Advertisement
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MAA sokong dasar CBU EV terbaru MITI — perlu berperingkat untuk pengeluar menyesuaikan keadaan

    MAA sokong dasar CBU EV terbaru MITI — perlu berperingkat untuk pengeluar menyesuaikan keadaan

    Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain ketika acara kemaskini media sempena Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 hari ini telah menyatakan bahawa persatuan itu menyokong dasar EV CBU terkini MITI yang bertujuan untuk mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan dalam sektor automotif. Tetapi, semua itu perlu dirangka dengan betul dan dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan industri bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan baik.”

    “Untuk menghadkan pilihan EV dalam pasaran, itu boleh menggagalkan hasrat kerajaan ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan mencapai 20% (TIV untuk EV) di Malaysia menjelang 2030. Pada tahun 2025 misalnya, jualan EV hanya menyumbang kurang daripada 4% daripada TIV. Dalam hal ini, Malaysia masih ketinggalan di belakang negara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia yang mana (pasaran EV mereka) telah melebihi 15%,” katanya.

    “Dari segi kadar penggunaan EV, adalah menjadi aspirasi MAA dan industri tempatan untuk memastikan matlamat tersebut dapat dipenuhi demi kebaikan generasi akan datang. Langkah terbaru ini akhirnya akan membawa kepada persekitaran pasaran yang lebih sihat, seimbang dan mampan untuk ekosistem EV, yang menggalakkan aspek lokalisasi yang lebih besar melalui pemasangan CKD serta menarik pelaburan yang bernilai lebih tinggi, serta membuka peluang pekerjaan baru dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem EV serantau,” tambah Shamsor.

    Dalam dasar EV CBU terkini MITI yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai ini, dinyatakan bahawa semua EV CBU perlu mempunyai nilai kos, insurans dan pengangkutan (CIF) sekurang-kurangnya RM200k dan output kuasa sekurang-kurangnya 180 kW (245 PS). Ini menggantikan keputusan yang diumumkan kurang daripada empat bulan sebelumnya, yang mewajibkan harga lantai RM250k dan output kuasa sekurang-kurangnya 200 kW (272 PS).

    Terdapat juga peraturan EV CKD baru — untuk semua kilang EV baru selepas September 2025, kenderaan yang dikeluarkan tidak boleh berharga di bawah RM100k, dengan 80% daripada pengeluaran mesti dieksport, serta mesti ada kemudahan mengecat badan kenderaan. Semua ini merupakan peraturan mahal untuk dilaksanakan, tetapi dari sisi lain akan menjadi tanda bagi kesungguhan bahawa tahap kerja serius yang sebenar yang dilakukan.

    Namun, keperluan eksport 80% itulah yang paling sukar untuk dipenuhi. Untuk mengelakkan perkara ini, pengeluar kereta yang belum mempunyai rakan kongsi CKD tempatan (seperti BYD) perlu mencari rakan kongsi dan bukannya menubuhkan kilang mereka sendiri — jika mereka tidak berbuat demikian sebelum September 2025.

     
     
  • Jalan Gua Musang-Lojing dibuka semula 21 Mei ini

    Jalan Gua Musang-Lojing dibuka semula 21 Mei ini

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin memaklumkan bahawa Jalan Gua Musang-Lojing yang ditutup sejak 3 Disember 2025 akibat tanah runtuh dijangka dibuka semula kepada pengguna esok (21 Mei).

    Beliau berkata pembukaan laluan itu amat penting bagi memulihkan semula hubungan pengangkutan antara Kelantan, Pahang dan Perak khususnya melibatkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik.

    “Rentetan Jalan FT185, Pos Blau, Lojing yang runtuh, lawatan saya bersama Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turun meninjau keadaan jalan tersebut pada 2 Februari, kini bakal menyelesaikan masalah perhubungan antara Kelantan-Pahang-Perak.

    “Alhamdulillah, hasil perbincangan dan tindakan susulan yang dipercepatkan, pembinaan jalan lencongan sementara kini hampir siap dan dijangka dibuka kepada pengguna pada seawal 21 Mei 2026,” katanya menerusi laman Facebook rasminya.

    Walau bagaimana, katanya lagi, laluan berkenaan hanyalah jalan lencongan sementara dan pengguna diminta sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan tersebut.

     
     
  • iCaur 03 CKD 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – spesifikasi sama dengan CBU, RM129,880 iWD; 279 PS

    iCaur 03 CKD 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – spesifikasi sama dengan CBU, RM129,880 iWD; 279 PS

    iCaur Malaysia secara rasmi telah melancarkan versi pemasangan tempatan (CKD) untuk SUV iCaur 03, di mana SUV berkenaan telah pun keluar dari barisan pemasangan di kilang Chery Corporate Malaysia, Shah Alam.

    “Peralihan kepada pemasangan tempatan merupakan langkah penting buat kami. Ia menggabungkan kebanggaan tempatan dengan teknologi global, sambil membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat tanpa mengubah apa yang pelanggan sedia gemari tentang iCaur 03. Unit dipasang tempatan ini mengekalkan 100% spesifikasi bertaraf tinggi, standard kejuruteraan dan karakter Born To Play seperti yang dinikmati pelanggan menerusi model CBU,” kata Pengarah Kanan iCaur Malaysia, Francis Chin.

    iCaur 03 versi diimport sepenuhnya (CBU) sebelum ini ditawarkan dalam dua varian, dilancarkan di Malaysia pada September 2025, di mana ketika itu varian asas 2WD dengan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM119,800 dan varian iWD (Intelligent Wheel Drive) berharga RM129,800. Dan kemudian apabila EV mula dikenakan cukai jalan pada 1 Januari 2026, harga atas jalan bagi kedua-dua varian masing-masing naik kepada RM119,940 dan RM130,080.

    iCaur 03 CKD 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – spesifikasi sama dengan CBU, RM129,880 iWD; 279 PS

    Manakala untuk versi CKD yang dilancarkan hari ini, 03 hanya ditawarkan dalam varian iWD, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM129,880 – sama seperti harga versi asal CBU di mana ketika itu ia masih menerima insentif pengecualian cukai dari kerajaan. Menurut iCaur Malaysia, varian 2WD bukan digugurkan, tetapi ia akan tiba sedikit lambat.

    iCaur Malaysia turut menawarkan pakej pembelian yang termasuk pengecas rumah AC 7 kW dan juga servis berkala percuma selama dua tahun atau 45,000 km, yang mana sampai dulu.

    Sama seperti versi CBU, iCaur 03 CKD ini masih diberikan waranti selama tujuh-tahun/150,000 km untuk kenderaan; waranti lapan-tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen elektrik dan unit pacuan; dan gantian bateri jika kapasitinya turun lebih rendah dari 70% dalam tempoh waranti lapan-tahun tersebut.

    iCaur 03 CKD 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – spesifikasi sama dengan CBU, RM129,880 iWD; 279 PS

    Tiada perubahan spesifikasi untuk iCaur 03 iWD ini di mana untuk unit rangkaian kuasa ia masih menerima motor elektrik yang memacu roda belakang berkuasa 184 PS dan tork 220 Nm, serta satu lagi motor elektrik tambahan berkuasa 95 PS dan tork 165 Nm diletakkan pada gandar hadapan bagi memacu roda hadapan. Secara keseluruhan SUV ini dibekalkan dengan kuasa 279 PS dan tork maksima 385 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 150 km/j.

    Kuasa untuk menggerakkan kedua-dua motor elektrik berkenaan diterima dari bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 69.8 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 418 km dengan satu cas penuh dalam kitaran ujian NEDC (sekitar 355 km WLTP). Manakala untuk mengecas, pengecasan pantas DC 80 kW membolehkan bateri dipenuhkan dari 30%-80% dalam masa 30 minit. Ia juga menyokong pengecas AC pada kadar 6.6 kW serta sistem vehicle-to-load (V2L) untuk memberi kuasa pada peralatan elektrik lain pada kadar 3.3 kW.

