan belakang, manakala Dynamic hanya menerima ciri tersebut untuk bahagian belakang sahaja.

    (NOTA: Dua varian yang dipamerkan dalam majlis pelancarannya (rujuk foto) ini merupakan spesifikasi Australia. Di mana versi Malaysia tidak diberikan cangkuk tunda di belakang, dan tiada fungsi pemanas bagi tempat duduk dan stereng.)

    Bagi imej luarannya, wajah B8 nampak agresif, di mana ia menerima sentuhan rekaan yang berinspirasikan robot-robot mecha anime Jepun, dan digandingkan dengan lampu hadapan LED “Starship Wing”. Ia juga dikelilingi dengan panel-panel pelindung badan dalam kemasan hitam berkilat, dan soft close door. Manakala di belakang, ia diberikan lampu LED dengan rekaan “Energy Thruster”. Ia turut diberikan rim aloi 20-inci jejari-Y berwarna hitam yang sedikit kecil berbanding Fangchengbao B8 di China yang diberikan set rim berdiameter 21-inci.

    Untuk bahagian kabinnya pula, papan pemukanya direka bersegi bagi memberikan imej lasak, tetapi ia masih diberikan skrin-skrin gergasi seperti kebanyakan model-model lain dari China. Pada bahagian pemandu, ditampilkan skrin gergasi 12.3-inci untuk paparan instrumen digital, dan hanya varian Premium diberikan paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Manakala pada konsol tengah diberikan skrin lebih besar bersaiz 17.3-inci untuk sistem infotainmen.

    Denza B8 dilancar di Malaysia – PHEV 4×4, 612 PS/760 Nm, DiSus-P; 6/7 tempat-duduk; dari RM459k-RM519k

    Manakala pada konsol terowong, ia diberikan tombol gear yang dinaikkan selepas enjin dihidupkan, dan juga pelbagai suis fizikal seakan kristal untuk kawalan pelbagai fungsi unit penjana kuasanya. Perincian lain yang turut diberikan termasuktempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsiventilasi dan pengurut, tempat duduk kapten pada barisan kedua yang memberikan fungsi ottoman dan pengurut, dan juga upholsteri kulit Nappa, pengecas tanpa wayar Qi berkembar 50 watt, ruang storan pada perehat tangan dengan fungsi penyejuk dan pemanas, serta sistem bunyi Devialet dengan 18-pembesar suara yang diberikan secara standard.

    Ia turut diberikan suis pelbagai fungsi pada pintu belakang bagi membolehkan penumpang membuka atau menutup cermin tingkap bertentangan dan juga pelindung matahari pada bumbung suria, serta terdapat butang satu sentuhan untuk membaringkan atau menolak tempat duduk barisan kedua ke hadapan bagi memberikan ruang kaki lebih luas. Untuk versi enam-tempat duduk, ia juga diberikan ciri infrared night vision, tempat duduk hadapan yang boleh dipanjangkan bahagian paha dan penyokong bahagian sisi, pencahayaan ambien untuk barisan kedua serta cermin pandang belakang digital tetapi tidak diberikan untuk varian Dynamic.

    B8 ini tidak diberikan fungsi pintu tailgate bantuan kuasa kerana ia dibuka dari sisi seperti pintu biasa, tetapi datang dengan fungsi larasan ketinggian dari but belakang yang membolehkan anda merendahkan bahagian belakang, bagi membantu untuk memasukkan barang yang berat atau besar pada bahagian tersebut.

    But belakang SUV ini cuma menawarkan ruang kargo sebesar 147 liter. Namun tempat duduk baris kedua dan ketiganya boleh dilipat dengan mudah dengan bantuan kuasa, memberikan ruang sehingga 920 liter bagi tujuh-tempat duduk dan 902 liter untuk model enam-tempat duduk.

    B8 ditawarkan dengan pilihan warna luaran Alpine White, Dawn Gold, Eclipse Black, Emerald Green dan Nebula Silver, serta dua versi rona dalaman iaitu Onyx Black dan Jasper Brown.

    Sekali lagi, harga B8 bagi varian Premium enam-tempat duduk bermula RM458,800 tanpa insurans dan model spesifikasi penuh, Dynamic tujuh-tempat duduk yang berharga dari RM518,800. Ia turut didatangkan dengan waranti kenderaan enam-tahun atau 150,000 km, servis penyelenggaraan percuma enam-tahun bernilai RM10,000, waranti bateri voltan tinggi lapan-tahun atau 160,000 km, waranti unit pacuan lapan-tahun atau 160,000 km dan adapter V2L percuma bernilai RM700.

