Baru minggu lalu Proton mengumumkan bahawa tempahan Proton Saga MC3 telahpun mencecah 70,000 unit sejak dilancarkan pada 27 November 2025. Terbaharu, Proton menyatakan bahawa tempahan berkenaan kini sudahpun mencapai 100,000 unit, dan jumlah tersebut 19,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan, termasuk 10,285 unit yang diserahkan sepanjang Januari 2026, menjadikan ia rekod jualan bulanan tertinggi pernah dicatatkan oleh Saga.
“Prestasi jualan Proton Saga 2026 membuktikan daya tarikannya yang meluas dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia. Tidak banyak pengeluar automotif mempunyai model yang kekal dalam pengeluaran selama lebih 40 tahun, dan lebih sedikit yang mampu mencatat rekod jualan baharu selepas empat dekad. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan Proton dan seluruh rakyat Malaysia. Dengan pelancaran di Brunei pada Februari, pengembangan secara berperingkat ke pasaran antarabangsa lain serta permintaan domestik yang kukuh, lebih banyak pencapaian bakal direkodkan oleh Saga tahun ini,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan CEO Proton.
Saga masih lagi kekal model terlaris Proton, dan dengan peningkatan jualannya ini sekaligus mencatatkan jumlah jualan bulanan luar biasa Proton di mana ia berjaya menjual sebanyak 19,833 unit sepanjang Januari 2026, iaitu jualan bulanan tertinggi pernah dicatatkan oleh Proton dalam tempoh 15 tahun.
Proton Saga MC3 2026 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium, masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RMRM38,990, RM44,990 dan RM49,990. Model paling mampu milik dari Proton yang dikemaskini ini dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.
Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” BHE15-CFN yang mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.
Model ini juga menerima rombakan besar dari segi rupa di mana semua varian kini diberikan lampu hadapan projektor LED, gril dan bampar hadapan baharu, serta lampu belakang juga dengan teknologi LED, bersama bar LED merentangi sepenuhnya but belakang (hanya untuk varian Premium).
Kabin Saga ini juga telah dirombak semula di mana varian Executive dan Premium kini diberikan skrin infotainmen sembilan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan semua varian diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci dan juga roda stereng lebih sporty rekaan rata di bawah.
Selain itu Saga MC3 2026 dalam varian Premium turut menerima peningkatan drastik dari segi keselamatan di mana ia kini diberikan enam beg udara dan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Kami telah senaraikan setiap perincian yang diterima untuk setiap varian yang boleh anda baca pada PAUTAN INI. Juga kami sudahpun berpeluang memandu uji model ini dan ulasannya pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.
GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT
GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT
GALERI: Proton Saga 2026 Standard 4AT
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.















































































































































































































































































