Advertisement
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Vision BMW Alpina – coupe konsep V8 tunjuk hala tuju baru jenama talaan yang kini dimiliki penuh BMW

    Vision BMW Alpina – coupe konsep V8 tunjuk hala tuju baru jenama talaan yang kini dimiliki penuh BMW

    BMW memperkenalkan Vision BMW Alpina di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este 2026, dan model konsep ini membawa makna yang jauh lebih besar berbanding sekadar sebuah kereta pameran biasa. Ia merupakan kajian reka bentuk pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh Alpina selepas secara rasmi diserap sebagai jenama di bawah pemilikan penuh BMW Group awal tahun ini.

    Dengan kedudukan baru itu, Alpina kini ditempatkan di antara BMW dan Rolls-Royce, sekaligus menyasarkan segmen mewah berprestasi tinggi yang lebih eksklusif. Dari segi saiz, Vision BMW Alpina tampil sebagai grand tourer berskala besar dengan panjang mencecah 5,200 mm. Rekaan badan yang lebar dan rendah dipadankan dengan rim 22 inci di hadapan serta 23 inci di belakang, menggunakan rekaan 20 jejari ikonik Alpina yang digunakan sejak tahun 1971.

    BMW jelas mahu meletakkan model ini sebagai pesaing kepada Bentley Continental GT dan bukannya model BMW M tradisional. Ketua jenama Alpina, Oliver Viellechner, menjelaskan bahawa BMW melihat potensi besar dalam pasaran mewah premium, khususnya dalam kalangan pelanggan yang mahukan kemewahan yang lebih elegan dan tidak terlalu menonjol.

    Vision BMW Alpina – coupe konsep V8 tunjuk hala tuju baru jenama talaan yang kini dimiliki penuh BMW

    Menurut beliau, permintaan terhadap SUV Range Rover bernilai lebih 200,000 pound sterling serta ketahanan jenama Maybach dalam pasaran global membuktikan bahawa golongan pembeli mewah kini lebih menghargai kemewahan yang bersifat eksklusif tetapi sederhana. Justeru, Vision BMW Alpina tidak disasarkan kepada pembeli BMW M atau 7 Series biasa, sebaliknya untuk pelanggan yang mahukan sesuatu di tahap lebih tinggi.

    Di bawah bonet, model konsep ini menggunakan enjin V8 yang dipercayai merupakan unit S68 4.4 liter twin-turbo milik BMW. Walaupun angka kuasa rasmi tidak diumumkan, enjin tersebut diketahui mampu menghasilkan sekitar 600 hp pada kenderaan lain. Alpina turut mengekalkan karakter bunyi ekzos tersendiri yang lebih dalam dan mewah pada rpm rendah, namun tetap garang apabila dikerah pada kelajuan tinggi.

    Namun begitu, aspek utama yang mahu diketengahkan oleh BMW bukanlah prestasi semata-mata, sebaliknya keselesaan pemanduan. BMW masih mengekalkan falsafah pengasas Alpina, Burkard Bovensiepen, yang percaya bahawa “pemandu yang selesa adalah pemandu yang lebih pantas”. Atas sebab itu, mod Comfort+ terus dijadikan identiti utama Alpina.

    Mod ini dikatakan menawarkan talaan suspensi yang lebih lembut dan halus berbanding tetapan Comfort biasa pada BMW standard. Falsafah tersebut sememangnya sinonim dengan Alpina sejak dahulu lagi, di mana model-model keluarannya terkenal dengan kemampuan menjelajah jarak jauh dalam suasana tenang tanpa mengorbankan prestasi.

    Dari sudut reka bentuk, bahagian hadapan menampilkan semula elemen “shark nose” klasik BMW yang diberikan interpretasi moden melalui gril kidney tiga dimensi. Rekaan ini diinspirasikan daripada model Alpina B7 Coupé berasaskan BMW E24 6 Series pada penghujung era 1970-an.

    Garis badan utama yang dikenali sebagai “speed feature line” turut digunakan, bermula dari bahagian bawah hadapan sebelum melingkari sisi dan belakang kenderaan. Jalur hiasan tradisional Alpina juga masih dikekalkan, namun kali ini disembunyikan di bawah lapisan cat jernih untuk penampilan lebih eksklusif. Gril bercahaya serta elemen lampu kristal menambahkan lagi aura mewah model ini.

    Vision BMW Alpina – coupe konsep V8 tunjuk hala tuju baru jenama talaan yang kini dimiliki penuh BMW

    Ketua reka bentuk BMW, Maximilian Missoni, menyifatkan pendekatan tersebut sebagai konsep “second read”, iaitu penggunaan butiran halus yang hanya menyerlah apabila diperhatikan dengan lebih dekat. Antaranya termasuk penggunaan kemasan krom pada bahagian dalaman tertentu yang diinspirasikan daripada BMW 507 klasik. Identiti Alpina lain seperti empat muncung ekzos dan logo Alpina cetakan mesin pada bampar hadapan turut dikekalkan.

    Ruang kabin tampil sangat mewah dengan konfigurasi empat tempat duduk berasingan. Material kulit penuh berkualiti tinggi dari rantau Alpine digunakan bersama jahitan berwarna biru dan hijau warisan Alpina. BMW turut menggunakan kemasan logam berinspirasikan dunia pembuatan jam tangan mewah serta elemen kristal pada kawalan utama pemanduan.

    Papan pemuka dilengkapi sistem BMW Panoramic iDrive bersama skrin penumpang dan interface khas Alpina. Paparan grafik akan berubah mengikut mod pemanduan, termasuk ketika pemandu beralih daripada Comfort+ ke mod Speed melalui sistem paparan Panoramic Vision.

    Vision BMW Alpina – coupe konsep V8 tunjuk hala tuju baru jenama talaan yang kini dimiliki penuh BMW

    Salah satu ciri paling unik ialah set gelas kristal Alpina yang disimpan di sebalik konsol tengah belakang. Setiap gelas dihiasi 20 garis hiasan dan bibir gelas bersudut enam darjah, sebelum diangkat secara automatik melalui mekanisme khas. Gelas tersebut turut dipegang menggunakan magnet tersembunyi bagi memastikan ia kekal stabil walaupun kereta dipandu laju.

    Ciri itu mungkin menjadi simbol baru kemewahan Alpina moden, namun pada masa sama menimbulkan persoalan sama ada BMW benar-benar memahami identiti asal Alpina. Model-model Alpina terdahulu tidak memerlukan elemen dramatik untuk tampil istimewa.

    Sebaliknya, kelebihan utamanya terletak pada talaan suspensi, stereng dan keselesaan luar biasa ketika pemanduan jarak jauh. Cabaran sebenar BMW kini adalah memastikan Alpina mampu menawarkan kedua-dua elemen tersebut – kemewahan dan keaslian karakter pemanduan.

    Meskipun Vision BMW Alpina tidak dirancang untuk pengeluaran rasmi buat masa ini, sejarah acara Villa d’Este menunjukkan model konsep yang dipamerkan sering menjadi realiti, seperti BMW Skytop yang akhirnya ditawarkan kepada 50 pelanggan terpilih.

    Apa yang lebih penting, BMW mengesahkan model produksi pertama BMW Alpina generasi baru akan diperkenalkan pada tahun 2027. Model tersebut dikatakan diinspirasikan daripada BMW 7 Series tetapi masih mengekalkan identiti unik Alpina. BMW 7 Series dan X7 yang menggunakan platform CLAR dijangka menjadi asas utama pembangunan model tersebut.

    Buat masa ini, Vision BMW Alpina boleh dianggap sebagai kenyataan hala tuju baru jenama itu di bawah BMW Group. Persoalan sama ada ia masih mampu memberikan pengalaman pemanduan sebenar sebuah Alpina hanya akan terjawab apabila model produksi diperkenalkan pada tahun 2027.

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling alami kelewatan ekoran tren tergelincir berhampiran Chan Sow Lin

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling alami kelewatan ekoran tren tergelincir berhampiran Chan Sow Lin

    Sumber foto: Media sosial

    Rapid KL mengesahkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling sedang mengalami kelewatan berikutan sebuah tren telah tergelincir landasan ketika sedang melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin. Ini telah menyebabkan tren tersebut tidak dapat bergerak, dan menjadi punca jadual perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling pada pagi ini terjejas.

    Tambahnya, ketika kejadian, terdapat seramai 25 orang penumpang berada di dalam tren terbabit. “Penumpang-penumpang tersebut telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi, dan tiada kecederaan dilaporkan. Keselamatan penumpang dan petugas adalah menjadi keutamaan, dan pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi.

