Advertisement

Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

Semasa acara New York International Auto Show (NYIAS) 2026, Hyundai membuat kejutan dengan memperkenalkan sebuah model konsep dikenali sebagai Boulder Concept. Model yang menggunakan kerangka body-on-frame ini bukan sahaja dibangunkan sempena ulang tahun ke-40 Hyundai di Amerika Syarikat, tetapi juga memberi bayangan awal kepada SUV offroad pertama jenama itu.

Meskipun Hyundai sebelum ini pernah menawarkan varian XRT bagi beberapa model produksinya, ia tidak boleh dianggap sebagai jentera offroad tulen. Dengan Boulder Concept, Hyundai dilihat bersedia memasuki segmen yang selama ini didominasi oleh model seperti Ford Bronco, Jeep Wrangler dan Toyota 4Runner. Walaubagaimanapun, versi produksi bagi model ini hanya dijangka muncul sekitar tahun 2030.

Dari segi reka bentuk, konsep ini menggunakan falsafah yang digelar “Art of Steel”, menampilkan gabungan bentuk berkotak dengan garisan moden. Rekaan tersebut jelas disasarkan kepada citarasa pasaran Amerika, dengan penampilan lasak menerusi posisi badan tegak, lengkungan fender besar serta tayar mud-terrain bersaiz 37 inci. Hyundai menyifatkan konsep ini sebagai kenderaan yang dibina berasaskan gaya hidup dan nilai Amerika, khusus untuk mereka yang gemar meneroka laluan baru dengan keyakinan.

Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

Bahagian hadapan Boulder Concept menampilkan gril lebar yang diapit lampu utama bertingkat, bersama bampar yang dilengkapi pelindung bawah (skid plate). Bonet hadapan pula mempunyai rekaan beralur, dipadankan dengan cermin sisi besar serta sebaris lampu yang dipasang pada rel bumbung.

Reka bentuk bahagian belakang turut mengekalkan identiti lasak dengan lampu menegak dan pintu but unik dua engsel. Ia turut menempatkan tayar gantian bersaiz penuh serta tingkap berkuasa. Elemen seperti skid plate dan side rocker yang menonjol dikatakan membantu memberikan sudut mendongak, menjunam dan breakover yang lebih agresif.

Dari sudut praktikaliti, aspek penglihatan turut diberi perhatian melalui penggunaan tingkap gaya safari di bahagian atas serta tingkap sisi belakang yang melingkari tiang C. Pintu barisan kedua juga direka dengan bukaan berengsel belakang bagi memudahkan akses dan memuatkan peralatan aktiviti lasak ke dalam kabin.

Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

Bahagian dalaman meneruskan tema lasak dengan kehadiran pemegang serta tombol fizikal bersaiz besar dan butang kawalan yang mudah dicapai. Beberapa permukaan dinaikkan untuk memberikan sentuhan ergonomik, termasuk tuil penukar gear yang memperlihatkan mekanisme sambungan secara terbuka.

Sebagai model konsep, terdapat juga elemen futuristik seperti head-up display penuh lebar dan empat skrin individu yang memaparkan pelbagai maklumat. Walaubagaimanapun, tidak semuanya dijangka dibawa ke versi produksi.

Menurut Hyundai, pembangunan platform body-on-frame ini masih di peringkat awal, namun garis panduan utama telah ditetapkan untuk model masa hadapan. Boulder Concept dijangka menjadi asas kepada barisan SUV offroad yang akan direka, dibangunkan dan dihasilkan di Amerika Syarikat menggunakan keluli keluaran Hyundai sendiri. Sebelum ini, Hyundai pernah memperkenalkan konsep serupa menerusi Crater Concept, iaitu SUV offroad kompak yang dipertontonkan pada November lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required


 
 
Related PaulTan.org Content: Featured: Featured | Electric: Electric | Motorsports | Tech | Reviews: Reviews | News: News