Advertisement

Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

Satu-satunya model Lotus yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman iaitu Lotus Emira bakal menerima kemaskini semula selepas ini yang melibatkan unit rangkaian kuasa di mana pilihan enjin empat-silinder turbo dari Mercedes-AMG dan juga V6 3.5 liter Supercharged dari Toyota sedia ada akan digantikan dengan enjin dari Horse Powertrain.

Seperti yang diketahui, Horse Powertrain merupakan pembekal unit rangkaian kuasa milik pemilik Lotus iaitu Geely bersama Renault, dan enjin yang bakal disumbat pada Emira adalah enjin Horse W30. Perkara ini diberitahu sendiri oleh CEO Lotus Feng Qingfeng kepada Autocar.

Enjin Horse W30 ini dihasilkan dalam konfigurasi V6, di mana enam silinder secara keseluruhan berkapasiti 3.0 liter, disusun dalam bentuk-V dengan sudut tebing 90 darjah antara satu sama lain. Enjin ini beroperasi menggunakan bahan api petrol biasa, dan menerima sistem suntikan bahan api terus (GDi), dan suapan induksi turut dibantu oleh dua unit pengecas turbo.

Bergantung pada talaan, Horse Powertrain menyatakan bahawa enjin W30 ini mampu menghasilkan kuasa antara 476 PS hingga 544 PS, dan tork maksima antara 600 Nm hingga 700 Nm.

Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

Enjin ini juga direka kompak, yang membolehkan ia diletakkan secara menegak ke belakang untuk platform kenderaan pacuan belakang, atau melintang untuk platform pacuan hadapan. Dan ia hanya seberat 160 kg, atau sekitar 10 kg lebih ringan dari enjin V6 paling ringan yang ada dalam pasaran buat masa sekarang, dakwa Horse Powertrain.

Feng memberitahu Emira akan menggunakan enjin Horse W30 ini yang akan digandingkan dengan kotak gear automatik yang diintegrasikan dengan motor elektrik (mungkin kotak gear DHT), menjadikan ia sebagai unit rangkaian hibrid yang bukan sahaja memberikan kuasa tambahan, malah ia juga perlu untuk mengurangkan emisi.

Feng menyatakan bahawa Lotus mengambil keputusan untuk hanya menumpukan kepada enjin V6 ini kerana buat masa sekarang pelanggan Emira di pasaran Amerika Syarikat lebih sukakan enjin V6 berbanding empat-silinder turbo. “Mereka memberitahu kami bahawa mereka sukakan enjin V6, dan sebenarnya versi V6 adalah yang paling laris di pasaran AS,” jelas Feng.

Lotus Emira akan gugurkan enjin Mercedes-AMG dan Toyota, ganti enjin V6 3.0 liter dari Horse Powertrain

Namun enjin V6 sedia ada yang dibekalkan oleh Toyota berkenaan akan mempunyai masalah untuk melepasi undang-undang emisi yang lebih ketat di Eropah tidak lama lagi, seterusnya menggesa Horse Powertrain untuk membangunkan enjin V6 baharu.

Menerusi strategi Focus 2030 yang diumumkan oleh Lotus tempoh hari, jenama kereta sport British berkenaan mengesahkan bahawa ia tidak lagi mensasarkan untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya. Lotus bakal menawarkan semula kereta-kereta yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, dan pada 2028 ia bakal muncul dengan versi produksi supercar V8 Hybrid dengan kod Type 135 yang dikhabarkan akan menggunakan semula nama ‘Esprit’.

Lotus mensasarkan untuk menghasilkan 10,000 kereta di kilangnya di Hethel, United Kingdom dengan gandingan produksi Emira baharu ini dan juga Esprit generasi baharu tersebut.

GALERI: Enjin Horse W30 yang dipamerkan di Auto China Beijing 2026

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required


 
 
Related PaulTan.org Content: Malaysia: Malaysian Diesel To Be Blen... | Proton Japanese Ceo | Ku Lis Take On The Ap Saga | Audi Readies Next Audi Tt | A Ferrari Suv | Haze Might Be Back On Monday