    “Sehubungan itu, pelan perkhidmatan alternatif yang diumumkan sebelum ini masih kekal berkuatkuasa bagi memastikan kelangsungan perjalanan penumpang, termasuk pengaktifan tren alternatif dan bas perantara percuma,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling alami kelewatan ekoran tren tergelincir berhampiran Chan Sow Lin

    Ia melibatkan tren perantara dari Sentul Timur akan berpatah balik di Pudu (kekerapan empat minit), tren perantara di antara Cheras dan Bandar Tasik Selatan di Platform 1 (kekerapan lapan minit), tren perantara di antara Ampang dan Pandan Jaya di Platform 1 (kekerapan lima minit) dan tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Bandar Tasik Selatan (Kekerapan empat minit)/

    Manakala bas perantara percuma disediakan di antara Stesen Hang Tuah, Stesen Chan Sow Lin, Stesen Maluri dan Stesen Pandan Jaya. Stesen Hang Tuah, Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Cheras. Kekerapan bas adalah setiap 15–20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

    “Penumpang yang ingin menuju ke pusat bandar dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan tren Laluan Putrajaya dengan membuat pertukaran tren di Stesen Sungai Besi. Penumpang dinasihatkan untuk memathi arahan petugas stesen sepanjang tempoh gangguan ini.

    “Pihak Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menasihatkan penumpang agar terus merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE untuk maklumat terkini,” kata Rapid KL lagi.

     
     
  • Harga minyak 28 Mei-3 Jun – petrol RON97 turun 20 sen, RON95 turun 15 sen, diesel turun 10 sen

    Harga minyak 28 Mei-3 Jun – petrol RON97 turun 20 sen, RON95 turun 15 sen, diesel turun 10 sen

    Bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun 2026, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 20 Sen seliter, menjadi RM4.65 seliter.

    Begitu juga dengan petrol RON 95 tanpa subsidi yang akan ditetapkan pada harga RM3.92 seliter, yang melibatkan penurunan sebanyak 15 sen seliter. Walau bagaimana pun, RON 95 di bawah program subsidi Budi95 masih kekal RM1.99 seliter.

    Untuk diesel di Semenanjung pula, ia juga diturunkan sebanyak 10 sen seliter dan ditetapkan pada harga RM4.87 seliter. Manakala di Sabah dan Sarawak, harganya kekal pada RM2.15 seliter.

    Kesemua harga baharu ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga Rabu, 3 Jun 2026. Ia merupakan pengumuman ke-23 bagi format harga mingguan tahun ini, dan yang ke-386 sejak mekanisme tersebut diperkenalkan pada awal 2019.

     
     
  • Proton sumbang 8 enjin kepada beberapa institut latihan dan universiti untuk pembelajaran TVET

    Proton sumbang 8 enjin kepada beberapa institut latihan dan universiti untuk pembelajaran TVET

    Proton hari ini memngumumkan bahawa ia telah menyumbang sebanyak lapan buah enjin kepada beberapa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih serta pusat pengajian tinggi di Malaysia.

    Antara institut dan universitu yang menerima enjin-enjin berkenaan adalah termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang di Terengganu, Kolej Vokasional Arau di Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti DRB-HICOM dan Institut Proton (ADTEC) Melaka.

    Menurut Proton, unit enjin yang disumbangkan tersebut akan digunakan sebagai alat bantu mengajar bagi pelbagai aplikasi teknikal termasuk pemasangan dan pembukaan enjin, diagnostik, pengenalan kepada ECU, analisis komponen serta latihan penyelenggaraan praktikal.

    “Pendedahan kepada sistem automotif dunia sebenar ini membolehkan pelajar memahami dengan lebih mendalam kerumitan kejuruteraan kenderaan moden, sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan industri,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusannya dalam memperkukuh ekosistem automotif negara di samping menyokong pembangunan graduan yang bersedia untuk industri menerusi pendedahan kepada pengetahuan teknikal dan praktikal sebenar.

    “Memainkan peranan aktif dalam pembangunan tenaga kerja mahir merupakan antara komitmen utama Proton dalam menyokong pertumbuhan industri automotif Malaysia. Ia adalah tanggungjawab yang dipikul syarikat sejak penubuhannya pada tahun 1983, dan kini menjadi semakin penting berikutan peningkatan permintaan daripada pengeluar peralatan asal (OEM) dan pembekal komponen sejajar aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab automotif serantau,” kata timbalan CEO Proton Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.

    “Menerusi pengagihan unit enjin kepada universiti dan institusi latihan teknikal, Proton bukan sahaja melabur untuk masa depan industri, malah membantu melahirkan kumpulan bakat yang mempunyai pendedahan terus kepada teknologi automotif dan amalan kejuruteraan moden. Pada masa hadapan, kami juga bercadang untuk memperluaskan inisiatif ini dengan melibatkan komponen berkaitan EV sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan,” tambahnya.

     
     
  • Royal Enfield Goan Classic 350 dilancar di Malaysia – enjin satu silinder 349 cc, lima kelajuan, dari RM25,200

    Royal Enfield Goan Classic 350 dilancar di Malaysia – enjin satu silinder 349 cc, lima kelajuan, dari RM25,200

    Bagi peminat motosikal bergaya retro di Malaysia, Royal Enfield kini memperkenalkan Royal Enfield Goan Classic 350 versi 2026 dengan harga bermula RM25,200 tidak termasuk insurans. Varian warna Shack Black dan Purple Haze ditawarkan pada harga RM25,200, manakala pilihan Trip Teal dan Rave Red pula dijual pada harga RM25,500. Setiap pembelian disertakan jaminan tanpa had batuan selama tiga tahun.

    Goan Classic 350 tampil dengan gaya bobber cruiser yang diinspirasikan daripada motosikal ubah suai popular di Goa, India. Rekaan motosikal ini menampilkan fender yang dipotong pendek, pemegang jenis mini ape-hanger serta tempat duduk rendah yang memberikan imej santai dan klasik.

    Penampilannya turut diserlahkan dengan penggunaan tayar whitewall tanpa tiub yang dipadankan bersama rim spoked 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di bahagian depan, manakala belakang menggunakan penyerap hentak berkembar dengan pelarasan pra-beban.

    Jentera ini menggunakan enjin silinder tunggal 349 cc dengan sistem penyejukan udara dan minyak. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 20.2 bhp pada 6,100 rpm serta tork 27 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear lima kelajuan bersama sistem pacuan rantai.

    Untuk sistem brek, motosikal ini dilengkapi cakera hidraulik tunggal pada kedua-dua roda. Bahagian hadapan menggunakan cakera 300 mm bersama angkup dua piston Bybre, sementara roda belakang menerima cakera 270 mm dengan angkup satu piston. Sistem ABS dua saluran turut didatangkan sebagai kelengkapan standard.

    Royal Enfield Goan Classic 350 dilancar di Malaysia – enjin satu silinder 349 cc, lima kelajuan, dari RM25,200

    Ketinggian tempat duduk Goan Classic 350 ditetapkan pada 750 mm, menjadikannya mesra penunggang pelbagai saiz tubuh. Berat keseluruhan motosikal ini ialah 197 kg dengan tangki bahan api berkapasiti 13 liter.

    Menariknya, konfigurasi tempat duduk boleh ditukar antara mod tunggal dan berkembar hanya dengan membuka beberapa bolt. Paparan meter pula menggabungkan meter analog bersama skrin LCD yang memaparkan maklumat tunggangan termasuk penunjuk posisi gear. Royal Enfield turut melengkapkan motosikal ini dengan soket pengecas USB serta sistem lampu LED sepenuhnya bagi memberikan sentuhan moden pada sebuah motosikal berciri klasik.

     
     
  • Ferrari Luce – EV minimalis radikal kuasa sehingga 1,050 PS, tork 990 Nm, jarak gerak WLTP 530 km

    Ferrari Luce – EV minimalis radikal kuasa sehingga 1,050 PS, tork 990 Nm, jarak gerak WLTP 530 km

    Ferrari sekali lagi mencetuskan perdebatan besar dalam dunia automotif menerusi pengenalan model elektrik sepenuhnya yang dikenali sebagai Ferrari Luce. Model ini dianggap antara kereta paling kontroversi pernah dihasilkan oleh pengeluar dari Maranello itu, bukan sahaja kerana ia hadir sebagai SUV elektrik berprestasi tinggi, malah kerana reka bentuknya yang jauh berbeza daripada identiti Ferrari yang biasa dikenali peminat.

    Ferrari Luce dibangunkan dengan kerjasama LoveFrom, syarikat reka bentuk yang diasaskan bekas pereka Apple terkenal, Jony Ive, bersama pereka industri Marc Newson. Hasilnya ialah sebuah kenderaan dengan pendekatan minimalis yang ketara, meninggalkan elemen garisan agresif dan bukaan udara besar yang sinonim dengan model Ferrari sejak sedekad lalu.