    Antara perincian standard yang dibekalkan pada varian iWD ini termasuk set rim aloi 19-inci, lampu hadapan LED dengan lampu tinggi adaptif, bumbung suria panaromik dengan pelindung matahari bantuan kuasa, upholsteri tempat duduk kulit sintetik, tempat duduk hadapan bantuan kuasa bersama fungsi pengurut, sistem pendingin hawa dua-zon dengan corong kabin belakang serta fungsi pengalir udara untuk tempat duduk hadapan dan belakang.

    iCaur 03 CKD 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – spesifikasi sama dengan CBU, RM129,880 iWD; 279 PS

    Ia juga datang dengan skrin sentuh infotainmen 15.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pad pengecas tanpa wayar 50-watt, 10 mod pemanduan yang boleh dipilih, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup, lampu suasana kabin, enam-beg udara, monitor pemantau 540-darjah dan perakam video pemanduan 360-darjah.

    Dengan tambahan bayaran RM20,000, anda turut boleh menjadikan 03 iWD anda sebagai Black Phantom Edition yang diberikan kit badan bersama overfender pada perumah roda, warna badan hitam matte, rak bumbung dan juga tangga sisi badan bagi memberikan rupa sebuah kenderaan off-road yang lebih lasak.

    Untuk keselamatan pula, iCaur 03 ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju Tahap 2 yang menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, pengekal lorong kecemasan, amaran keluar lorong, pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakangm cruise control adaptif dengan bantuan kesesakan trafik, pemantau titik buta dan amaran buka pintu.

    “iCaur 03 hanyalah permulaan kepada apa yang mahu kami bina di Malaysia,” kata Daniel Lai, Pengarah Pemasaran iCaur Malaysia. “Fokus kami adalah untuk terus memperkenalkan NEV yang bergaya, pintar dan penuh karakter — kenderaan yang mencerminkan cara orang ramai hidup, bergerak dan mengekspresikan diri hari ini,” tambahnya.

    GALERI: iCaur 03 CKD

    GALERI: iCaur 03 CBU

     
     
  • Kenderaan elektrik bateri (BEV) kini cecah 94,165 unit di Malaysia sejak tahun 2018 – Fadillah Yusof

    Kenderaan elektrik bateri (BEV) kini cecah 94,165 unit di Malaysia sejak tahun 2018 – Fadillah Yusof

    Nampak gayanya masyarakat di Malaysia kian menerima kenderaan elektrik bateri (BEV) apatah lagi model kenderaan jenis ini semakin membanjiri pasaran tempatan terutamanya yang dibawa masuk dari China. Buktinya, sejak tahun 2018 hingga kini, jumlah terkumpul bagi penggunaan kenderaan BEV di Malaysia telah mencecah 94,165 unit.

    Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya semalam.

    Menurut beliau, EV bukan lagi sekadar trend global, tetapi telah menjadi satu keperluan strategik yang berkait rapat dengan aspek pelaburan, daya saing industri, keselamatan tenaga dan kesejahteraan rakyat.

    “Hari ini (semalam), mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) Bilangan 1/2026 di Menara MITI. Mesyuarat ini bagi memperkukuhkan pembangunan ekosistem EV negara. Malaysia telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam penggunaan EV, khususnya bagi kategori BEV,” katanya.

    Kenderaan elektrik bateri (BEV) kini cecah 94,165 unit di Malaysia sejak tahun 2018 – Fadillah Yusof

    Menerusi mesyuarat berkenaan, beliau juga berharap ia dapat mengenal pasti penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi, yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memperkukuh pembangunan industri serta ekosistem EV negara secara lebih progresif, terselaras dan berdaya saing.

    Baru-baru ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan perubahan terhadap polisi EV yang diimport sepenuhnya (CBU) selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai selama empat-tahun untuk EV yang diimport sepenuhnya di bawah skim francais Approved Permit (AP) pada 31 Disember 2025.

    Menurut MITI, bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp). BACA SELANJUTNYA DI SINI.

    Jelasnya, polisi ini bukan sekadar untuk melindungi jenama automotif tempatan iaitu Proton dan Perodua, sebaliknya menerusi polisi tersebut kerajaan dapat menggalakkan syarikat EV dari luar untuk beroperasi di Malaysia dan bekerjasama dengan lebih banyak pembekal-pembekal tempatan.

     
     
  • Foton Tunland V7, V9 dilancar di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas gaya seperti Ford/Ram, dari RM122k

    Foton Tunland V7, V9 dilancar di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas gaya seperti Ford/Ram, dari RM122k

    Foton Tunland V7 dan V9 kini rasmi dilancarkan di Malaysia selepas membuat penampilan awal di Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) minggu lalu. Kedua-dua model pikap ini menandakan kemunculan pertama nama Tunland di pasaran tempatan, meskipun model generasi terdahulu pernah ditawarkan di sini menggunakan nama berbeza.

    Dengan saiz badan yang lebih besar berbanding kebanyakan pesaing dalam segmen satu tan, Tunland V7 dan V9 tampil dengan imej lebih gagah dan menyerlah di atas jalan raya, khususnya bagi pembeli yang mahukan trak gaya hidup premium.

    Harga jualan bermula dari RM123,800 untuk Tunland V7, manakala Tunland V9 ditawarkan pada harga RM143,800. Sempena pelancaran, Foton turut menawarkan rebat RM2,000 kepada 888 pembeli terawal, menjadikan harga efektif masing-masing RM121,800 dan RM141,800. Kedua-dua model hadir bersama jaminan selama tujuh tahun atau 200,000 km, selain pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk pelanggan awal.

    Dari segi dimensi, kedua-dua trak ini berkongsi ukuran sama iaitu 5,617 mm panjang, 2,090 mm lebar dan 1,955 mm tinggi, dengan jarak roda mencecah 3,355 mm. Saiz ini menjadikan Tunland V7 dan V9 jauh lebih besar berbanding Toyota Hilux generasi semasa, malah menghampiri dimensi pikap bersaiz penuh seperti Ford F-150.

    Walaupun begitu, kapasiti muatan yang ditawarkan ialah 895 kg, sedikit rendah berbanding standard satu tan yang biasa dilihat dalam segmen ini. Namun, keupayaan menunda sehingga 3,500 kg masih setanding dengan pesaing utama lain.

    Kedua-dua model menggunakan enjin turbodiesel empat silinder 2.0 liter Aucan 4F20 yang dibangunkan bersama Cummins. Enjin ini dilengkapi pengecas turbo geometri berubah (VGT) serta sistem hibrid ringkas 48-volt. Kuasa maksimum dihasilkan ialah 163 PS pada 3,600 rpm dengan tork 400 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Motor elektrik turut memberikan tambahan 12 PS dan 50 Nm ketika pecutan, manakala penggunaan bahan api dikatakan sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 km.

    Foton Tunland V7, V9 dilancar di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas gaya seperti Ford/Ram, dari RM122k

    Sistem pacuan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF bersama sistem pacuan empat roda dan transfer gear BorgWarner dengan mod low-range. Tunland V9 menerima beberapa penambahan seperti locking differential belakang serta stereng kuasa elektrik, manakala V7 masih menggunakan sistem hidraulik. Kedua-dua model menawarkan enam mod pemanduan termasuk Sand, Mud dan Snow untuk kegunaan offroad.

    Perbezaan utama antara V7 dan V9 lebih tertumpu pada reka bentuk serta kelengkapan. Tunland V7 menggunakan lampu utama LED berkembar menegak bersama gril besar yang mengingatkan kepada Ford F-150. Sementara itu, V9 tampil lebih agresif dengan rekaan hadapan mirip Ram 1500, termasuk lampu hadapan mendatar dan gril trapezoid gaya TRX. Kedua-duanya turut dilengkapi elemen seperti bukaan udara fender hiasan, pemegang pintu besar dan lampu belakang berbentuk segi tiga.

