Advertisement

Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

Nissan mendedahkan imej awal beberapa model baru yang bakal diperkenalkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dan salah satu daripadanya adalah X-Trail generasi terbaru . SUV generasi kelima ini kekal sebagai model penting buat syarikat tersebut, dengan hampir sepuluh juta unit telah terjual di seluruh dunia.

Model baru ini akan terus menggunakan sistem hibrid e-Power, yang buat pertama kali turut diperluaskan ke pasaran Amerika Syarikat menerusi model Rogue. Buat masa ini, maklumat terperinci masih terhad, namun imej render 3D yang didedahkan memperlihatkan reka bentuk yang lebih berani dan tajam, dengan inspirasi daripada model terkini seperti Murano dan Leaf.

Bahagian hadapan menampilkan garisan bonet dan bampar yang bersilang membentuk corak seperti huruf “X”, manakala lampu hadapan dan gril disatukan dalam grafik seakan topeng berwarna hitam. Lampu utama direka dengan bentuk L terbalik, dengan bahagian atas yang nipis menempatkan projektor utama dan dihubungkan oleh jalur melintang di atas gril.

Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

Di bahagian sisi, tema heksagon diteruskan melalui rekaan pada D-pillar serta garisan serong pada pintu hadapan dan belakang. Pergi pula ke belakang, lampu masih mengekalkan sambungan visual dengan cermin belakang, dengan susunan elemen bercahaya bentuk segi empat dalam konfigurasi L. Penampilan keseluruhan dilengkapkan dengan rim dua tona yang mempunyai corak berulang membentuk motif heksagon.

Dari segi mekanikal, X-Trail baru dijangka menggunakan sistem e-Power generasi ketiga yang diperkenalkan sebelum ini pada model Qashqai. Sistem ini menggunakan enjin petrol tiga silinder turbo 1.5 liter yang dibangunkan khusus, dikatakan lebih senyap dan cekap berbanding unit terdahulu.

Menariknya, enjin ini tidak lagi menggunakan teknologi nisbah mampatan berubah VC-Turbo, yang mana sebelum ini sukar disesuaikan dengan pasaran yang mempunyai kualiti bahan api lebih rendah seperti Malaysia.

Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

Enjin tersebut berfungsi menjana tenaga untuk motor elektrik baru yang lebih berkuasa, menghasilkan 205 PS. Meskipun kapasiti bateri kekal pada 21.5 kWh, Nissan mendakwa penggunaan bahan api dalam keadaan sebenar berkurang sebanyak 16 peratus, manakala penggunaan di lebuh raya pula berkurang sebanyak 14 peratus.

Ini membolehkan jarak pemanduan mencecah sehingga 1,200 kilometer seperti yang dicapai oleh Qashqai. Seperti sebelum ini, X-Trail juga akan ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE, yang menggunakan motor kedua untuk menggerakkan roda belakang, selain dilengkapi sistem bantuan pemanduan separa autonomous ProPilot.

Model baru ini merupakan sebahagian daripada strategi produk Nissan yang bertujuan menyusun semula portfolio daripada 56 kepada 45 model bagi mempercepatkan proses pembangunan. Langkah ini diharapkan dapat mempercepatkan pelancaran model ke pasaran, memandangkan X-Trail generasi keempat sebelum ini masih belum diperkenalkan di semua pasaran yang dirancang, termasuk Malaysia, walaupun sudah muncul sejak enam tahun lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required


 
 
Related PaulTan.org Content: Electric: Electric | Reviews: Reviews | Tech | Malaysia: Malaysia | News: News | 2025