    Reka bentuk Luce bagaimanapun masih menampilkan beberapa elemen yang mengingatkan kepada model klasik Ferrari era 1990-an, khususnya F355. Antara ciri yang menyerlah termasuk bahagian “gril” hadapan yang lebar, lampu utama nipis, bahu badan yang menonjol serta panel belakang berwarna hitam yang menyembunyikan lampu belakang bulat sehingga ia dinyalakan. Walaupun begitu, ramai berpendapat rekaan sebegini mungkin lebih sesuai jika digunakan pada sebuah kereta sports rendah berbanding SUV bersaiz besar.

    Ferrari Luce – EV minimalis radikal kuasa sehingga 1,050 PS, tork 990 Nm, jarak gerak WLTP 530 km

    Apa yang kelihatan seperti gril hadapan sebenarnya merupakan saluran udara untuk sistem aerodinamik aktif. Ferrari turut memperkenalkan bidai gril aktif buat kali pertama pada model ini, selain penggunaan cermin hitam besar yang membentuk keseluruhan bahagian rumah kaca dari depan hingga belakang.

    Fokus terhadap aerodinamik juga dapat dilihat menerusi kedudukan pengelap cermin yang disusun secara menegak di sisi tiang A bagi memastikan aliran udara tidak terganggu. Hasil pendekatan tersebut, Ferrari mendakwa Luce memiliki kadar seretan angin paling rendah pernah dicapai oleh mana-mana model keluarannya. Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 5,026 mm panjang, 1,999 mm lebar dan 1,544 mm tinggi, dengan jarak roda 2,961 mm.

    Saiz besar Luce turut memerlukan penggunaan rim terbesar pernah dipasang pada sebuah Ferrari. Rim hadapan bersaiz 23 inci manakala rim belakang pula mencecah 24 inci. Rekaan rim standard diinspirasikan daripada turbin jet dan dikatakan mampu mengurangkan seretan angin sehingga lima peratus bagi membantu meningkatkan jarak pemanduan.

    Bahagian dalaman Luce pula tampil lebih moden dan kemas, dengan penekanan terhadap kawalan fizikal berkualiti tinggi berbanding penggunaan skrin sesentuh semata-mata. Ruang kabin lima tempat duduk penuh juga menjadi satu lagi kelainan bagi Ferrari, dibantu oleh penggunaan pintu belakang jenis “suicide door” seperti pada Purosangue.

    Di hadapan pemandu terdapat stereng tiga jejari dengan bahagian bawah rata yang diinspirasikan daripada model Ferrari klasik. Stereng itu dihasilkan daripada sekeping aluminium kitar semula menggunakan teknik mesin berketepatan tinggi seperti Apple. Kawalan lampu, pengelap cermin serta tombol mod pemanduan Manettino semuanya ditempatkan terus pada stereng.

    Panel instrumen digital bersaiz 12.9 inci pula menggabungkan paparan moden bersama elemen analog seperti jarum mekanikal dan kemasan aluminium. Skrin OLED tengah bersaiz 12 inci boleh dipusing ke arah pemandu atau penumpang hadapan, manakala penumpang belakang turut menerima skrin kawalan tambahan bersaiz 6.3 inci.

    Ferrari Luce – EV minimalis radikal kuasa sehingga 1,050 PS, tork 990 Nm, jarak gerak WLTP 530 km

    Konsol tengah menawarkan ruang simpanan praktikal bersama pemegang cawan berkembar dan tapak khas untuk kunci digital bersalut Corning Gorilla Glass. Menariknya, logo Ferrari pada kunci menggunakan teknologi paparan e-ink yang akan berubah apabila kunci dimasukkan ke tempatnya.

    Ferrari Luce dikuasakan oleh empat motor elektrik yang dibangunkan daripada teknologi hypercar F80. Gandar hadapan menghasilkan 285 PS dan 280 Nm, manakala gandar belakang pula menjana 843 PS dan 710 Nm. Secara keseluruhan, SUV ini menghasilkan kuasa 1,050 PS dan tork 990 Nm.

    Prestasi yang ditawarkan sememangnya luar biasa. Luce mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 2.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 310 km/j. Tiga mod pemanduan disediakan, termasuk mod Range yang mengehadkan kuasa kepada 425 PS demi penjimatan tenaga, mod Tour dengan pacuan semua roda serta mod Performance yang membuka hampir keseluruhan potensi kuasa jentera ini.

    Ferrari Luce – EV minimalis radikal kuasa sehingga 1,050 PS, tork 990 Nm, jarak gerak WLTP 530 km

    Sumber tenaga datang daripada bateri 122 kWh yang dibangunkan bersama syarikat Korea Selatan, SK On, dan dipasang di Maranello. Ferrari menganggarkan jarak pemanduan sehingga 530 km mengikut standard WLTP. Dengan seni bina elektrik 800 volt, Luce menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang membolehkan tenaga sekitar 70 kWh diisi dalam tempoh hanya 20 minit.

    Ferrari turut memberi perhatian besar terhadap aspek pengendalian. Struktur casis menggunakan aluminium kitar semula secara meluas dan dipadankan dengan suspensi double wishbone di semua roda. Pusat graviti yang lebih rendah berbanding Purosangue membantu meningkatkan kestabilan dan ketangkasan SUV ini.

    Pelbagai sistem kawalan casis canggih turut disediakan termasuk Side Slip Control X, Active Suspension Control generasi ketiga, sistem stereng roda belakang Virtual Short Wheelbase serta Ferrari Dynamic Enhancer+. Teknologi torque vectoring baru yang dikenali sebagai FLOW pula membolehkan agihan tork dilakukan secara individu pada setiap roda untuk tahap cengkaman lebih optimum.

    Ferrari juga memperkenalkan sistem Torque Shift Engagement yang memberi sensasi seakan pertukaran gear walaupun tanpa kotak gear konvensional. Sistem ini menggunakan paddle shifter pada stereng untuk membolehkan pemandu mengawal karakter pecutan dan nyahpecutan ketika mengambil selekoh.

    Dari aspek bunyi pula, Ferrari memilih pendekatan berbeza dengan memperkuatkan bunyi semula jadi motor elektrik dan komponen mekanikal berbanding meniru bunyi enjin pembakaran dalaman. Sistem audio 21 pembesar suara berkuasa 3,000 watt digunakan untuk menghasilkan pengalaman bunyi yang lebih imersif di dalam dan luar kenderaan.

    Secara keseluruhannya, Ferrari Luce jelas menjadi model yang bakal memecah-belahkan pendapat peminat automotif. Ada yang melihatnya sebagai langkah berani Ferrari ke arah masa depan mobiliti elektrik, manakala golongan purist mungkin menganggapnya terlalu jauh menyimpang daripada identiti tradisional jenama itu. Namun satu yang pasti, Luce membuktikan Ferrari tidak takut untuk bereksperimen dalam era baru automotif global.

     
     
  • Carro buka 8 pusat pemeriksaan kenderaan MV15 (tukar hak milik B5) di seluruh negara pada 16 Jun

    Carro buka 8 pusat pemeriksaan kenderaan MV15 (tukar hak milik B5) di seluruh negara pada 16 Jun

    Carro Technology Sdn Bhd bakal membuka lapan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) serentak di seluruh negara pada 16 Jun ini. Memilih Glenmarie, Wangsa Melawati, Kajang, Klang, Bayan Lepas, Melaka, Muar dan Johor Bahru sebagai lokasi, ia akan menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi tujuan Pertukaran Hak Milik Kenderaan Persendirian MV15 (sebelum ini dikenali sebagai B5).

    Menjelang pelancaran tersebut, pagi tadi Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkesempatan melawat pusat Carro di Kajang, di mana beliau diberikan demonstrasi proses pemeriksaan berkenaan.

    Sebelum ini, monopoli pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom telah berlangsung sejak 1994, namun ia telah pun berakhir pada tahun 2024 apabila kerajaan memutuskan untuk membuka sektor berkenaan kepada syarikat lain bagi mengurangkan kesesakan di cawangan Puspakom, memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan tersebut serta menggalakkan persaingan sihat, kata Loke.

    Carro Technology Sdn Bhd merupakan antara empat syarikat PPKM, selain Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd dari Sarawak, yang diumumkan kerajaan pada 16 Julai 2025 sebagai pihak yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan MV15, daripada sekurang-kurangnya 12 syarikat yang memohon.

    Loke berkata bahawa buat masa ini, Carsome Academy Sdn Bhd, Car Medic Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd masih dalam proses membangunkan pusat pemeriksaan masing-masing.

    Jelasnya, operasi pusat pemeriksaan ini tertakluk kepada syarat serta piawaian ketat yang dipantau oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Antara syarat tersebut termasuk penyediaan infrastruktur pemeriksaan lengkap (termasuk bilik atau lorong pemeriksaan khas serta petugas berasingan untuk mengendalikan pemeriksaan pertukaran hak milik, selaras dengan standard ISO/IEC 17020:2012 – Keperluan Penilaian Pematuhan bagi Operasi Pelbagai Jenis Badan Pemeriksa), integrasi dengan sistem MySikap, mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta memastikan pemeriksa kenderaan motor mendapat akreditasi JPJ.