    V9 tampil lebih mewah dengan tambahan lampu belakang LED penuh melintang, rel bumbung, sports bar, fender flare hitam serta side step yang lebih menarik. Kedua-dua model hadir dengan bed liner dan tailgate damper, namun hanya V9 menerima tangga binaan dalam pada pintu belakang. Rim aloi 18 inci berwarna hitam turut diberikan, dengan rekaan berbeza mengikut varian.

    Foton Tunland V7, V9 dilancar di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas gaya seperti Ford/Ram, dari RM122k

    Bahagian kabin menampilkan susun atur moden dengan papan pemuka mendatar, kawalan pendingin hawa fizikal serta konsol tengah yang lebar. Rekaan kemasan berbentuk U terbalik pada bahagian tengah pula diinspirasikan daripada tuil kawalan kapal layar. Untuk pasaran Malaysia, kedua-dua model dijangka menerima paparan instrumen digital 12.3 inci bersama skrin infotainmen 14.6 inci yang menyokong Apple CarPlay.

    Ruang dalaman turut menawarkan tempat duduk belakang boleh lipat yang mendedahkan bateri lithium-ion sistem hibrid ringkasnya. Tempat duduk belakang jenis 60:40 juga boleh diangkat untuk membawa barangan tinggi, sama seperti konsep Ultra Seats pada Honda City Hatchback dan HR-V. Corong pendingin hawa belakang turut disediakan sebagai ciri standard.

    Dari segi kelengkapan, kedua-dua model menerima pelarasan stereng tilt dan teleskopik, tempat duduk pemandu larasan elektrik 10 hala serta kemasan tempat duduk kulit tiruan. V9 bagaimanapun mendapat tambahan tempat duduk penumpang larasan elektrik empat hala, bumbung panoramik, cermin pandang belakang malap sendiri dan soket kuasa 220 volt di bahagian belakang.

    Tunland V7 dilengkapi akses tanpa kunci, butang penghidup enjin, cruise control, pendingin hawa automatik, empat pembesar suara, sensor parkir belakang dan kamera undur. V9 pula menambah sistem pendingin hawa dua zon dengan penapis udara, kamera 360 darjah dengan fungsi transparent view, enam pembesar suara serta sensor parkir hadapan.

    Aspek keselamatan menjadi antara perbezaan paling ketara antara kedua-dua model. V7 hanya dilengkapi dua beg udara bersama kawalan kestabilan dan hill descent control. Sebaliknya, V9 menawarkan enam beg udara serta pakej bantuan pemanduan termaju yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pemantauan tahap keletihan pemandu dan lampu tinggi automatik.

    Foton akan membawa masuk Tunland V7 dan V9 sebagai unit import penuh (CBU) terlebih dahulu menerusi program peralihan CKD yang ditetapkan MITI sebelum pemasangan tempatan dimulakan di Johor pada suku keempat tahun ini. Foton turut merancang untuk memperkenalkan varian plug-in hybrid bagi kedua-dua model pada tahun hadapan.

    GALERI: Foton Tunland V7 di MCVE 2026

    GALERI: Foton Tunland V9 di MCVE 2026

     
     
  • Nenek berusia 80 tahun pandu lawan arus di Lebuhraya DASH – salah jalan dan cari susur keluar

    Nenek berusia 80 tahun pandu lawan arus di Lebuhraya DASH – salah jalan dan cari susur keluar

    Seorang wanita berusia lingkungan 80-an ditahan polis kerana memandu melawan arus di KM10.8 Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Isnin (18 Mei 2026). Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mamat berkata penahanan dibuat selepas video kejadian itu tular di media sosial.

    Dalam video berdurasi hampir dua minit itu, kenderaan warga emas berkenaan dipandu melawan arus sebelum melepasi seorang penunggang motosikal yang merakam kejadian. Apqbila menyedari insiden, penunggang motosikal berkenaan segera mengejar kenderaan wanita tersebut sambil membunyikan hon pada kenderaan bertentangan dalam usaha menghentikannya, dan turut bergerak melawan arus.

    Siasatan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai sesat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar jam 9.30 malam dan memandu melawan arus bagi mencari jalan keluar dari lebuh raya. Syukur, tiada kemalangan melibatkan kenderaan tersebut dilaporkan berlaku.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi ibu pejabat polis Petaling Jaya.

    Ini mungkin kesilapan yang tidak disengajakan, namun tidak sepatutnya terus memandu melawan arus sekiranya tersalah jalan. Anda sepatutnya memberi isyarat kepada pengguna jalan raya lain bahawa anda sedang bergerak ke arah yang salah dan segera memandu kenderaan ke bahu jalan sebelum berhenti untuk menilai keadaan serta tindakan seterusnya, seperti membuat pusingan-U apabila keadaan benar-benar selamat.

    Untuk individu lanjut usia sebegini pula, adalah tidak wajar untuk ‘dibenarkan’ memandu berseorangan terutamanta pada waktu malam ekoran bimbang akan keselamatan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain sekiranya terjadinya perkara yang tidak terduga begini. Ini bukan kes pertama yang melibatkan warga emas memandu melawan arus. Harap perkara sebegini dapatlah dielakkan dengan pemantauan ahli keluarga agar tidak membiarkan ibu bapa atau datuk nenek anda dibiarkan memandu sendirian.

    <

     
     
  • CEO Volvo beri bayangan syarikatnya akan kembali menghasilkan wagon, tidak hanya tumpu pada SUV

    CEO Volvo beri bayangan syarikatnya akan kembali menghasilkan wagon, tidak hanya tumpu pada SUV

    Tahun lalu bekas CEO Volvo, Jim Rowan mengesahkan bahawa syarikat automotif Sweden yang diterajuinya itu akan menghentikan pengeluaran model-model wagon walaupun jenama Volvo itu sendiri memang dikenali dengan pelbagai model wagon yang ikonik. Alasan yang diberikan oleh Rowan ketika itu adalah kos pembangunan yang akan meningkat sekiranya pelbagai bentuk badan ditawarkan dalam pasaran.

    Namun itu cerita lama kerana Jim Rowan yang sebelum itu merupakan CEO syarikat pembuat barangan elektrik Dyson telah pun meletakkan jawatan CEO Volvo pada 31 Mac 2025. Tugas berkenaan diambil alih semula oleh Håkan Samuelsson, yang sebelum ini sememangnya CEO Volvo dari 2012 hingga 2022. Ketika Rowan menggalas jawatan ini, Samuelsson diberi tanggungjawab untuk mengetuai Polestar, pembuat kereta sport elektrik di mana sebelum itu jenama tersebut merupakan sayap prestasi Volvo.

    Menerusi temubual bersama Motor1 baru-baru ini, Håkan Samuelsson membayangkan Volvo akan kembali menawarkan model-model wagon tidak lama lagi.

    CEO Volvo beri bayangan syarikatnya akan kembali menghasilkan wagon, tidak hanya tumpu pada SUV

    “Mungkin pengguna di Amerika Syarikat lebih tahu, tetapi saya fikir kami percaya pasaran mungkin telah terlalu melebih-lebih menumpukan hanya terhadap SUV sahaja. Saya tidak fikir 10 tahun dari sekarang, kita hanya akan mempunyai SUV daripada Volvo.”

    “Jadi saya rasa untuk pelbagai sebab, kita perlukan kereta yang lebih rendah. Jadi rintangan udara adalah salah satu daripadanya, kerana kita bercakap tentang jarak gerak, dan sudah tentu, jika anda ada bahagian depan yang lebih rendah, ia lebih mudah. Semuanya akan lebih mudah,” kata Samuelsson.

    “Saya rasa saya tak dedahkan lebih banyak bahawa saya rasa kami tidak akan hanya ada SUV untuk tempoh lima tahun dari sekarang,” tambahnya.

