Proton mengumumkan bahawa model Saga MC3 2026 telah merekodkan tempahan hampir 70,000 unit dalam tempoh dua bulan sejak ia dilancarkan pada akhir November lalu. Perkara ini diumumkan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong dalam majlis makan malam bersama pihak media di Shah Alam lewat petang ini.
Barisan Saga MC3 2026 didatangkan dengan tiga varian iaitu Standard yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RMRM38,990, manakala Executive pula berharga dari RM44,990 dan spesifikasi tertinggi Premium pula bermula RM49,990.
Dibina berasaskan platform AMA, model sedan mampu milik dari jenama ini menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.
‘King’ bagi sedan segmen-A ini juga tidak lagi menggunakan enjin Campro 1.3L, sebaliknya digantikan dengan penjana kuasa “i-GT” BHE15-CFN yang mampu menghasilkan output 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Proton turut menawarkan dua jenis transmisi untuk Saga, di mana varian paling tinggi iaitu Premium diberikan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, didatangkan dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT.
Bukan setakat bahagian teknikal, barisan Saga MC3 2026 ini turut diberikan rombakan pada rekaan imej yang lebih segar termasuk kini menampilkan lampu hadapan projektor LED, gril dan bampar hadapan baharu, serta lampu belakang juga dengan teknologi LED, bersama bar LED merentangi sepenuhnya but belakang (hanya untuk varian Premium).
Malahan kabin Saga ini juga telah dirombak semula di mana varian Executive dan Premium kini diberikan skrin infotainmen sembilan-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan semua varian turut diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci dan juga roda stereng lebih sporty rekaan rata di bawah.
Selain itu, varian Premium turut menerima peningkatan drastik dari segi keselamatan di mana ia kini diberikan enam beg udara dan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Proton Saga 2026 Premium CVT
Proton Saga 2026 Executive
Proton Saga 2026 Standard
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.












































































































































































































































