    Malah yuran pemeriksaan juga dikawal oleh kerajaan dan oleh itu ia adalah sama seperti di Puspakom. Di mana bagi pemeriksaan MV15, cajnya ialah RM30 + yuran pemprosesan RM5 + RM2.80 (SST 8% ke atas RM35), menjadikan jumlah keseluruhan hanya RM37.80.

     
     
  • Wing Hin sapu enam podium termasuk 2 kemenangan di pusingan pertama Thailand Super Series 2026

    Wing Hin sapu enam podium termasuk 2 kemenangan di pusingan pertama Thailand Super Series 2026

    Dengan membawa lima kereta dan 10 orang pelumba ke pusingan pertama siri perlumbaan Thailand Super Series (TSS) 2026, pasukan lumba dari Malaysia iaitu Wing Hin Motorsport berjaya menyapu enam kedudukan podium termasuk dua kemenangan sepanjang acara yang berlangsung hujung minggu lalu yang berlangsung dari 21 hingga 24 Mei di Chang International Circuit, Burriram.

    Dua dari podium tersebut dicapai dalam kelas GT4 apabila jentera Toyota GR Supra GT4 Evo2 yang dipandu oleh pasangan Mitchell Cheah dari Malaysia dan Ryan Wong dari Hong Kong menghabiskan Race 1 di kedudukan kedua secara keseluruhan, dan menang untuk kategori Pro Am. Tambah menarik, kejayaan ini dicapai selepas pitstop mandatori dibuat di mana tugas dari Wong disambung oleh Mitchell, dan pelumba berusia 28 tahun itu memintas kereta di hadapan satu demi satu dari kedudukan ke-7 sehingga ke-2 dalam 30 minit terakhir perlumbaan yang dilangsungkan selama sejam tersebut.

    Manakala untuk Race 2, Mitchell yang memulakan perlumbaan dari petak pertama pada awalnya berjaya menjarakkan kedudukan dari pelumba lain, namun momentum tersebut hilang apabila Safety Car keluar hanya tiga minit selepas perlumbaan bermula. Ini memberikan peluang untuk empat jentera GT4 lain menyerang Mitchell menyebabkan dia jatuh ke tempat ke-4. Wong kemudiannya mengambil tugas dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

    Wing Hin sapu enam podium termasuk 2 kemenangan di pusingan pertama Thailand Super Series 2026

    Manakala empat lagi podium diraih dalam kelas Super Touring, di mana Wing Hin mempertaruhkan dua Toyota Vios dan dua Toyota Yaris. Sorotan bagi perlumbaan kelas ini adalah Vios #36 yang masih menggunakan enjin NA dipandu oleh pasangan Amer Harris dan Nabil Azlan, yang mempamerkan semangat juang yang tinggi bertarung dari awal hingga tamat kedua-dua Race 1 dan Race 2, diasak oleh ‘segerombolan’ Honda CR-Z dari pasukan-pasukan Thailand dijana oleh enjin turbo yang mempunyai kelebihan besar pada laluan lurus.

    Untuk Race 1, Vios #36 tersebut hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelima secara keseluruhan namun masih mencapai kedudukan podium apabila mendapat tempat kedua untuk kategori Touring-NA. Manakala Yaris #38 yang dipandu oleh Dannies Ng dan Jwan Hii pula mendapat tempat ke enam keseluruhan dan ketiga kategori Touring-NA.

    Manakala untuk Race 2, penonton disajikan dengan aksi dogfight antara Vios #36 dengan beberapa Honda CR-Z Turbo di mana kedudukan pendahulu perlumbaan sering bertukar-tukar dari mula hingga akhir. Kemuncak aksi berkenaan adalah pada lap kedua terakhir apabila CR-Z yang dipandu P. Pasarit melanggar tayar belakang Vios yang dipandu Nabil, menyebabkan tayar depan sebelah kanan CR-Z berkenaan pecah.

    Ini membolehkan Nabil selesa berada di hadapan untuk mengharungi lap terakhir, dan membolehkan Yaris yang di pandu Jwan-Hii berada pada kedudukan kedua. Namun pada lap terakhir, Jwan Hii masih perlu bertarung dengan sebuah lagi Vios milik pasukan Toyota Gazoo Racing Thailand dipandu oleh Ayrton Asdarthon.

    Pertarungan sengit tersebut berlanjutan sehingga ke garisan penamat dengan aksi Jwan Hii hampir berpusing 180-darjah pada selekoh terakhir selepas dilanggar oleh Ayrton dari belakang, namun dia berjaya mengawal Yaris tersebut dan melepasi garis penamat kekal di tempat kedua.

    Walau bagaimanapun, selepas habis perlumbaan pengarah perlumbaan memberikan penalti 5 saat kepada Vios #36 dalam insiden yang menyebabkan tayar CRZ Pasarit pecah. Ini membolehkan Yaris #38 Wing Hin diisytihar juara Race 2, dan Vios #38 jatuh ke tempat ketiga.

    “Ia keputusan 1-2 yang sangat baik untuk kami. Ini merupakan kali pertama saya berlumba dalam Kelas Super Touring. Tahun lepas pasukan ini juga mempunyai peluang untuk merebut kejuaraan keseluruhan tetapi semuanya tidak berjalan seperti yang dirancang. Masih terlalu awal untuk meramalkan dengan hanya satu pusingan yang baru selesai, tetapi ini sememangnya permulaan yang sangat baik,” kata Amer Harris.

    “Ia merupakan perlumbaan yang sangat menarik hari ini! Pasukan ini telah mencapai kemajuan yang sangat kukuh dalam menjadikan kereta ini kompetitif dan kami percaya kami mempunyai peluang yang baik pada pusingan akan datang,” tambahnya.

    Pusingan pertama Thailand Super Series 2026 ini turut disertai oleh beberapa pelumba Malaysia lain, antaranya Hayden Haikal yang memandu Toyota GR Supra GT4 #77 pasukan Petrolife Racing Team mendapat tempat kedua dalam Race 2 GT4, adiknya Aaron Haikal yang menjadi juara Race 2 kategori Super Eco dengan memandu Suzuki Swift pasukan Dyno Dynamics & Spy Performance by V-Are Pro Garage #82 dan juga Roni Risman juara Race 3 Super Eco dengan memandu Honda Brio pasukan BKC Motorsport #65.

    Pusingan kedua TSS selepas ini akan berlangsung di litar jalan raya Bangsaen Grand Prix International Street Racing Festival di Chonburi bermula 1-5 Julai. Pusingan 3 dan 4 pula akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang masing-masing dari 21-23 Ogos dan 18-20 September, manakala untuk pusingan akhir akan kembali ke Litar Antarabangsa Chang dari 30 Okt-1 Nov.

     
     
  • Caj bayaran jalan Genting Highland akan bermula 28 Mei ini di 2 pintu masuk – kereta RM5, lori RM15-RM25

    Caj bayaran jalan Genting Highland akan bermula 28 Mei ini di 2 pintu masuk – kereta RM5, lori RM15-RM25

    Bermula Khamis ini iaitu pada 28 Mei 2026, pengguna jalan raya yang mahu ke Genting Highlands perlu membayar caj jalan raya yang akan dikenakan ketika memasuki Jalan Genting Highlands. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam, Lingkaran Cekap (LCSB) iaitu pengendali sah rangkaian jalan raya Genting Highlands berkata, pembayaran akan dikutip di plaza yang terletak di dua pintu masuk, iaitu di Genting Sempah dan bulatan Gohtong Jaya.

    Di bawah struktur caj jalan raya, kenderaan Kelas 1 seperti kereta dan van akan dikenakan bayaran RM5 setiap kali masuk di kedua-dua pintu masuk. Kenderaan Kelas 2 seperti lori bersaiz sederhana perlu membayar RM15, manakala lori berat Kelas 3 akan dikenakan bayaran RM25. Teksi (Kelas 4) pula perlu membayar RM3.30, manakala bas (Kelas 5) perlu membayar sebanyak RM5.

    Menurut LCSB, semua kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5 dikehendaki melalui “Lorong Khas” yang ditetapkan atau menggunakan sistem pengecaman plat lesen (LPR), manakala kenderaan kecemasan dan motosikal akan dikecualikan daripada caj jalan raya serta tanpa memerlukan pendaftaran.