     
     
  • BMW M3 CS Handschalter diperkenal – M3 CS pertama dengan kotak gear manual enam kelajuan untuk AS

    BMW M3 CS Handschalter diperkenal – M3 CS pertama dengan kotak gear manual enam kelajuan untuk AS

    BMW mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya memperkenalkan BMW M3 CSasaa dengan transmisi manual enam kelajuan menerusi edisi khas terhad yang dikenali sebagai M3 CS Handschalter. Model ini dibangunkan sebagai penghormatan terakhir kepada generasi G80 sebelum ketibaan penggantinya, dan hanya akan ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Amerika Utara dalam jumlah yang sangat terhad. Harga permulaan ditetapkan pada USD107,100, bersamaan sekitar RM426,000.

    Dari sudut prestasi, M3 CS Handschalter masih menggunakan enjin sama seperti M3 CS standard, iaitu unit S58 enam silinder sebaris 3.0 liter turbo. Namun, output kuasanya dikurangkan kepada 480 PS dan 550 Nm berbanding 550 PS serta 650 Nm pada versi automatik. Pengurangan ini dipercayai dibuat bagi menyesuaikan keupayaan transmisi manual enam kelajuan yang digunakan.

    Berbeza dengan M3 CS biasa yang hadir bersama sistem pacuan semua roda M xDrive dan transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic, versi Handschalter hanya menggunakan pacuan roda belakang sepenuhnya. Gabungan kuasa lebih rendah dan ketiadaan pacuan semua roda menyebabkan pecutan 0 hingga 96 km/j mengambil masa 3.8 saat, lebih perlahan berbanding 3.2 saat yang dicatatkan oleh M3 CS standard.

    BMW M3 CS Handschalter diperkenal – M3 CS pertama dengan kotak gear manual enam kelajuan untuk AS

    Kelajuan maksimum juga sedikit menurun kepada 290 km/j meskipun M Driver’s Package diberikan secara standard. Angka tersebut lebih rendah sekitar 12 km/j berbanding versi automatik. Walaubagaimanapun, BMW jelas meletakkan M3 CS Handschalter sebagai model yang lebih menekankan pengalaman pemanduan dan keseronokan mengendalikan kereta berbanding semata-mata mengejar prestasi terpantas.

    Bagi meningkatkan pengendalian, BMW melakukan talaan khas pada sistem suspensi dengan penggunaan penyerap hentak daripada M4 CSL bersama spring tambahan khas. Spring utama dan sambungan gandar belakang turut direka semula, sekaligus menjadikan ketinggian badan lebih rendah sebanyak enam milimeter berbanding M3 standard. Talaan pada geometri gandar dan sudut camber roda juga disesuaikan dengan konfigurasi pakej kuasa baru ini.

    Sistem brek M Compound ditawarkan secara standard dengan pilihan angkup merah atau hitam. Pembeli yang mahukan prestasi lebih tinggi boleh memilih sistem brek M Carbon Ceramic yang lebih ringan bersama angkup berwarna merah atau emas.

    BMW M3 CS Handschalter diperkenal – M3 CS pertama dengan kotak gear manual enam kelajuan untuk AS

    Rim aloi forged Style 927M pula ditawarkan dalam pilihan warna Gold Bronze atau hitam, dipadankan dengan tayar berprestasi tinggi bersaiz 275/35 di hadapan dan 285/30 di belakang. BMW turut menawarkan pilihan tayar khusus untuk kegunaan litar.

    Bagi mengurangkan berat keseluruhan, BMW menggunakan pelbagai komponen gentian karbon pada model ini. Dengan pakej brek karbon pilihan, M3 CS Handschalter dikatakan 34 kilogram lebih ringan berbanding M3 standard. Antara komponen CFRP yang digunakan termasuk panel bumbung, bonet, splitter hadapan, saluran udara hadapan, penutup cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler belakang.

    Bahagian dalaman turut menerima sentuhan bahan CFRP pada konsol tengah dan kemasan kabin, selain penggunaan kerusi bucket M Carbon sebagai ciri standard. BMW juga memasang penyenyap ekzos belakang titanium yang membantu mengurangkan berat lebih 3.6 kilogram.

    Namun, tanpa pakej brek karbon, pengurangan berat keseluruhan berbanding M3 manual biasa hanyalah sekitar 19 kilogram. Selain itu, BMW turut menawarkan strut brace hadapan aluminium tuang bagi meningkatkan ketegaran casis.

    Dari segi penampilan, M3 CS Handschalter mengekalkan rupa agresif seperti M3 CS standard dengan pelbagai elemen aerodinamik dan lampu nyalaan siang berwarna kuning yang menjadi identitinya. Pembeli boleh memilih empat warna luaran, termasuk Isle of Man Green Metallic dan Black Sapphire Metallic yang ditawarkan tanpa kos tambahan.

    Dua lagi pilihan daripada katalog BMW Individual ialah Imola Red dan Techno Violet Metallic, namun memerlukan bayaran tambahan sebanyak USD4,500 atau sekitar RM18,000.

     
     
  • Dongfeng akan hasilkan model-model NEV untuk Peugeot dan Jeep di China, untuk domestik dan import

    Dongfeng akan hasilkan model-model NEV untuk Peugeot dan Jeep di China, untuk domestik dan import

    Dongfeng Peugeot Citroen Automobile (DPCA), syarikat kerjasama yang kini sudah berusia 34 tahun bakal menghasilkan model-model baharu untuk jenama Peugeot dan Jeep di China, untuk pasaran domestik dan juga luar negara selepas Stellantis dan Dongfeng Group menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik (SCA) baru-baru ini.

    Tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan dan apa yang dimuktamatkan dalam perjanjian pelaksanaan yang berkaitan, SCA ini dijangka akan memulakan pengeluaran awal “dua kenderaan tenaga baharu (NEV) berjenama Peugeot serba baharu” dan “dua kenderaan off-road tenaga baharu berjenama Jeep untuk pasaran global” di kilang Wuhan mulai tahun 2027.

    Dengan menyebut “berjenama-Peugeot” dan “berjenama-Jeep”, produk-produk yang bakal dihasilkan ini mungkin dihasilkan berasaskan model-model Dongfeng – mungkin sekadar rebadge, dan ia mungkin akan menerima kejuteraan semula dari kedua-dua jenama tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan lagi, model-model Peugeot yang akan dihasilkan menerusi kerjasama ini “akan berdasarkan bahasa reka bentuk terkini kereta konsep serba baharu yang diperkenalkan oleh Peugeot di Pameran Auto Beijing 2026”, di mana Peugeot membawa dua ketika itu iaitu estate bersaiz besar Concept 6 dan SUV bersaiz besar Concept 8. Namun tiada sebarang perincian berkenaan model-model Jeep disebut.

    Projek ini akan melibatkan pelaburan bersama lebih RMB8 bilion (RM4.7 bilion), namun Stellantis dijangka hanya menyumbang 130 juta euro (RM602 juta), atau kurang daripada 13%.

    “Dengan rekod prestasi lebih 30 tahun kerjasama dan kepakaran automotif yang dikongsi, Stellantis dan Dongfeng bersedia untuk memanfaatkan lagi kekuatan mereka dan memperkenalkan kenderaan serba baharu dengan teknologi EV canggih daripada jenama yang dipercayai dan disukai pelanggan di seluruh dunia,” kata CEO Stellantis, Antonio Filosa.

    “Melalui pemeteraian kerjasama strategik ini, dengan mengintegrasikan kekuatan perindustrian Hubei, kelebihan susun atur global Stellantis dan teknologi kenderaan elektrik pintar Dongfeng, laluan baharu yang menampilkan kekuatan pelengkap dan hasil menang-menang untuk semua pihak telah diwujudkan,” kata pengerusi Dongfeng Group, Qing Yang.