    Denza B8 Dynamic

    Denza B8 Premium

     
     
  • Chery lantik ikon bolasepak Robert Lewandowski jadi duta jenama, perluas kehadiran di peringkat global

    Chery lantik ikon bolasepak Robert Lewandowski jadi duta jenama, perluas kehadiran di peringkat global

    Chery telah umumkan pelantikan Robert Lewandowski sebagai duta baru jenama itu dalam usaha pengeluar kereta dari China itu berusaha untuk mengukuhkan kehadirannya di peringkat global, dalam suasana jualan kereta yang semakin perlahan di China. Kerjasama itu diumumkan di pusat operasi Eropah Chery di Barcelona, ​​Sepanyol, dengan ikon bola sepak tersebut turut menerima kunci kepada Tiggo 9 CSH.

    Sebagai seorang daripada lima pemain yang telah menjaringkan 100 gol ketika bersama dengan tiga kelab berbeza, Lewandowski telah menjulang pelbagai gelaran bersama Lech Poznań, Borussia Dortmund, Bayern Munich dan Barcelona sepanjang kerjayanya. Untuk penglibatannya dengan pasukan kebangsaan Poland pula, Lewandowski telah membuat 165 penampilan dan telah menjaringkan sebanyak 89 gol sejak terlibat dari tahun 2008. Malangnya, beliau tidak akan beraksi di Piala Dunia 2026 kerana Poland gagal melepasi peringkat kelayakan.

    “Saya gembira dapat bekerjasama dengan sebuah jenama yang benar-benar mengutamakan keluarga. Kami berkongsi nilai yang sama: mengutamakan keluarga, kekal fokus dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Saya berharap dapat bekerjasama dengan Chery untuk membawa falsafah “Untuk Keluarga” kepada keluarga di seluruh dunia,” kata Lewandowski.

    Lewandowski menyertai pelakon British, Daniel Craig sebagai seorang daripada beberapa selebriti bukan dari China yang kini menjadi duta jenama itu. Craig menjadi wajah utama Denza, sub-jenama di bawah BYD yang sebelum ini pernah juga diwakili oleh Leonardo DiCaprio. Untuk pengembangan besarnya ke Amerika Selatan, jenama seperti Geely menandatangani Fernanda Lima dan Rodrigo Hilbert.

    Pengembangan di peringkat global menjadi satu hal yang sangat penting bagi jenama kereta China memandangkan keadaan pasaran domestik mereka yang semakin menguncup. Menurut Associated Press, eksport kereta penumpang dari China pada April 2026 melonjak hampir 85% berbanding tahun lalu kepada 796,000 unit, yang meningkat daripada 748,000 unit bagi Mac. Kenderaan tenaga baru (NEV), yang termasuk kereta elektrik dan plug-in hybrid, menyaksikan eksport meningkat lebih daripada 120% bulan lalu berbanding tahun sebelumnya kepada sekitar 420,000 unit.

    Sebaliknya, data daripada Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) menunjukkan jualan kereta domestik berada pada kadar 1.3 juta unit pada April. Ini adalah 25.5% lebih rendah berbanding tahun sebelumnya dan menandakan penurunan tahun ke tahun (YoY) selama enam bulan berturut-turut.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Mei – RON97 naik 15 sen, RON95 naik 20 sen, diesel untuk Semenanjung naik 10 sen

    Harga minyak 21-27 Mei – RON97 naik 15 sen, RON95 naik 20 sen, diesel untuk Semenanjung naik 10 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi tempoh 21 hingga 27 Mei 2026, harga runcit petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 15 sen seliter, menjadi RM4.85 seliter.

    Manakala RON95 tanpa subsidi pula ditetapkan pada harga RM4.07 seliter selepas menerima kenaikan sebanyak 15 sen. Walau bagaimana pun RON95 di bawah subsidi BUDi95 masih kekal pada paras RM1.99 seliter buat masa ini.

    Untuk diesel pula, harga bagi Semenanjung Malaysia turut dinaikkan sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM4.97 seliter. Manakala di Sabah dan Sarawak, harganya kekal pada RM2.15 seliter.

    Kesemua harga baharu ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga Rabu, 27 Mei 2026. Ia merupakan pengumuman ke-22 bagi format harga mingguan tahun ini, dan yang ke-385 sejak mekanisme tersebut diperkenalkan pada awal 2019.

