Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina. Ia bakal dilaksanakan bagi tempoh empat hari iaitu 14 hingga 15 Februari (sebelum perayaan) serta 21 hingga 22 Februari 2026 (selepas perayaan). Larangan ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan.
Menurut MOT, larangan sepanjang masa melibatkan lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kg, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, dan traktor.
Ia juga membabitkan lori pengangkut barangan simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan yang lain, amang, bijih timah, aras batu dan bahan galian yang lain.
Manakala kenderaan berat yang dilarang menggunakan jalan raya antara jam 8 malam hingga 8 pagi melibatkan lori kontena yang mengangkut barangan (kecuali lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya).
Selain itu, ia juga melibatkan lori kargo yang mengangkut barangan elektronik atau elektrik atau bahan industri kimia dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya, lori yang mengangkut tandan buah kelapa sawit segar, produk kelapa sawit mentah, getah sekerap dan susu getah dan lori kargo tanpa muatan.
Bagi kren bergerak dan lori pembancuh simen, larangan ditetapkan antara jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.
“Walau bagaimana pun, jentera berat beroda dan kren bergerak adalah diberi pengecualian melaksanakan kerja-kerja kecemasan dan menyelamat. Mana-mana kenderaan barangan atau dengan jenis barangan yang tidak dinyatakan dalam jadual adalah dibenarkan menggunakan kenderaan dalam tempoh larangan, “kata MOT menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
MOT dan JPJ turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, dan merancang perjalanan dengan baik. Sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan boleh disalurkan melalui aplikasi MyJPJ menerusi eAduan@JPJ atau e-mel [email protected].
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