     
     
  • Wing Hin M’sports akan ke pusingan 1 Thailand Super Series 2026 dengan 5 jentera termasuk GR Supra GT4

    Wing Hin M’sports akan ke pusingan 1 Thailand Super Series 2026 dengan 5 jentera termasuk GR Supra GT4

    Pasukan lumba dari Malaysia, Wing Hin Motorsports bakal turun ke pusingan pertama kejohanan Thailand Super Series (TSS) 2026 di Chang International Circuit di Burriram hujung minggu ini, 21 hingga 24 Mei dengan empat jentera lumba yang bertanding dalam pelbagai kategori.

    Armada Wing Hin ini akan diketuai oleh jentera Toyota GR Supra GT4 Evo2 #39 sebagai juara bertahan dalam kelas GT4, di mana ia masih akan dikemudi oleh Mitchell Cheah. Namun ada sedikit rombakan dibuat di mana pasangan Cheah musim lalu iaitu Naquib Azlan akan bertindak sebagai jurutera pemandu dan jurulatih pemandu pasukan Wing Hin, dan tempat yang ditinggalkan Naquib berkenaan akan digantikan dengan pemandu dari Hong Kong, Ryan Wong.

    “Selepas memenangi kejuaraan dalam musim kemunculan sulung saya dalam GT4, saya gembira dapat kembali bertanding di Thailand tetapi kali ini kami beralih daripada gandingan perak/perak pemandu kepada gandingan perak/gangsa. Persediaan telah berjalan lancar dan sudah tentu kami akan menambah baik dari semasa ke semasa, jadi sudah tentu sasaran saya adalah untuk mempertahankan dan memenangi gelaran kedua berturut-turut,” kata Mitchell Cheah.

    Wing Hin M’sports akan ke pusingan 1 Thailand Super Series 2026 dengan 5 jentera termasuk GR Supra GT4

    “Ia tidak akan mudah, tetapi saya pasti akan memberikan yang terbaik seperti biasa sebagai pasukan dan pemandu yang kompetitif. Ini adalah sukan berpasukan dan semua orang telah bekerja keras di sebalik tabir untuk sampai ke tempat kami hari ini dan saya harus mengucapkan terima kasih kepada Wing Hin Motorsports atas sokongan yang sangat besar,” tambahnya.

    Cheah dan Wong akan berhadapan dengan cabaran besar tahun ini untuk menentang sekurang-kurangnya lima Toyota GR Supra GT4 EVO2 dari pasukan lain, serta penyertaan jentera-jentera Eropah termasuk Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercecdes-AMG GT4, dan Aston Martin Vantage.

    Selain dari GT4, Wing Hin turut akan bertarung dalam kelas Super Touring dengan dua Toyota Vios dan dua Toyota Yaris. Vios pertama dengan nombor #36 akan dipandu oleh pasangan pelumba muda Malaysia iaitu Nabil Azlan dan Amer Harris, manakala Vios #9 merupakan jentera program perlumbaan pelanggan Wing Hin yang dipandu oleh Nick Teo dan Ian Wong.

    Bagi Yaris #38 pula akan menampilkan gandingan pelumba baru dan lama Malaysia, iaitu pasangan Dannies Ng yang sudah berlumba dengan Wing Hin buat tahun ke-sembilan, dan juara kelas Sporting dalam perlumbaan Vios Challenge 2025 iaitu Jwan Hii. Ini merupakan penyertaan sulung Hii dalam TSS di mana pelumba yang berusia 24 tahun tersebut juga merupakan graduan Toyota Gazoo Racing Malaysia Rookie musim pertama.

    Manakala bagi Yaris #39, ia akan dipandu oleh dua orang pelumba Thailand iaitu Varunchit Wattanathanakun (Monai) dan juga pelumba wanita Mekkaradkeeta Kalantananda (Ni-Ne), di mana kedua-dua pelumba ini kini aktif berlumba dalam Vios Challenge di Malaysia

    Siri perlumbaan Thailand Super Series 2026 ini akan berlangsung sebanyak lima pusingan. Selepas Chang, ia akan beralih ke festival perlumbaan jalanan antarabangsa Bangsaen Grand Prix di Chonburi dari 1-5 Julai untuk pusingan kedua, diikuti Pusingan 3 dan 4 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang masing-masing dari 21-23 Ogos dan 18-20 September, dan pusingan akhir akan kembali ke Litar Antarabangsa Chang dari 30 Okt-1 Nov.

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya bermasalah semalam disebabkan penutup Linear Induction Motor rosak

    LRT Laluan Kelana Jaya bermasalah semalam disebabkan penutup Linear Induction Motor rosak

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku pengendali LRT memaklumkan bahawa siasatan awal berhubung insiden gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang berlaku semalam (18 Mei 2026) telah dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

    “Hasil dapatan awal menunjukkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada penutup Linear Induction Motor (LIM) pada tren bernombor 92 yang rosak ketika berada di platform Stesen Kelana Jaya. Ini telah mengakibatkan tren tersebut tidak dapat bergerak, sekaligus menjejaskan jadual serta kelancaran operasi.

    “Sekiranya tren tersebut digerakkan, ia akan mengakibatkan kesan yang lebih serius seperti kerosakan pada sistem persemboyanan (signalling) dan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) yang terletak di landasan. Untuk makluman, sistem PIES adalah sistem keselamatan landasan rel yang direka untuk mengesan objek atau penumpang yang terjatuh ke atas landasan. la dipasang di stesen perkhidmatan rel seperti Laluan Kelana Jaya bagi mengelakkan kemalangan,” kata syarikat berkenaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebagai langkah segera, tambahnya, pasukan kejuruteraan Rapid Rail telah mengambil tindakan segera termasuk pemeriksaan menyeluruh armada (fleet-wide check) bagi memastikan LIM berada dalam tahap optimum dan selamat. Pada masa yang sama, pihak Rapid Rail sedang menjalankan siasatan root cause analysis secara menyeluruh. Hasil siasatan ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah mitigasi jangka panjang, termasuk penambahbaikan sistem serta prosedur operasi.

    “Pihak Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua penumpang yang terkesan akibat gangguan ini dan menzahirkan penghargaan atas kesabaran serta pemahaman orang awam. Kami kekal komited untuk memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam rel sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi.

    Semalam, jadual perkhidmatan Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan hampir lapan jam akibat gangguan teknikal melibatkan yang sebuah tren di Stesen Kelana Jaya. Gangguan ini berpunca daripada kerosakan komponen tren yang menyebabkan tren tersebut tidak dapat bergerak di Stesen Kelana Jaya. Rapid Rail turut menggerakkan bas perantara ulang alik secara percuma bagi mengatasi kesesakan di stesen-stesen yang terlibat.

     
     
  • JPJ KL periksa 65,016 kenderaan berat antara Jan-pertengahan Mei; 3,082 kenderaan dikena tindakan

    JPJ KL periksa 65,016 kenderaan berat antara Jan-pertengahan Mei; 3,082 kenderaan dikena tindakan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memeriksa sebanyak 65,016 kenderaan perdagangan antara Januari hingga pertengahan Mei 2026 menerusi Operasi Khas Lebih Muatan di sekitar ibu kota.

    Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,082 kenderaan perdagangan telah diambil tindakan, dengan 22 kenderaan disita yang melibatkan lapan pemandu warga asing dan 14 pemandu tempatan.