    Caj bayaran jalan Genting Highland akan bermula 28 Mei ini di 2 pintu masuk – kereta RM5, lori RM15-RM25

    Seperti yang sudah dinyatakan oleh LCSB sebelum ini, kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bekerja di institusi kerajaan yang ditetapkan di Genting Highlands akan dikecualikan daripada perlu membayar caj jalan raya, tertakluk kepada pendaftaran dan kemasukan melalui LPR dan lorong khas. Institusi yang ditetapkan, termasuk sekolah, balai polis dan bomba serta pejabat dan klinik daerah, adalah:

    • SK Sri Layang
    • SMK Sri Layang
    • Institut Amiruddin Baki
    • Balai Polis Genting Highlands
    • Balai Polis Gohtong Jaya
    • Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands
    • Klinik Desa Sri Layang
    • Pejabat Daerah Kecil Genting Highlands
    • Pejabat Daerah dan Tanah Bentong
    • Pejabat Cawangan Majlis Perbandaran Bentong (Cawangan Genting Highlands)
    • Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang (Cawangan Genting Highlands), dan
    • Mana-mana institusi kerajaan yang terletak di Genting Highlands yang dikenal pasti dan dinamakan oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa

    LCSB juga mengumumkan bahawa bermula 28 Jun, penduduk tetap Genting Highlands yang layak akan dikenakan caj dengan kadar keutamaan iaitu 10% lebih rendah daripada kadar biasa setiap kemasukan, namun setiap isi rumah hanya boleh mendaftar sehingga dua kenderaan Kelas 1 untuk mendapatkan kadar ini. Kenderaan-kenderaan yang layak dikenakan kadar caj lebih rendah tersebut perlu melalui lorong khas atau dikesan menerusi LPR. Pengedali itu turut menambah bahawa kenderaan-kenderaan yang berdaftar tersebut tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun ini.

    Di samping itu, LCSB turut akan menawakan opsyen yang lebih mudah dan murah untuk penduduk tetap yang berdaftar iaitu menerusi skim pas musim selama enam bulan. Dengan pas ini, pengguna boleh masuk ke Jalan Genting Highlands tanpa had sepanjang tempoh sah lakunya, melalui LPR atau lorong khas. Namun harga untuk pas ini masih belum dinyatakan, tetapi LCSB jamin bahawa pilihan ini akan menawarkan penjimatan kos yang ketara, dan penduduk tetap yang berminat dengan pas musim boleh mendapatkannya dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran yang diperlukan.

     
     
  • 46,542 kes kemalangan libatkan perjalanan pergi-balik kerja pada 2025, 4,267 penunggang motosikal maut

    46,542 kes kemalangan libatkan perjalanan pergi-balik kerja pada 2025,  4,267 penunggang motosikal maut

    Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendedahkan 50.9% atau 46,542 daripada 91,456 kes kemalangan yang direkodkan pada 2025 ialah kemalangan perjalanan pergi dan balik kerja. Daripada jumlah itu, seramai 4,267 penunggang motosikal terkorban yang mencakupi 65% daripada keseluruhan 6,581 kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu, laporan Berita Harian.

    Menurut CEO PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, statistik itu turut menunjukkan berlakunya trend membimbangkan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.

    “Lebih membimbangkan, kadar kemalangan perjalanan meningkat 21% berbanding 38,454 kes direkodkan pada 2023,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Penunggang Malaysia (MYRider) di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Sabtu lalu.

    Beliau berkata PERKESO dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia melancarkan MyRider bagi memperkukuh usaha pencegahan kemalangan jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal.

    46,542 kes kemalangan libatkan perjalanan pergi-balik kerja pada 2025,  4,267 penunggang motosikal maut

    Jelas beliau, kempen itu turut melibatkan pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus mencerminkan komitmen bersama ke arah memperkukuh keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.

    “Menerusi Kempen MyRider, saya ingin sampaikan mesej mudah tetapi besar maknanya iaitu kita perlu bersama-sama membudayakan Penunggang Malaysia yang lebih bertanggungjawab, lebih berhemah dan lebih menghargai nyawa, selaras slogan Penunggang Malaysia: Selamat. Berhemah. Bermaruah,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman DCP Mohd Rozi Jidin berkata PDRM memberikan sokongan penuh dalam menjayakan Kempen MyRider.

    “Semoga kerjasama erat antara PERKESO, PDRM, agensi kerajaan dan rakan strategik industri menjadi pemangkin keberkesanan usaha dalam meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di Malaysia,” katanya.

     
     
  • Zeekr 9X kereta China pertama terima ubah suai Mansory – pintu suicide, banyak gentian karbon

    Zeekr 9X kereta China pertama terima ubah suai Mansory – pintu suicide, banyak gentian karbon

    Zeekr mencipta sejarah tersendiri apabila model SUV mewahnya, 9X, menjadi kereta pertama dari China yang menerima sentuhan modifikasi rasmi daripada Mansory. Model yang dikenali sebagai “Zeekr 9X by Mansory” itu diperkenalkan sempena acara Auto China dalam versi ‘First Edition’, sekaligus menandakan perkembangan baru bagi syarikat talaan terkenal dari Jerman tersebut.

    Seperti dijangka daripada Mansory, SUV ini menerima pelbagai komponen gentian karbon pada bahagian luaran bagi menyerlahkan imej lebih agresif dan eksklusif. Antara perubahan yang dilakukan termasuk rekaan baru pada bawah bampar hadapan, lengkuk roda dengan laluan udara, skirt tepi, spoiler bumbung serta bampar belakang bersama diffuser dan lampu brek tengah.

    Salah satu tarikan utama pada model ini ialah pilihan pintu jenis “suicide” yang menggunakan bukaan berengsel belakang seperti yang terdapat pada Rolls-Royce Cullinan. Menurut Mansory, proses pengubahsuaian tersebut memerlukan kerja kejuruteraan yang rumit kerana kedudukan engsel pintu perlu dipindahkan dari tiang B ke tiang C.

    Zeekr 9X kereta China pertama terima ubah suai Mansory – pintu suicide, banyak gentian karbon

    Mansory turut menjelaskan bahawa semua modifikasi mekanikal dilakukan tanpa menjejaskan ciri keselamatan standard kenderaan. Beberapa panel badan baru juga dibangunkan khas sebelum proses cat semula dilakukan bagi memastikan hasil akhir tampak sempurna dan seolah-olah dipasang terus dari kilang.

    Bahagian belakang pula menerima sistem ekzos baru dengan dua muncung pada setiap sisi. Mansory mendakwa sistem tersebut memberikan bunyi yang lebih garang dan sepadan dengan prestasi tinggi SUV ini. Walaubagaimanapun, tiada perubahan dilakukan pada sistem rangkaian kuasa plug-in hybrid tiga motor pada Zeekr 9X.

    Kuasa keseluruhan kekal pada 1,400 PS dan 1,410 Nm tork, membolehkan SUV mewah ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j.

    Zeekr 9X by Mansory juga menjadi model pertama yang menggunakan rim baru Mansory FT.19 bersaiz 24 inci. Rim forged tersebut dipadankan dengan tayar 295/30, sekaligus memberikan penampilan yang lebih dramatik dan menonjol, selari dengan identiti Mansory yang terkenal dengan gaya modifikasi ekstrem.

    Di ruang kabin, Mansory meneruskan tema kemewahan dengan sentuhan lebih eksklusif. Walaupun Zeekr 9X standard sememangnya sudah tampil premium, versi ini menerima kemasan kulit penuh dengan tema warna cerah, logo bercahaya pada keempat-empat panel pintu, penggunaan gentian karbon tambahan, stereng khas Mansory, karpet eksklusif serta pedal sport gentian karbon.

    Zeekr sebelum ini telah mengesahkan bahawa 9X akan memasuki pasaran Malaysia dan dijangka tiba sekitar penghujung tahun 2026. Dengan kehadiran versi talaan daripada Mansory ini, tidak mustahil akan ada pembeli tempatan yang mahukan SUV elektrik mewah dengan penampilan lebih unik dan eksklusif

     
     
  • Cadangan waktu perjalanan cuti Raya Haji dan hujung minggu panjang bagi Lebuhraya KL-Karak, LPT1

    Cadangan waktu perjalanan cuti Raya Haji dan hujung minggu panjang bagi Lebuhraya KL-Karak, LPT1

    Minggu ini dan minggu depan bakal ada cuti umum yang panjang. Bermula dengan Hari Raya Aidiladha atau Raya Haji pada 27 Mei (Rabu) ini, diikuti oleh Hari Keputeraan YDPA Agong pada 1 Jun (Isnin depan) dan Hari Wesak pada 2 Jun (Selasa depan).

    Jika anda ingin ke mana-mana, maka rancanglah perjalanan terlebih dahulu. Untuk yang akan bergerak ke Pantai Timur, pihak AFA Prime selaku syarikat pemegang konsesi telah mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) untuk Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sebagai persediaan menghadapi lonjakan trafik.

    Ini merupakan langkah proaktif yang diambil untuk mengurangkan kesesakan di tempat-tempat kritikal, terutamanya di plaza tol Gombak, Bentong dan Karak, yang merupakan pintu masuk utama ke Pantai Timur. Untuk perjalanan yang lebih teratur, AFA Prime menasihati pemandu untuk merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual ini.

