Malaysia bakal menerumi model Denza kedua untuk pasaran tempatan, selepas lebih setahun pengenalan model MPV Denza D9. Bagi yang berminat, anda kini boleh mendaftarkan minat anda untuk Denza B8 melalui laman web rasmi Denza Malaysia.
Ini merupakan model rebadge daripada Fangchengbao Bao 8, yang merupakan model off-road 4×4 tiga baris tempat duduk flagship yang dijual di bawah sub-jenama BYD di China. Denza B8 adalah nama yang diberikan untuk pasaran luar China.
Ukuran dimensinya adalah 5,195 mm panjang, 1,994 mm lebar dan 1,905 mm tinggi, ia 305 mm lebih panjang, 24 mm lebih lebar dan 15 mm lebih rendah berbanding Bao 5/B5 yang pernah dipamer di Pameran Automotif Malaysia 2024. Jarak rodanya pula adalah 2,920 mm; 120 mm lebih panjang. Model ini bahkan lebih besar berbanding Toyota Land Cruiser 300, yang mempunyai panjang maksimum 4,985 mm.
Kuasanya dijana oleh sistem Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid BYD yang turut digunakan dalam B5, tetapi dengan enjin empat silinder turbo 2.0 liter 245 PS/380 Nm dan bukannya enjin 1.5 liter yang lebih kecil. Enjin ini digandingkan dengan transmisi hibrid khusus (DHT) dan dua motor elektrik (272 PS/360 Nm + 408 PS/400 Nm). Jumlah output keseluruhan sistem ialah 748 PS dan 760 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.8 saat.
Motor elektriknya mendapatkan tenaga daripada bateri Blade LFP 36.8 kWh dengan kapasiti yang sedikit lebih besar dan menyediakan jarak elektrik sejauh 125 km CLTC yang sama seperti B5. Ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 91.5 liter yang besar, membolehkan jarak keseluruhan yang mampu dicapai sejauh 1,200 km. B8 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 120 kW, membolehkan bateri mencapai SOC 30% hingga 80% dalam masa 16 minit.
Denza B8 di BIMS 2026
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

