    “Dalam tempoh yang sama, 31 syarikat pengangkutan telah dikenakan tindakan mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan RM463,000, termasuk sebuah syarikat yang didenda RM85,000 kerana membawa muatan berlebihan,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa kesalahan lebih muatan bukan sahaja merosakkan jalan raya, malah meningkatkan risiko kemalangan. Di mana tindakan tegas akan terus dilaksanakan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

    Pada Januari lalu, Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata, pihaknya telah memeriksa sejumlah 1.2 juta kenderaan berat menerusi Operasi Lebih Muatan di seluruh negara pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 240,493 kenderaan diambil tindakan, termasuk 465 kenderaan disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Aedy berkata, jumlah yang direkodkan pada tahun lalu juga telah meningkat sebanyak 35.5% berbanding tahun 2024 di mana sekitar 829,392 kenderaan diperiksa. Malah jumlah kenderaan yang diambil tindakan juga meningkat sebanyak 47.7% berbanding tahun 2024 (126,974 kenderaan)

     
     
  • BYD M6 DM didedah di Indonesia – MPV PHEV dengan enjin NA 1.5L 99 PS, penggunaan bahan api 65 km/l

    BYD M6 DM didedah di Indonesia – MPV PHEV dengan enjin NA 1.5L 99 PS, penggunaan bahan api 65 km/l

    Selepas hanya ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya, BYD M6 kini muncul dalam versi plug-in hybrid, diperkenalkan di Indonesia bagi memperluaskan penawaran MPV popular tersebut. Langkah ini juga dilihat sebagai usaha pengeluar dari China itu untuk menarik lebih ramai pengguna yang masih belum bersedia beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik, terutama ketika kos bahan api dan harga kenderaan terus meningkat.

    Dari segi reka bentuk, varian yang dipanggil sebagai BYD M6 DM ini menerima perubahan ketara pada bahagian hadapan menerusi penggunaan gril bersaiz besar yang mengingatkan kepada model BYD e6 terdahulu, namun dengan bukaan lebih luas bagi membantu aliran udara ke enjin petrol. Rekaan tersebut dipadankan bersama liang udara berbentuk L di bahagian bucu bampar, manakala lampu utama LED multi-projector serta lampu nyalaan siang berbentuk L dikekalkan.

    Model ini turut tampil dengan kemasan lebih lasak menerusi penggunaan pelindung badan plastik hitam dan lengkuk roda yang lebih menonjol, memberikan elemen crossover ala SUV. Di bahagian belakang pula, terdapat kemasan skid plate berwarna perak yang menambah imej sporty.

    BYD M6 DM didedah di Indonesia – MPV PHEV dengan enjin NA 1.5L 99 PS, penggunaan bahan api 65 km/l

    Lencana “Cross” pada pintu belakang memberi bayangan bahawa BYD mungkin akan menawarkan varian crossover ini secara berasingan daripada versi standard yang dijangka hadir dengan penampilan lebih ringkas. Penampilan luaran turut dilengkapkan dengan cermin sisi dan antena sirip jerung berwarna hitam berkilat serta rim aloi baru bersaiz 17 inci.

    Meskipun BYD masih belum mendedahkan sepenuhnya gambar ruang kabin M6 DM tujuh tempat duduk ini, sekeping gambar yang dikongsikan oleh AutonetMagz menunjukkan beberapa perubahan penting dilakukan. Antaranya termasuk pemindahan suis gear dari konsol tengah ke belakang stereng, selain panel meter analog yang kini digantikan dengan paparan digital sepenuhnya. Skrin infotainmen bersaiz 12.8 inci di tengah papan pemuka juga dipercayai tidak lagi menyokong fungsi putaran seperti sebelum ini.

    Dari sudut mekanikal, BYD M6 DM menggunakan sistem hibrid Dual Mode generasi kelima seperti yang digunakan pada Sealion 5 DM-i. Ia menggabungkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA yang menghasilkan 99 PS dan 125 Nm bersama transmisi hibrid khas satu kelajuan (DHT) serta motor elektrik. Jumlah kuasa motor elektrik belum diumumkan secara rasmi, namun ia dijangka menggunakan unit sama yang menghasilkan 163 PS dan 210 Nm, sekaligus memberikan jumlah keseluruhan sekitar 210 PS dan 210 Nm.

    BYD M6 DM didedah di Indonesia – MPV PHEV dengan enjin NA 1.5L 99 PS, penggunaan bahan api 65 km/l

    Jika dibandingkan dengan versi elektrik paling berkuasa, angka kuasa tersebut meningkat sebanyak 6 PS namun tork berkurang sehingga 100 Nm. Kesan daripada perubahan itu menyaksikan pecutan 0-100 km/j mengambil masa 9.1 saat, iaitu sekitar setengah saat lebih perlahan berbanding versi EV sepenuhnya.

    Seperti kebanyakan model BYD lain, M6 DM turut menggunakan bateri Blade berasaskan teknologi LFP. Namun begitu, kapasiti bateri serta jarak pemanduan elektrik sepenuhnya masih belum didedahkan. Apa yang menarik perhatian ialah dakwaan kecekapan bahan api yang mencapai sehingga 65 km bagi setiap liter, satu angka yang cukup tinggi bagi sebuah MPV bersaiz sederhana.

    Setakat ini, harga rasmi dan tarikh pelancaran BYD M6 DM di Indonesia masih belum diumumkan. Namun, memandangkan sesi pandu uji sudah mula dibuka di negara tersebut, pelancaran rasminya dijangka berlangsung dalam masa terdekat. Persoalannya, adakah model ini sesuai dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

     
     
  • KTMB lanjut tawaran diskaun 30% untuk perkhidmatan tren ETS dan ERT sehingga 14 Oktober 2026

    KTMB lanjut tawaran diskaun 30% untuk perkhidmatan tren ETS dan ERT sehingga 14 Oktober 2026

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan lanjutan penawaran diskaun sebanyak 30% bagi pembelian tiket ETS untuk semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral sehingga 14 Oktober 2026.

    Bagi pengguna yang hendak mendapatkan diskaun istimewa ini, perlulah menggunakan kod promo ‘MADANI30’ dan tempahan tiket adalah untuk tempoh perjalanan sehingga 31 Julai 2026 bagi perkhidmatan ERT dan hingga 14 Oktober untuk ETS.

    Walau bagaimana pun, KTMB berkata, promosi ini sah untuk perjalanan Isnin hingga Khamis, namun tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum. Selain itu, diskaun ini juga tidak terpakai bagi tiket Kelas Perniagaan tren ETS, Kelas 1 dan Kelas Tempat Tidur bagi perkhidmatan ERT dan pemegang tiket konsesi.

    Sehubungan itu, orang ramai disaran untuk merancang perjalanan lebih awal untuk mendapatkan tempat duduk dan memanfaatkan penjimatan yang ditawarkan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ktmb.com.my atau ikuti saluran media sosial rasmi KTMB.

    Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan tawaran diskaun tersebut dibuka antara 15 hingga 30 April, untuk tempoh perjalanan antara 15 April hingga 14 Oktober 2026.

     
     
  • Pandu uji lebih 50 buah kereta dan alami teknologi mobiliti terkini di KLIMS 2026 — 12-21 Jun di MITEC

    Pandu uji lebih 50 buah kereta dan alami teknologi mobiliti terkini di KLIMS 2026 — 12-21 Jun di MITEC

    Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 bakal kembali sebagai sebuah platform utama yang mempamerkan inovasi, reka bentuk serta teknologi terkini dalam bidang automotif. Dijadualkan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 12-21 Jun, KLIMS 2026 merupakan sebuah acara untuk anda mempelajari lebih lanjut tentang perkembangan semasa mobiliti di Malaysia, serta memetakan apa yang boleh kita jangkakan untuk masa akan datang.

    Bakal disertai oleh majoriti jenama utama yang ada di Malaysia, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan model terkini secara lebih dekat, termasuk pelancaran produk-produk baharu yang dijadualkan bakal berlangsung di KLIMS 2026. Sesi pandu uji juga tersedia, melibatkan lebih daripada 50 buah kereta. Ini membolehkan anda merasai sendiri pengalaman bersama kereta baharu sebelum membuat keputusan untuk membelinya. Selain itu, terdapat juga model-model baharu pra-tonton serta kereta konsep yang akan membuat penampilan.

    Di samping itu, KLIMS 2026 juga akan menghidangkan aktiviti interaktif seperti “Urban Play”, melibatkan laluan berhalangan yang dibina khas yang akan berlangsung dari 12-14 Jun. Terdapat juga simulator pemanduan dan trek kereta kawalan jauh untuk peminatnya. Manakala pada 13 dan 14 Jun pula, KLIMS Modified Car Battle diadakan bagi para pemilik kenderaan bersaing untuk memenangi hadiah dalam pelbagai kategori.