     
     
  • PLUS aktifkan 33 lokasi Smart Lane sempena Aidiladha; 2.2j kenderaan sehari pada 22 Mei-7 Jun

    PLUS aktifkan 33 lokasi Smart Lane sempena Aidiladha; 2.2j kenderaan sehari pada 22 Mei-7 Jun

    Minggu hadapan, rakyat Malaysia bakal menikmati cuti umum yang panjang dan disertai sekali dengan musim cuti persekolahan. Di mana kita bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei ini, Hari Wesak (31 Mei) dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (1 Jun). Pastinya ramai di antara kita merancang untuk pulang ke kampung halaman atau ke mana-mana destinasi lain.

    Bagi yang memilih memandu ke destinasi pilihan dengan menggunakan lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi ini menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak iaitu 22, 23, 26, 28-31 Mei 2026 bagi kenderaan yang keluar dari Lembah Klang, manakala bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang adalah pada 4 hingga 7 Jun 2026.

    Justeru, PLUS menasihatkan anda untuk merancang perjalanan balik ke kampung atau bercuti dengan lebih awal, susulan jangkaan peningkatan aliran trafik di seluruh rangkaian lebuh rayanya, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

    PLUS aktifkan 33 lokasi Smart Lane sempena Aidiladha; 2.2j kenderaan sehari pada 22 Mei-7 Jun

    default

    “PLUS telah bersiap sedia bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik sepanjang musim perayaan ini. Menerusi pengurusan trafik dan insiden yang efisien, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan trafik bagi menambah kapasiti lorong, menugaskan lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPTRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam sehari, mengoptimumkan operasi dan membuka semua lorong di plaza tol serta pemantauan trafik masa nyata menerusi Pusat Pemantauan Trafik (TMC).

    “Bagi membantu pengguna merancang perjalanan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 dengan lebih efisien, PLUS menggalakkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS. Pengguna disaran mengikuti MyPLUS-TTA yang dicadangkan bagi melancarkan perjalanan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh tersebut,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Selain itu, PLUS dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan komited untuk membantu melancarkan aliran trafik dan memastikan tahap keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap optimum sepanjang musim perayaan ini.

    PLUS aktifkan 33 lokasi Smart Lane sempena Aidiladha; 2.2j kenderaan sehari pada 22 Mei-7 Jun

    default

    “Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan serta mendapatkan status trafik semasa sepanjang musim perayaan kali ini. Pada masa sama, PLUS turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet (bagi pengguna RFID dan JustGO) sentiasa mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya.

    “Pengguna lebuh raya juga diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, berhati-hati memandu ketika hujan, mendapatkan rehat secukupnya, memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama,” kata PLUS lagi.

    Dalam pada itu, pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X @plustrafik dan @|pt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta saluran stesen radio utama negara. Orang ramai boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 dan LPTLine di 1800-88-0220 jika memerlukan bantuan kecemasan di lebuh raya.

     
     
  • JPJ periksa 2.58j kenderaan perdagangan antara 2024- April 2026; 415,846 tindakan penguatkuasaan diambil

    JPJ periksa 2.58j kenderaan perdagangan antara 2024- April 2026; 415,846 tindakan penguatkuasaan diambil

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa bagi tempoh 2024 hingga April 2026, sebanyak 2,580,954 kenderaan perdagangan telah diperiksa hasil Ops Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 415,846 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    “Berdasarkan statistik saman JPJ(P)22 sebanyak 45,986 notis telah dikeluarkan pada tahun 2024, dan meningkat kepada 57,174 notis (2025). Bagi tempoh Januari hingga April 2026 pula, sebanyak 14,885 notis telah dikeluarkan atas kesalahan yang sama.

    “Selain tindakan saman, JPJ turut melaksanakan tindakan sitaan terhadap 753 kenderaan yang melanggar syarat permit dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD 2010). Antara negeri yang merekodkan jumlah sitaan tertinggi ialah Pulau Pinang dengan 133 sitaan, diikuti Selangor (125 sitaan) dan Pahang (101 sitaan),” kata Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan selaku Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ.

    Justeru, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi berkenaan di seluruh negara bagi membanteras kesalahan lebih muatan, pelanggaran syarat permit dan ketidakpatuhan teknikal melibatkan kenderaan perdagangan. Operasi khas ini dilaksanakan secara bersepadu dan bersasar melibatkan kenderaan seperti lori, treler, serta kenderaan barangan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara dan pematuhan undang-undang dipertingkat secara menyeluruh.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat secara agresif menerusi operasi berfokus dan penggunaan teknologi semasa bagi meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.

    “Mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang serta mengabaikan aspek keselamatan jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.92 (-0.15)
RON 97 RM4.65 (-0.20)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.87 (-0.10)
EURO 5 B7 RM5.07 (-0.10)
Last Updated May 28, 2026
 
Related PaulTan.org Content: Tech | News: News | Electric: Electric | 2025 | Featured: Featured | Motorsports