    Untuk perjalanan balik kampung dari Lembah Klang, iaitu 23, 24 dan 26 Mei, mereka yang menuju ke Pahang melalui plaza tol Gombak boleh memasuki lebuhraya dari jam 10 pagi hingga 2 petang, manakala pengguna yang menuju ke Terengganu boleh menyertai lebuhraya dari jam 8 pagi hingga 10 pagi. Kelantan merupakan negeri paling jauh di pantai timur, dan mereka yang menuju ke sana dinasihatkan untuk memasuki Karak dari jam 6 pagi hingga 8 pagi.

    Terdapat juga pilihan waktu petang, dengan mereka yang menuju ke Pahang dinasihatkan untuk memasuki lebuhraya dari jam 4 petang hingga 6 petang, Terengganu dari jam 6 petang hingga 8 malam, dan Kelantan dari jam 8 malam hingga 10 malam.

    Bagi perjalanan pulang ke KL (1-2 Jun), mereka yang bertolak dari Pahang dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya dari jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam, Terengganu dari jam 11 pagi hingga 2 petang atau 8 malam hingga 10 malam, dan dari Kelantan bermula jam 6 petang hingga 9 malam atau 11 malam hingga tengah malam.

    AFA Prime menggalakkan pemandu menggunakan “tempoh perjalanan bebas” dari tengah malam hingga 6 pagi untuk perjalanan yang lebih lancar. Sebaliknya, orang ramai harus mengelakkan waktu puncak bas ekspres di plaza tol Gombak, iaitu dari 9.30 pagi hingga tengah hari dan 9.30 malam hingga tengah malam untuk mengurangkan kesesakan. Utamakan keselamatan ketika memandu.

     
     
  • KLIMS 2026 — pengangkutan percuma dari LRT, MRT dan tempat letak kenderaan lain di sekitar MITEC

    KLIMS 2026 — pengangkutan percuma dari LRT, MRT dan tempat letak kenderaan lain di sekitar MITEC

    Sudah bersedia untuk Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026? KLIMS 2026 edisi penganjuran ke-11 kini semakin hampir, berlangsung dari 12-21 Jun ini dengan tema “Melangkau Mobiliti”.

    Seperti biasa, KLIMS akan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang terletak di kawasan KL/Dutamas di Jalan Duta di KL. Dan, kawasan sekitarnya boleh jadi sangat sesak, terutama ketika ada acara besar seperti KLIMS ini berlangsung — hingga menyebabkan sukar untuk pengunjung mencari tempat letak kenderaan.

    Untuk itu, jika anda sedang merancang untuk berkunjung ke sana nanti, pilihan yang lebih bijak adalah untuk memanfaatkan pengangkutan awam. Antaranya ialah perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari MRT Titiwangsa dan LRT Pasar Seni. MRT Titiwangsa merupakan sebahagian daripada Laluan MRT Putrajaya, dan Titiwangsa adalah hab kereta api yang turut terhubung ke laluan LRT Ampang dan laluan Monorel KL. Maka, ia boleh diakses oleh ramai orang. Pasar Seni juga merupakan persimpangan dengan MRT laluan Kajang.

    Tetapi jika anda lebih senang memandu, ada juga perkhidmatan van perantara disediakan dari kawasan di sekitar MITEC, seperti dari tempat letak kereta terbuka Matrade dan Stadium Hoki Nasional. Penganjur KLIMS juga menyediakan van yang meliputi laluan sekitar dan berhenti di Masjid Wilayah Persekutuan, mahkamah Syariah, MITI, Matrade, Publika, Hyatt Midtown dan LHDN Jalan Duta. Maksudnya, anda boleh juga meletak kereta di kawasan tersebut, dan bukan hanya di MITEC untuk mengelakkan kesesakan dan jika tempat parkir penuh.

    Jenama-jenama seperti Dongfeng, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Maxus, Mazda, MG, Nissan, Perodua, Proton, Proton e.MAS, smart, Toyota, Wuling, Xpeng dan Zeekr akan berada di KLIMS. Apa pun, pameran ini direka untuk seisi keluarga. Berikut adalah aktiviti dan sub-acara yang turut akan diadakan sepanjang berlangsungnya KLIMS 2026. Selamat merancang kunjungan dan perjalanan anda dan jumpa di KLIMS 2026!

     
     
  • BYD Ti7 untuk pasaran global – tukar jenama dari Fangchengbao Tai 7, SUV PHEV 1.5T 7-tempat duduk

    BYD Ti7 untuk pasaran global – tukar jenama dari Fangchengbao Tai 7, SUV PHEV 1.5T 7-tempat duduk

    BYD mengesahkan bahawa model terbaru mereka yang akan memasuki pasaran global adalah Fangchengbao Tai (atau Titanium) 7, SUV tujuh tempat duduk versi lebih besar kepada Tai 3. Berbeza dengan model tersebut yang bakal dipasarkan di luar China sebagai Denza B3, Tai 7 pula akan menggunakan identiti utama jenama BYD dan dikenali sebagai BYD Ti7 untuk pasaran antarabangsa. Ia juga dilaporkan bakal memasuki pasaran United Kingdom dan Timur Tengah.

    Dari segi rekaan, BYD Ti7 menampilkan banyak persamaan dengan model Bao 5 dan Bao 8 yang turut dijenamakan semula sebagai Denza B5 dan B8. Ia hadir dengan bentuk badan tegak, rekaan tingkap melingkari badan, lampu hadapan berbentuk segi empat bersama lampu nyalaan siang berbentuk L, serta lengkuk roda besar berimej lasak.

    Bahagian belakang pula menempatkan kotak simpanan luaran berkapasiti 32.5 liter yang menyerupai tayar gantian. Secara keseluruhan, reka bentuk SUV ini jelas dipengaruhi oleh gaya klasik Land Rover Defender, termasuk elemen tiang D berbentuk petak yang hampir menyerupai model ikonik United Kingdom itu.

    BYD Ti7 untuk pasaran global – tukar jenama dari Fangchengbao Tai 7, SUV PHEV 1.5T 7-tempat duduk

    Walaupun tampil dengan imej lasak, Ti7 sebenarnya menggunakan struktur unibody yang lebih sesuai untuk pemanduan jalan raya berbanding casis ladder frame seperti model Bao lain. Sistem rangkaian kuasanya juga berbeza apabila menggunakan konfigurasi plug-in hybrid Dual Mode Performance (DM-p) bersama enjin turbo 1.5 liter, bukannya sistem DMO dengan enjin 2.0 liter seperti Bao 5 dan Bao 8.

    Enjin empat silinder tersebut menghasilkan 156 PS dan 225 Nm tork, digabungkan dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 489 PS dan 630 Nm. Kuasa itu disalurkan keempat-empat roda, sekaligus membolehkan Ti7 memecut 0-100 km/j dalam hanya 4.8 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 190 km/j.

    BYD menawarkan dua pilihan bateri Blade LFP untuk Ti7. Pek bateri 26.6 kWh mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 80 km mengikut kitaran WLTP, manakala bateri lebih besar 35.6 kWh membolehkan SUV ini bergerak sehingga 127 km dengan sekali cas.

    BYD Ti7 untuk pasaran global – tukar jenama dari Fangchengbao Tai 7, SUV PHEV 1.5T 7-tempat duduk

    Kedua-dua bateri turut menyokong pengecasan pantas DC, dengan tempoh pengecasan dari 30 hingga 80 peratus mengambil masa sekitar 17.5 minit. Namun begitu, Ti7 masih belum menerima teknologi pengecasan ultra pantas Flash Charging yang diperkenalkan BYD pada model lebih baru.

    Dari segi dimensi, Ti7 merupakan sebuah SUV yang besar dengan ukuran panjang 5,016 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,865 mm dan jarak roda 2,920 mm. Saiz ini menjadikannya lebih besar berbanding Hyundai Santa Fe generasi kelima. Walaubagaimanapun, ukuran panjang tersebut termasuk kotak simpanan belakang, manakala panjang sebenar badan tanpa kotak itu ialah 4,999 mm.

    Bahagian kabin pula memperlihatkan pengaruh jelas daripada keluarga Fangchengbao menerusi rekaan papan pemuka mendatar, permukaan dalaman besar berbentuk segi empat dan pemegang kabin yang menonjol. Konsol tengah direka lebih kemas tanpa terlalu banyak butang kawalan sistem pacuan seperti model Bao, selain menggunakan penukar gear pada stereng. Ti7 juga hanya dilengkapi satu pengecas tanpa wayar Qi.

    BYD Ti7 untuk pasaran global – tukar jenama dari Fangchengbao Tai 7, SUV PHEV 1.5T 7-tempat duduk

    Walaupun lebih minimalis, kelengkapan dalamannya masih mewah dengan paparan instrumen digital 10.25 inci, skrin infotainmen 15.6 inci, head-up display 26 inci, serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan. Sistem audio 16 pembesar suara turut disediakan, selain peti sejuk dengan fungsi pemanas dan penyejuk di bawah perehat tangan tengah hadapan. Ruang kargo menawarkan kapasiti 485 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat, dan boleh diperluaskan sehingga 1,880 liter apabila kedua-dua baris belakang direbahkan.