    Sementara itu, bagi memeriahkan suasana, DJ Playground akan menjadi sudut yang bakal menghimpunkan DJ-DJ yang akan membuat persembahan dan bertanding, dengan sebuah konsert mini juga bakal diadakan pada hujung minggu sepanjang KLIMS 2026 berlangsung. Artis popular tempatan merupakan antara yang akan membuat persembahan pada hujung minggu pertama, sementara pada hujung minggu kedua pengunjung akan disajikan dengan barisan persembahan artis tempatan yang dikendalikan oleh Riuh — termasuk persembahan oleh Anuar Zain, Jemput Dengar, No Noise Percussion, FUGŌ dan banyak lagi. Pada cuti Awal Muharram (17 Jun), bekas ahli kumpulan V.E., Lah Ahmad, juga akan mengambil alih pentas untuk menghiburkan pengunjung.

    Pandu uji lebih 50 buah kereta dan alami teknologi mobiliti terkini di KLIMS 2026 — 12-21 Jun di MITEC

    KLIMS tidak berakhir di situ. Tahun ini, KLIMS 2026 juga bekerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang untuk mempamerkan pelbagai kereta dan motosikal lumba, serta sesi ramah mesra khas bersama para pelumba. Beberapa kelab kereta akan turut berhimpun di acara ini dan para peminat model diecast juga boleh lihat koleksi terpilih.

    Tiket masuk untuk KLIMS 2026 sudah boleh didapatkan sekarang: RM30 untuk hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum bagi dewasa (12 tahun ke atas), manakala RM15 untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan orang kurang upaya. Bagi pelajar yang mempunyai kad pengajian yang sah, mereka boleh mendapatkan tiket pada kadar tetap hanya RM15.

    Memandangkan acara KLIMS 2026 merupakan agenda berskala besar dan pelbagai aktiviti menarik bakal tersedia sepanjang 10 hari, pengunjung pasti ingin kunjung ke KLIMS sekali lagi. Oleh itu, jika anda merancang untuk melakukan kunjungan berulang, manfaatkan pas akses tanpa had untuk sepuluh hari dengan hanya RM80. Sekiranya anda ingin berkongsi pengalaman KLIMS 2026 dengan keluarga atau rakan-rakan, pas pakej lima orang turut ditawarkan dengan harga hanya RM100.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan KLIMS 2026, layari laman web rasmi acara dan nantikan kemaskini di laman rasmi Facebook, TikTok dan Instagram KLIMS.

     
     
  • Honda City facelift 2026 — teaser rasmi di India sebelum lancar 22 Mei; imej bocor dedah rekaan luar

    Honda City <em>facelift</em> 2026 — <em>teaser</em> rasmi di India sebelum lancar 22 Mei; imej bocor dedah rekaan luar

    Honda Cars India secara rasminya telah mendedahkan Honda City facelift terbaru, yang dilaporkan akan membuat penampilan sulung pada 22 Mei ini. Merupakan model generasi kelima sejak 2019, sedan segmen-B ini menerima facelift pertamanya pada tahun 2023, dan versi akan datang ini membawa beberapa perubahan reka bentuk yang ketara.

    Berdasarkan imej dalam teaser rasmi tersebut, dapat dilihat antaranya ialah jalur lampu baru untuk bahagian depan yang menghubungkan lampu nyalaan siang di kedua-dua sisi. Penampilan selebihnya masih dirahsiakan, tetapi imej-imej awal rekaan City facelift ini sudah pernah dilihat seperti yang bocor di internet.

    Pengguna Instagram dan X @aryanverse_ serta @adityalala2000 menyiarkan video dan imej model yang diperbaharui itu, yang mengesahkan jalur lampu depan tersebut; selebihnya sama seperti apa yang telah diketahui sebelum ini. Ini termasuk lampu depan yang lebih tajam yang nampak seperti bersambung dengan gril berkelebaran penuh — tiada lagi palang krom sebelum ini, dan logo Honda dialih ke bahagian atas bampar.

    Honda City <em>facelift</em> 2026 — <em>teaser</em> rasmi di India sebelum lancar 22 Mei; imej bocor dedah rekaan luar

    Bukaan udara di bampar juga lebih lebar dan bukan lagi menegak. Rekaan keseluruhannya kelihatan lebih runcing dan agresif berbanding City yang sebelumnya, sekali gus memberikan perubahan ketara bagi wajah depannya.

    Di belakang, imej yang bocor telah menunjukkan rekaan bampar baru dengan bahagian tengahnya ada jejaring besar yang baru dihadirkan. Reflektor juga telah dipindahkan ke sudut, dengan lampu belakang masih dikekalkan seperti model sedia ada.

    Untuk bahagian dalam, City baru berkenaan kelihatan sebahagian besarnya sama saja dengan rekaan dalaman versi model terdahulu. Sedikit perubahan yang terlibat adalah untuk skrin utama yang lebih besar yang hadir bersama lampu ambient. Ada juga sumber yang menunjukkan kluster instrumen digital, namun itu kelihatan seperti paparan tujuh inci yang diletakkan di sebelah speedometer analog, yang sudah pun ditawarkan untuk varian RS City ketika ini di Malaysia. Kamera 360-darjah juga khabarnya menjadi tambahan ciri terbaru.

    Di India, City ditawarkan dengan enjin petrol empat-silinder sebaris 1.5-liter NA yang menghasilkan sebanyak 121 PS dan 145 Nm tork, dan digandingkan dengan CVT yang memacu roda hadapan. Terdapat juga sistem janaan hibrid e:HEV yang berasaskan enjin empat-silinder 1.5-liter NA yang menggunakan kitaran Atkinson dan menghasilkan 100 PS dan 131 Nm.

    Ini dibantu dengan electric traction motor dengan janaan 109 PS dan 253 Nm, dengan sebuah lagi motor elektrik lain yang bertindak sebagai penjana untuk bateri lithium-ion. Dengan kotak gear E-CVT yang menghantar kuasa ke roda hadapan, model e:HEV ini pada kebanyakan waktu akan berfungsi sebagai kenderaan elektrik (EV), dengan enjin akan bertindak secara langsung untuk menggerakkan roda hadapan jika diperlukan.

    Barisan penjana kuasa yang sama ini juga ditawarkan di sini. Namun di India turut ditawarkan ialah pilihan pacuan manual enam-kelajuan. Enjin untuk versi sistem hibrid juga sedikit lebih berkuasa berbanding versi yang ada di Malaysia dengan janaan 98 PS dan 127 Nm.

     
     
  • Chery buka bilik pameran baharu di Pavilion Bukit Jalil

    Chery buka bilik pameran baharu di Pavilion Bukit Jalil

    Chery Malaysia telah membuka bilik pameran butik terbaharunya di Pavilion Bukit Jalil. Dikendalikan oleh Apple Autotech, ia merupakan konsep runcit butik ketujuh jenama itu dan bilik pameran butik ‘Generasi 4’ pertama di Lembah Klang.

    Terletak di Aras 3 Pavilion Bukit Jalil, bilik pameran seluas 837 kaki persegi itu “direka untuk menawarkan pengunjung cara yang lancar dan mudah untuk menerokai barisan model terkini Chery dalam suasana santai berorientasikan gaya hidup”. Ia dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, termasuk cuti umum, selaras dengan waktu operasi pusat beli-belah tersebut bagi memaksimumkan aksesibiliti.

    Dengan kehadiran pusat pameran ‘stand-alone’ di Pavilion Bukit Jalil, Chery kini menawarkan fleksibiliti lebih besar kepada pelanggan untuk melihat kenderaan setiap hari, sama seperti pengalaman runcit lain, tanpa perlu mengunjungi pusat jualan biasa.

