Proton telahpun mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan Mac 2026, yang menyaksikan pengeluar automotif berpusat di Tanjong Malim tersebut berjaya menjual sebanyak 15,706 unit kenderaan bulan lalu. Ini bermaksud jualan Proton untuk semua model-modelnya termasuk yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, kenderaan elektrik penuh (EV) dan juga plug-in hybrid (PHEV) naik sebanyak 15.4% berbanding jumlah 13,566 unit yang dicatatkan pada Februari 2026. Malah berbanding bulan sama tahun lalu, jualan yang dicatatkan oleh Proton pada Mac 2026 ini juga adalah 12.8% lebih tinggi.
Dengan jumlah berkenaan juga, Proton berjaya mencatatkan jualan kumulatif tahunan untuk suku pertama tahun ini sebanyak 49,140 unit, atau naik sebanyak 40.1%. Menurut Proton, pencapaian suku pertama 2026 ini merupakan yang terbaik dalam tempoh 22-tahun kebelakangan ini, iaitu sejak 2004.
Prestasi ini juga membolehkan Proton menjangkakan pegangan pasarannya untuk Mac 2026 berada pada kadar 25.1%, manakala untuk suku pertama 2026 ia dijangka berada pada 27.4% – satu lagi rekod tertinggi dicatatkan sejak 2017.
Saga masih merupakan model terlaris Proton dengan terjual sebanyak 5,438 unit sepanjang bulan lalu, menjadikan jumlah jualan suku pertama tahun ini sudah mencecah 21,770 unit. SUV segmen-B X50 facelift pula merupakan model kedua terlaris dengan terjual sebanyak 3,265 unit untuk Mac 2026, menjadikan jualan untuk tiga bulan pertama tahun ini berjumlah 7,571 unit – naik 48% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sedan segmen-C Proton S70 juga menunjukkan prestasi jualan yang baik bulan lalu, di mana versi kemaskini MC1 tersebut terjual sebanyak 2,254 unit sepanjang Mac, iaitu rekod tertinggi pernah dicatatkan bagi model berkenaan sejak Februari 2024. Manakala bagi SUV tujuh-tempat duduk X90 yang juga baru diberikan kemaskini MC1 bulan lalu telah terjual sebanyak 323 unit, walaupun ia dilancarkan hampir pada pertengahan bulan Mac.
Model-model dengan teknologi elektrifikasi Proton dengan jenama eMas juga menjadi penyumbang untuk jualan yang tinggi jenama tersebut bulan lalu. Sebanyak 3,023 unit Proton eMas terjual bulan lalu, di mana 2,071 unit adalah model EV paling mampu milik Proton eMas 5, menjadikan ia model EV paling laris di Malaysia untuk suku pertama tahun ini dengan jumlah jualan keseluruhan 6,701 unit.
Manakala untuk eMas 7, versi EV terjual sebanyak 306 unit pada Mac, manakala versi PHEV yang baru dilancarkan terjual sebanyk 646 unit sepanjang bulan lalu.
“Prestasi jualan Proton bagi Q1 adalah hasil pelaburan berterusan dalam teknologi, rangkaian pengedar serta perkhidmatan selepas jualan yang telah meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan kami. Usaha ini turut merangkumi program pemasangan dan lokalisasi yang memberi nilai lebih baik kepada pelanggan serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif negara,” kata CEO Proton Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
“Walaupun model ICE menunjukkan pemulihan jualan yang kukuh, Proton turut mengambil kira keperluan pengguna sekiranya berlaku peningkatan harga bahan api. Oleh itu, model-model terkini kami menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik serta kos penyelenggaraan yang rendah. Pada masa yang sama, melalui Proton eMas, kami menyediakan laluan yang lebih mudah untuk pelanggan beralih kepada teknologi EV dan PHEV,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