    Untuk pasaran global, BYD setakat ini hanya mengesahkan versi plug-in hybrid bagi Ti7. Namun di China, Tai 7 turut ditawarkan dalam versi elektrik penuh dengan pilihan motor tunggal berkuasa 408 PS dan 365 Nm, serta varian dua motor yang menghasilkan sehingga 700 PS dan 675 Nm. Model EV ini dipadankan dengan bateri 92 kWh atau 105.7 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 675 km dan 755 km mengikut standard CLTC.

    Versi terkini tahun 2026 juga dilengkapi teknologi Flash Charging yang membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 70 peratus dalam masa lima minit, dan mencapai 97 peratus dalam hanya sembilan minit.

     
     
  • JPJ sita 1,814 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury di seluruh negara sejak tahun lalu hingga 24 Mei 2026

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah menyita sejumlah 1,814 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury sejak tahun lalu sehingga 24 Mei 2026. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi), JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi, daripada jumlah itu, 899 sitaan direkodkan pada 2025, manakala 915 unit pada tahun ini.

    “Antara model kenderaan mewah yang disita termasuk Porsche dan Lamborghini, selain beberapa model premium lain yang dikenal pasti gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM). JPJ ingin menegaskan bahawa kegagalan memperbaharui LKM adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), malam tadi.

    Jazmanie turut berkata, mana-mana kenderaan yang digunakan di jalan raya tanpa LKM sah boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun dan sitaan tanpa sebarang kompromi.

    Antara pemilik kenderaan mewah yang disita ialah bekas pemain bola sepak kebangsaan yang ditahan ketika memandu Toyota Vellfire sekitar Bukit Bintang pada 4 pagi semalam. Manakala seorang pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk pula ditahan di sekitar Lembah Klang selepas memandu Mercedes Benz Brabus dengan LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

    “Selain melanggar undang-undang, penggunaan kenderaan tanpa LKM yang sah turut mengundang risiko besar kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain kerana kenderaan berkenaan berisiko tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan.

    “JPJ memandang serius isu ketidakpatuhan ini dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui operasi berfokus, pemantauan lapangan serta pengesanan secara digital bagi memastikan setiap pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    JPJ sita 1,814 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury di seluruh negara sejak tahun lalu hingga 24 Mei 2026

    Beliau menambah, orang ramai khususnya pemilik kenderaan mewah disaran segera membuat semakan dan memperbaharui LKM masing-masing melalui saluran rasmi JPJ termasuk aplikasi MyJPJ dan portal MySikap bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

    “Pemilik kenderaan yang ditahan sering memberi alasan terlepas pandang namun dalam situasi sekarang, alasan diberikan mereka itu tidak patut berlaku kerana aplikasi MyJPJ akan mengeluarkan notis pemakluman apabila LKM tamat tempoh. Jadi ia sepatutnya boleh disedari pemilik kenderaan apabila MyJPJ menghantar notis pemakluman itu,” katanya menerusi laporan Harian Metro.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, JPJ akan melaksanakan operasi itu secara berterusan di seluruh negara bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui LKM.

     
     
  • JPJ batalkan penangguhan perkhidmatan tukar hak milik kenderaan melalui platform dalam talian – Loke

    JPJ batalkan penangguhan perkhidmatan tukar hak milik kenderaan melalui platform dalam talian – Loke

    Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke, menasihati Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar membatalkan penangguhan sementara perkhidmatan tukar hak milik (THM) kenderaan melalui platform dalam talian.

    “Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkenaan penangguhan sementara perkhidmatan dalam talian untuk urusan tukar hak milik seperti yang dilaporkan oleh media. JPJ telah memaklumkan kepada MOT berkenaan penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung oleh JPJ. Justeru, JPJ perlu membuat penambahbaikan sistem dalam talian pada kadar yang segera.

    “Namun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna-pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat-pejabat JPJ. JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan online untuk urusan tersebut serta merta dan sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini,” kata Loke menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Lewat malam tadi, JPJ mengumumkan penangguhan sementara urus niaga tukar hak milik kenderaan melalui saluran dalam talian termasuk portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd. berkuat kuasa hari ini, 25 Mei 2026.

    JPJ batalkan penangguhan perkhidmatan tukar hak milik kenderaan melalui platform dalam talian – Loke

    Menurut Aedy Fadly, langkah tersebut dilaksanakan sebagai tindakan kawalan serta-merta JPJ susulan penerimaan beberapa aduan rasmi serta melalui media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilaksanakan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

    Katanya, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ.

    Jadi, orang ramai boleh meneruskan urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian melalui platform yang disediakan. Cuma, kena lakukannya dalam tempoh waktu bekerja kerana seperti yang Menteri Pengangkutan katakan, kerja-kerja penambahbaikan sistem berkenaan hanya akan dilaksanakan sepanjang cuti panjang hujung minggu ini.

     
     
  • Polis Selangor keluarkan 200 saman trafik dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Bukit Raja

    Polis Selangor keluarkan 200 saman trafik dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Bukit Raja

    Polis Selangor menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri telah mengadakan Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Bukit Raja, Lebuhraya NKVE, awal pagi semalam. Operasi yang turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memeriksa sebanyak 103 buah kenderaan dan 120 individu berusia lingkungan 14 hingga 32 tahun.

    Hasil operasi turut menyaksikan sebanyak 200 keping saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 41 buah motosikal telah disita bagi tindakan lanjut.

    Pihak AADK pula telah melakukan 50 pemeriksaan saringan rambang dan berjaya merekodkan lapan tangkapan melibatkan individu positif dadah, iaitu tujuh orang positif ketum dan seorang positif ganja.

    Menurut Polis Selangor, operasi ini dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan, selain memastikan keselamatan, ketenteraman serta pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik.

     
     
  • Honda City facelift Sedan & Hatchback 2026 didedah di Thailand, tempahan dibuka – Malaysia tak lama lagi?

    Honda City facelift Sedan & Hatchback 2026 didedah di Thailand, tempahan dibuka – Malaysia tak lama lagi?

    Selepas ia dilancarkan di India minggu lalu, Honda City generasi kelima dalam versi facelift kali kedua kini didedahkan pula di negara jiran kita iaitu Thailand. Model ini hanya akan dilancarkan pada 1 Julai nanti, tetapi Honda Thailand telah pun menyiarkan rupa penuhnya serta membuka tempahan untuk pasaran tersebut. Dan tidak seperti India yang hadir hanya dalam versi sedan, City facelift 2026 di Thailand ini turut didedahkan terus dalam versi Hatchback.

    Seperti yang kita tahu sebelum ini, bagi model petrol penuh City generasi kelima pasaran Thai tidak ditawarkan dalam versi 1.5L NA, sebaliknya ia menggunakan enjin 1.0 liter Turbo, disamping pilihan versi hibrid e:HEV masih kekal dengan unit rangkaian kuasa i-MMD 1.5L. Jadi untuk pasaran Thai, City Sedan dan Hatchback facelift 2026 ini ditawarkan dalam varian 1.0 Turbo S CVT, e:HEV V, e:HEV SV, dan e:HEV RS.

    Seperti yang telah didedahkan di India, City facelift 2026 ini menampilkan rombakan besar pada muka. Ia kini kelihatan lebih sporty dengan bahagian muncung direka lebih tajam dengan lampu bi-LED rekaan baharu bersama lampu nyalaan siang dengan jalur LED merentangi sepenuhnya, gril dengan elemen sarang lebih yang jauh lebih besar dan lebar, bampar rekaan baharu serta logo ‘H’ terletak lebih tinggi seperti Honda Prelude generasi baharu.

    Honda City facelift Sedan & Hatchback 2026 didedah di Thailand, tempahan dibuka – Malaysia tak lama lagi?

    Namun pada bahagian profil sisi dan belakang masih mengekalkan rekaan asas yang sama, dengan perubahan diberikan pada rekaan rim aloi, grafik lampu belakang dan juga bampar belakang baharu. Pada bahagian dalaman juga tiada perubahan besar di mana pada varian-varian lebih tinggi ia diberikan skrin infotainmen lebih besar dan juga lampu suasana kabin.

    Honda Thailand belum lagi menyiarkan sebarang spesifikasi rasmi bagi versi facelift ini, namun kami jangkakan ia masih digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedia ada. Model petrol penuh menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo berkuasa 122 PS dan tork maksima 173 yang boleh beroperasi dengan bahan api E20, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Manakala versi yang dibantu kuasa elektrik diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang menampilkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 100 PS/131 Nm yang kebanyakkan masanya mengecas bateri, sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm. Namun dalam situasi tertentu, enjin petrol berkenaan masih membantu memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang diberikan.