    “Pelanggan hari ini menghargai kemudahan dan fleksibiliti, dan kami ingin mendekati mereka di tempat yang mereka sudah biasa kunjungi—sama ada membeli barangan keperluan, menikmati hidangan atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Konsep ini membolehkan kami membawa pengalaman Chery lebih dekat kepada pelanggan, menjadikan penerokaan kenderaan lebih intuitif, menarik dan sebahagian daripada kehidupan harian,”kata Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia.

    Chery Tiggo 9 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi juga akan dipamerkan di sana mulai hujung minggu ini.

     
     
  • SkillDrvn Suzuki Swift OMR musim ke-4 bermula; aksi Pro Series dikuasai pelumba wanita Loke Yin Yi!

    SkillDrvn Suzuki Swift OMR musim ke-4 bermula; aksi Pro Series dikuasai pelumba wanita Loke Yin Yi!

    Selepas berjaya dilangsungkan sebanyak tiga musim sebelum ini, satu lagi perlumbaan di Malaysia dalam format ‘one make race’ selain Vios Challenge dan Saga Cup iaitu SkillDrvn One Make Race (OMR) musim ke-4 telah pun bermula di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu lalu.

    Apa yang menarik, bagi musim ke-4 ini siri perlumbaan yang dikelola oleh Kegani Racing Academy ini turut menampilkan kategori baharu iaitu Pro Series bagi memberikan peluang bakat-bakat baharu yang dicungkil sebelum ini berlumba dalam tahap profesional tetapi dengan kos yang masih hampir seperti tahap grassroot.

    Seperti tiga musim sebelum ini, semua pelumba dalam siri berkenaan hanya berlumba dengan Suzuki Swift. Pusingan pertama musim ke-4 ini menyaksikan pertarungan 15 jenterta Swift, di mana 11 daripadanya adalah dalam kategori OMR Series, dan empat lagi dari kategori Pro Series.

    SkillDrvn Suzuki Swift OMR musim ke-4 bermula; aksi Pro Series dikuasai pelumba wanita Loke Yin Yi!

    Untuk Race 1, perlumbaan yang dimulakan secara rolling start tersebut menyaksikan pelumba wanita yang berlumba dalam Pro Series iaitu #331 Loke Yin Yi dari pasukan Team Ultra Racing mendahului pada selekoh pertama, manakala pelumba #512 Imran Iskandar pula mendahului kategori OMR Series, diekori rapat oleh pelumba #52 Lee G Young dan pelumba #704 Rafin Ghaith Danial.

    Aksi kemuncak dalam Race 1 Pro Series ini hadir pada lap terakhir di mana ketika itu pelumba #27 Andy Boey dari pasukan Profimax Racing Team yang mendahului perlumbaan menerima serangan dan kemudian dipitnas oleh Yin Yi dan pelumba #168 Vox Lim dari pasukan Elf Evolution Team, dan ia tamat dengan Yin Yi berada di hadapan ketika melintasi garisan penamat.

    Manakala untuk kategori OMR Series, Race 1 ini dimenangi oleh Imran yang memimpin perlumbaan dengan tenang sehingga tamat.

    SkillDrvn Suzuki Swift OMR musim ke-4 bermula; aksi Pro Series dikuasai pelumba wanita Loke Yin Yi!

    Manakala untuk Race 2, Yin Yi dan Imran sekali lagi menjadi pendahulu kategori masing-masing, dan diasak rapat oleh pelumba-pelumba lain. Namun dalam lap ke-5 Andy Boey melakukan kejutan dengan memintas Vox Lim bagi merebut tempat kedua, dalam masa yang sama turut mencatatkan pusingan terpantas perlumbaan dengan masa 2:49.662. Namun selepas itu Vox Lim kembali memintas Andy, manakala Yin Yi sekali lagi bergelar juara setelah tamat perlumbaan.

    Bagi kategori OMR Series pula, klimaks perlumbaan ini di awal perlumbaan menerusi aksi pelumba #791 Seow Chee Fong secara agresif memintas G Young dan Rafin untuk merebut kedudukan kedua. Walau bagaimanapun Rafin berjaya memintas semula untuk berada di tempat kedua pada lap-3. Perlumbaan ini tamat dengan Imran berada di tempat pertama, diikuti Rafin dan G Young masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

     
     
  • PLUS aktifkan laluan kontra di plaza tol persimpangan Putra Mahkota-Southville City; 19-20 Mei, 10 mlm-5 pg

    PLUS aktifkan laluan kontra di plaza tol persimpangan Putra Mahkota-Southville City; 19-20 Mei, 10 mlm-5 pg

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal melaksanakan pengaktifan laluan kontra di KM293.4 (arah utara) antara Plaza Tol Persimpangan Putra Mahkota ke Plaza Tol Southville City, Lebuhraya Utara-Selatan. Ia dijadualkan bermula pada jam 10 malam ini (19 Mei 2026) hingga 5 pagi esok (20 Mei).

    Pengaktifan laluan kontra ini adalah bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaraan struktur gantri papan tanda di jajaran terbabit.

    “Sepanjang tempoh kerja dijalankan, gangguan trafik minimum dijangka berlaku di lokasi berkenaan. Para pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda trafik serta arahan petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja demi keselamatan bersama,” kata PLUS.

    Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, pengguna boleh merujuk Aplikasi PLUS. Sebarang bantuan kecemasan boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000.

     
     
  • JPJ KL sita 41 kereta mewah culas baharui cukai jalan dan insurans antara Januari hingga 18 Mei 2026

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah menyita sebanyak 41 kenderaan mewah yang culas memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta insurans sejak Januari lalu hingga 18 Mei 2026 menerusi Op Luxury, laporan Harian Metro.

    Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata, berdasarkan statistik terkini sehingga 18 Mei lalu, sebanyak 11 buah kenderaan mewah masih berada dalam tahanan pihak berkuasa, manakala 30 lagi sudah dilepaskan selepas pemiliknya menyelesaikan tunggakan serta denda.

    “Antara kesalahan yang paling popular untuk kenderaan mewah ini adalah LKM tamat tempoh dan tiada insurans. Malah, ada sesetengah penilaian cukai jalan mencecah RM10,000 yang didakwa tidak mampu dibayar oleh pemilik kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang media di JPJ KL, hari ini.

    Antara model kenderaan mewah yang tersenarai dalam dokumen sitaan termasuklah Ford Mustang, Bentley Continental Flying Spur, Rolls-Royce Ghost, Porsche Cayman, Aston Martin V8 Vantage, Audi Q3, Land Rover Defender dan Toyota Alphard.

    Hamidi turut berkata penguatkuasaan yang dijalankan adalah telus tanpa mengira profil atau latar belakang pemilik, termasuk melibatkan golongan berpengaruh dan selebriti tempatan.

    “Kira-kira dua minggu lalu, ada seorang selebriti atau artis turut ditahan kerana tidak membayar cukai jalan bagi kenderaan jenis Bentley miliknya. Bagaimanapun, dia terus membuat bayaran dan kenderaan itu sudah pun dikeluarkan. Memang fokus kita adalah untuk membersihkan kawasan kompaun sitaan secepat mungkin. Kita tidak mahu simpan kenderaan ini lama-lama kerana kawasan kita boleh penuh,” katanya.

    Tambahnya, JPJ memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik kenderaan, khususnya kenderaan mewah, agar tidak memandang remeh aspek pematuhan undang-undang jalan raya. “Ini adalah amaran dan peringatan. JPJ tidak akan leka dan operasi ini bukannya bermusim. Kami akan meneruskan operasi ini secara konsisten dan berterusan,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.92 (-0.15)
RON 97 RM4.65 (-0.20)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.87 (-0.10)
EURO 5 B7 RM5.07 (-0.10)
Last Updated May 28, 2026
 
Related PaulTan.org Content: Reviews: Reviews | Malaysia: Malaysia | News: News | Motorsports | 2025 | Tech