    Honda City facelift Sedan & Hatchback 2026 didedah di Thailand, tempahan dibuka – Malaysia tak lama lagi?

    Kali pertama City generasi kelima ini didedahkan adalah pada penghujung 2019, dan masuk tahun ini ia sudahpun berusia enam tahun. Dengan pengenalan facelift baharu ini bermaksud ia sekurang-kurangnya akan bertahan tiga tahun lagi sebelum diganti dengan model generasi baharu sepenuhnya, berbeza dengan generasi-generasi sebelum ini yang hanya dijual selama enam-tahun dalam pasaran.

    Model facelift sedia ada di Malaysia juga sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun, dan mengikut trend sebelum ini ia tiba ke pasaran tempatan tidak lama selepas pelancaran di India dan Thailand dibuat. Mungkin City facelift 2027 ini juga termasuk dalam enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini?

     
     
  • JPJ tangguh urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian mulai 25 Mei; hanya di kaunter fizikal

    JPJ tangguh urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian mulai 25 Mei; hanya di kaunter fizikal

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melaksanakan penangguhan sementara urus niaga tukar hak milik (THM) kenderaan melalui saluran dalam talian termasuk portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd. berkuat kuasa hari ini, 25 Mei 2026.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, langkah ini dilaksanakan sebagai tindakan kawalan serta-merta JPJ susulan penerimaan beberapa aduan rasmi serta melalui media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilaksanakan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

    “JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ. Sehubungan dengan itu, bermula 25 Mei 2026, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ.

    JPJ tangguh urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian mulai 25 Mei; hanya di kaunter fizikal

    “Sebagai tambahan, bagi urus niaga THM kategori persendirian individu, ia boleh dilaksanakan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan, manakala bagi kategori persendirian syarikat, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula daripada tarikh serahan dokumen lengkap kepada JPJ,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, bagi saluran melalui penyedia perkhidmatan eAuto, hanya urus niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja mash beroperasi seperti biasa manakala sistem tukar hakmilik kekal melalui sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan pelaksanaannya.

    “Mana- mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang hendak melaksanakan eSTM hendaklah mengemukakan permohonan ini di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.

    “JPJ kekal komited dalam memastikan pengurusan serta kawalan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ sentiasa diperkukuhkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa demi melindungi kepentingan pemilik kenderaan serta memastikan integriti sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan terus terpelihara. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing di JPJ,” sambungnya.

     
     
  • Honda City facelift 2026 didedahkan di India – muka lebih tajam dan sporty, tempat duduk pengalir udara

    Honda City facelift 2026 didedahkan di India – muka lebih tajam dan sporty, tempat duduk pengalir udara

    Versi facelift kali kedua untuk sedan Honda City generasi kelima secara rasmi telah membuat kemnculan sulung globalnya di India hari ini. Seperti yang telah tertiris sebelum ini, City diberikan rombakan yang besar pada bahagian muka bagi memberikan rupa yang segar untuk kemaskini terbaharu ini.

    City 2026 ini menampilkan muka yang langsung tidak sama seperti versi facelift sedia ada yang juga membuat kemunculan sulungnya di India pada 2023. Versi kali ini kelihatan lebih sporty dan tajam dengan lampu hadapan bi-LED direka lebih nipis, nampak seperti bersepadu dengan gril hadapan yang lebar sehingga ke bahagian bawah lampu tersebut.

    Gril berkenaan menampilkan elemen sarang lebah seakan diinspirasikan dari gril Honda Civic Type R FL5, manakala logo ‘H’ pula diletakkan lebih tinggi daripada gril dengan gaya seperti Prelude generasi baharu. Manakala bagi lampu nyalaan siang, jalur LED diberikan seakan menjadi kening muka kereta ini (juga bertindak sebagai lampu isyarat membelok), dan ia bersambung dengan satu lagi jalur LED yang terletak di atas gril.

    Bampar hadapan juga langsung tidak sama dengan model sedia ada di mana ia diberikan kemasan tirai udara sisi berbentuk segi tiga. Manakala gril pada sebelah bawah juga menampilkan elemen sarang lebah yang sama.

    Honda City facelift 2026 didedahkan di India – muka lebih tajam dan sporty, tempat duduk pengalir udara

    Di belakang, City facelift ini masih diberikan lampu dengan kluster yang nampak sama seperti versi sebelumnya. Yang banyak berubah adalah pada bampar, di mana ia kini diberikan kemasan berbentuk trapezium seakan gril pada bampar hadapan, serta diberikan reflektor pada kedua-dua sisi.

    Tiada perubahan dibuat pada profil sisi City facelfit ini, dan selain lampu dan bampar hadapan yang nampak berubah, ia boleh dikenali dengan rim aloi 16-inci dengan corak bilah-aero baharu.

    Bahagian kabin juga tidak menampilkan perubahan yang besar di mana ia masih diberikan rekaan papan pemuka yang sama. Apa yang berubah adalah ia kini diberikan skrin infotainmen 65% lebih besar dan ia nampak lebih ‘terapung’. City baharu juga kini hadir dengan lampu suasana kabin yang menyinar menerusi perapi dengan kemasan 3D pada papan pemuka serta di ruang kaki.

    Satu lagi tingkat taraf baharu diberikan adalah tempat duduk hadapan yang kini diberikan pengalir udara yang pastinya memberikan lebih keselesaan untuk negara yang beriklim panas. Menurut Honda fungsi tersebut memberikan kesan penyejukkan lebih efektif dengan mencapai ke lebih 40% kawasan.

    Model pasaran India ini datang dengan kamera 360-darjah bersama pengesan objek bergerak. Fungsi kamera ini boleh diaktifan menerusi butang yang terletak dihujung tuil lampu sebelah kiri yang lazimnya merupakan suis untuk sistem pemantau titik buta Honda LaneWatch.

    Model pasaran India ini masih ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter NA empat-silinder i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm. Pembeli juga masih boleh memilih kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau CVT automatik untuk memacu kuasa dari enjin ke roda hadapan.

    Dan buat pertama kali menerusi model generasi kelima facelift kali kedua ini, City pasaran India ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang menampilkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 100 PS/131 Nm yang kebanyakkan masanya mengecas bateri, sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm. Namun dalam situasi tertentu, enjin petrol berkenaan masih membantu memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang diberikan.

    Di India Honda City baharu ini ditawarkan dalam empat varian kemasan iaitu SV, V, ZX dan ZX+ yang hadir dengan pilihan unit rangkaian kuasa yang telah ditetapkan. Varian SV hanya ditawarkan dengan enjin 1.5L NA dan kotak gear 6MT dan dijual pada harga 1,199,900 rupees (sekitar RM50k), manakala V pula ditawarkan dengan enjin 1.5L NA tetapi dengan pilihan kotak gear sama ada 6MT atau CVT, dijual pada harga bermula INR1,329,900 hingga INR1,429,900 (RM55k hingga RM59k).

    Manakala varian ZX juga ditawarkan dengan enjin NA dan kotak gear manual dan CVT, dengan harga antara INR1,525,900 dan INR1,625,900 (RM63k dan RM67k). Varian paling tinggi ZX+ pula boleh dipilih dengan semua pilihan unit rangkaian kuasa dan dijual pada harga antara INR1,614,900 dan INR2,099,900 (RM67k dan RM87k).

    Model pasaran India ini ditawarkan dengan warna badan Crystal Black Pearl, Radiant Red Metallic, Obsidian Blue Pearl, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti standard tiga tahun tanpa had perbatuan, yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun/tanpa had perbatuan atau 10 tahun/120,000 km. Varian hibrid pula diberikan waranti lima tahun, 100,000 km untuk komponen sistem hibrid, manakala bateri litium-ion diberikan waranti selama lapan tahun/160,000 km.

    Kali pertama City generasi kelima ini didedahkan adalah pada penghujung 2019, dan masuk tahun ini ia sudahpun berusia enam tahun. Dengan pengenalan facelift baharu ini bermaksud ia sekurang-kurangnya akan bertahan tiga tahun lagi sebelum diganti dengan model generasi baharu sepenuhnya, berbeza dengan generasi-generasi sebelum ini yang hanya dijual selama enam-tahun dalam pasaran.

    Model facelift sedia ada di Malaysia juga sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun. Mungkin City facelift 2027 ini juga termasuk dalam enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini?

    GALERI: Brosur rasmi Honda City facelift 2026 pasaran India

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.92 (-0.15)
RON 97 RM4.65 (-0.20)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.87 (-0.10)
EURO 5 B7 RM5.07 (-0.10)
Last Updated May 28, 2026
 
Related PaulTan.org Content: Featured: Featured | Electric: Electric | Reviews: Reviews | News: News | Tech | Malaysia: Malaysia